click here!!

Monday, May 31, 2010

Urusan Dunia Merupakan Jambatan Ke Akhirat

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah S.A.W. telah diperlihatkan dengan seorang wanita yang memakai berbagai-bagai perhiasan yang amat banyak. Tiba-tiba wanita itu memanggil nama Rasulullah S.A.W. tetapi tidak dijawab oleh baginda.

Lalu Jibril a.s berkata kepada Rasulullah S.A.W. "Itulah dunia. Jika tuan menjawab sapaan wanita tersebut, maka lebih ramai dari umat tuan akan menjadi kepada hamba dunia".

Ahmad Ibnu Abi al Hawari pernah bertanya kepada seorang ulama yang bernama Abi Safwan al Ru'ainy.

Katanya "Dunia yang manakah yang dicela oleh Tuhan dalam Al Quran yang patut dijauhi oleh orang- orang yang berakal?" .

Jawab Abi Safwan, " Dunia yang dicela adalah dunia apabila seseorang itu melakukan amalan, dia mengharapkan balasan. Tetapi, apabila seseorang itu mengharapkan balasan di akhirat, itu bukanlah urusan yang dicela ".

Sehubungan dengan itu, terdapat sirah nabi dan rasul, sahabat- sahabat serta sejarah Islam yang terkemudian boleh dijadikan iktibar untuk kita jadikan panduan dan sempadan semasa kita mewarisi dunia ini daripada orang-orang yang terdahulu. Maka marilah kita merenungi sejenak sejarah yang berlaku pada zaman Kerajaan Islam Bani Umaiyyah.

Selepas Khulafa' ar Rasyiddin, Kerajaan Islam Bani Umaiyyah telah didirikan oleh Muawwiyyah bin Abu Sufyan. Beliau dilahirkan empat tahun sebelum kenabian dan meninggal pada tahun 60H bersamaan 681M pada usia 75 tahun. Beliau telah terlibat di dalam dua peperangan sesama Islam dengan Khalifah Ali bin Abu Talib karramallahuwajhah iaitu Peperangan Jamal dan Peperangan Siffin kerana tidak mahu berbaiah kepada Saidina Ali r.a.

Setelah mengalami kekalahan di dalam Peperangan Jamal yang meragut ramai orang-orang Islam, Muawwiyyah tetap tidak berpuas hati sedangkan Saidina Ali r.a amat-amat bersedih melihat ramainya korban jiwa di kedua-dua belah pihak. Tidak beberapa lama kemudian, berlakulah sekali lagi peperangan, iaitu Peperangan Siffin.

Apabila tentera Muawwiyyah di ambang kekalahan mereka telah menjulang Al Quran di hujung tombak untuk memohon perdamaian dengan pihak Saidina Ali r.a.

Khalifah Ali seorang yang cintakan perdamaian dan silaturahim sesama Islam telah bersetuju walaupun ada yang membantah kerana tidak mempercayai kelicikkan Muawwiyyah. Telah diadakan perundingan di mana wakil Khalifah Ali, seorang yang warak telah diperdaya oleh wakil Muawwiyyah yang licik dengan mengisytiharkan Muawwiyyah sebagai khalifah.

Hal ini hampir mencetuskan semula peperangan tetapi ditenangkan oleh Saidina Ali r.a kerana memikirkan akan nasib umat Islam. Walau bagaimanapun majoriti umat Islam ketika itu masih lagi menganggap Saidina Ali r.a sebagai khalifah sehinggalah Saidina Ali r.a dibunuh semasa solat subuh dan Saidina Hasan r.a yang diangkat oleh orang Islam sebagai khalifah menyerahkan kepada Muawwiyyah yang terselamat dari percubaan membunuhnya juga, atas dasar perpaduan Islam dengan syarat khalifah selepasnya hendaklah diserahkan kepada orang yang layak, bukannya kepada keturunan Muawwiyyah.

Namun walaupun Muawwiyyah telah berusaha kuat untuk menanamkan kepercayaan umat Islam kepadanya, tetapi masih ramai yang tidak menyukainya. Masih ramai yang tetap melihat kebenaran berada di pihak Saidina Ali r.a dan tetap menyokongnya walaupun beliau sudah tidak ada.

Salah seorang yang berperasaan begitu adalah seorang wanita bernama Darimiyah dari Madinah. Muawwiyyah amat berang apabila mendengar ada seorang wanita begitu lantang mengecamnya di khalayak ramai lalu mengarahkan agar wanita itu ditangkap dan dihadapkan kepadanya.

"Aku mendengar kamu ini seorang yang pintar, betulkah itu?" Tanya Muawwiyyah kepada Darimiyah.

"Yang menceritakan perkara itu kepadamu bukannya aku sendiri. Jadi aku tidak berkewajiban menjawabnya" Jawab Darimiyah.

"Apakah benar kamu ini penyokong Ali yang setia?" Tanya Muawwiyyah lagi.

"Memang benar" Jawab Darimiyah.

"Kenapa kamu bersikap demikian?" Tanya Muawwiyyah.

"Kerana beliau seorang yang pencinta keadilan. Dia hormat kepada orang-orang yang soleh dan mengambil berat terhadap orang yang miskin" Jawab Darimiyah.

"Apakah benar kamu tidak menyukaiku?" Tanya Muawwiyyah lagi.

"Ya, memang benar itu" Jawab Darimiyah pula.

"Mengapa demikian?"

"Kerana engkau menyangka bahawa kerajaan engkau ini lebih besar nilainya dari manusia."

"Tetapi, apakah yang telah dilakukan oleh Ali?" Tanya Muawwiyyah yang mulai marah dan mukanya kelihatan masam.

"Beliau menerima jawatan pemimpin sebagai alat yang berfaedah untuk berkhidmat kepada kepentingan manusia."

"Kalau begitu yang kamu maksudkan, baiklah. Apa yang mahu aku bantu untuk kamu?" Tanya Muawwiyyah.

"Sebenarnya aku tidak memerlukan bantuanmu. Tapi kalau engkau tidak keberatan, sediakan untuk aku seratus ekor unta merah dan ghulam pengembalanya sekali." Kata Darimiyah.

"Buat apa unta itu?"

"Susunya aku akan buat minuman untuk para bayi dan juga minuman untuk orang tua-tua, dagingnya untuk makanan orang-orang dewasa dan untuk keperluan-keperluan lain."

"Baiklah, aku akan sediakan unta yang engkau kehendaki bersama seorang ghulam pengembalanya seperti yang kamu minta. Mahukah kamu menganggap aku setaraf Ali?"

"Jelasnya tidak mahu dan tidak boleh."

"Baiklah, kalau kamu tidak mahu setarafkan aku dengan Ali, tidak mengapalah. Aku tetap bersahabat dengan kamu. Baliklah. Seratus ekor unta dan pengembala akan sampai ke rumah kamu pada hari ini juga. Tapi perlu diingat, seandainya Ali masih hidup, nescaya dia tidak akan mahu memberi walau seekor unta pun kepada kamu."

"Memang betul. Jangankan seratus ekor unta, sehelai bulu unta pun dia tidak akan mahu memberikannya dari harta kaum muslim (harta milik negara)." Kata Darimiyah.

Keadaan istana senyap sepi. Seandainya ada jarum yang jatuh seakan- akan dapat didengarinya.

Demikinlah sejarah telah menunjukkan kepada kita bahawa sesuatu yang benar itu tetap terserlah walaupun cuba dinafikan. Islam merupakan addin iatu cara hidup yang lengkap, seimbang antara dunia dan akhirat di mana ianya merupakan jambatan ke akhirat. Ertinya amalan yang dilakukan di dunia ini akan menjadikan penghubung ke tempat manakah kediaman di akhirat kelak.

Semua amalan akan diperhitungkan di hari kemudian sama ada ibadah khusus kepada Allah S.W.T seperti solat, puasa, haji ataupun aktiviti kelangsungan hidup seperti bekerja , bersukan, berniaga, berpolitik dan sebagainya. Setiap perbuatan itu pula mestilah disertai dengan niat yang ikhlas dan matlamat juga tidak boleh menghalalkan cara. Tiada istilah Robin Hood dalam Islam.

Sunday, May 30, 2010

Hebatnya Seberang Pintasan Kini


Hebat sungguh nama Kampung Seberang Pintasan kini.

Terletak di muara Sungai Dungun dan tepi Laut China Selatan. Tempat pertembungan air laut dengan air sungai. Dulu-dulu terkenal dengan Pantai Teluk Bidara, Tanjung Jara, perkampungan nelayannya, pengkalan untuk ke Pulau Tenggol, tempat pembuatan bot nelayan dan bot komersial serta hasil laut dan makanannya. Siapnya jambatan yang menghubungkan kampung ini dengan Bandar Dungun, menambahkan lagi kecantikkan permandangan di muara Sungai Dungun ini amnya dan Seberang Pintasan khasnya.

Namun fenomena itu belum cukup untuk mempopularkan kampung ini. Maka muncullah segelintir penduduk setempat terutama remaja mempromosikan lagi Kampung Seberang Pintasan.

Beberapa tahun lepas penulis beberapa kali terbaca di akhbar akan beberapa tangkapan oleh pihak berkuasa terhadap penagih dan pengedar dadah yang melibatkan penduduk kampung ini. Selepas itu berita yang mengaitkan penduduk kampung ini dengan najis dadah sering terdapat di dalam akhbar.

Pada awal tahun ini sekali lagi kampung ini dikejutkan dengan tangkapan khalwat yang melibatkan dua beradik remaja perempuan dari kampung ini bersama pasangan mereka di hotel. Namun berita terbaru pada 25/5/2010 menerusi muka depan sebuah akhbar harian, betul-betul mempopularkan lagi nama kampung ini.

Remaja perempuan yang telah bertunang berasal dari kampung ini,telah ditangkap khalwat bersama pasangannya yang bukan tunangnya, di sebuah rumah tumpangan. Beliau mengaku telah beberapa kali berzina dengan pasangan tersebut dan juga di masa lain dengan tunangnya juga.

Ini adalah kes yang dapat dikesan, tetapi mendengar cerita dari orang kampung, banyak kes-kes yang sebegitu telah berlaku di kampung ini. Hebat sungguh remaja kampung ini sekarang. Kalau ini lah remaja harapan bangsa, maka kampung ini akan diwarisi oleh mereka yang sakit jasmani dan rohani.

Sebenarnya hal-hal sebegini bukannya hanya berlaku di kampung ini sahaja malah negeri Terengganu sendiri telah mengalami evolusi sikap dan tingkah laku penduduknya. Mungkin ini adalah sebahagian kesan globalisasi dan hasil kemajuan material.

Menerusi pengamatan penulis semenjak kembali ke negeri ini pada tahun 2006 kerana urusan kerja, adalah didapati terlalu jauh berbeda keadaannya, semasa penulis masih kecil. Suasana dahulu lebih harmoni, budaya mencari dan mendokong ilmu agama amat kuat. Penduduk negeri ini amatlah menghormati tetamu luar dan kuat pegangan agamanya. Boleh dikatakan wanita-wanitanya bertudung labuh dan tidak bersalaman dengan lelaki bukan muhrim.

Bertepatan dengan kajian sejarah oleh tokoh sejarah kita, Allahyarham Haji Buyong Adil yang berasal dari negeri Perak Darul Rizduan di dalam bukunya Siri-Siri Sejarah Nusantara termasukklah buku Sejarah Trengganu menyatakan pada muka surat 141 & 142 bahawa "Tingkah-laku dan peribadi orang-orang Melayu Trengganu didapati jauh berbeza dengan tingkah-laku dan peribadi orang-orang Melayu Pahang dan Kelantan. Orang melayu Trengganu suka hidup aman, tidak suka bertabiat kasar, berkelahi atau berperang (kecuali orang Melayu Trengganu yang diam di Besut dan Setiu yang bertabiat garang terhadap bangsa asing). Pada amnya , kecenderungan hidup orang Melayu Trengganu itu bekerjasama ada bertani, menangkap ikan,berniaga atau berdagang dan tidak membangga-banggakan bangsa dan negeri mereka. Orang Melayu Trengganu itu kuat memegang agama Islam, lebih kuat dari lain-lain orang Melayu di Tanah Melayu. Di mana-mana tempat dalam negeri Trengganu itu ada orang mengajar agama Islam tetapi banyak pula antara mereka yang mempercayai kepercayaan-kepercayaan karut yang dihubungkan dengan ajaran agama Islam. Anak-anak mereka dari kecil lagi telah diajar membaca Mukaddam (Juz Amma) dan setelah khatam membaca Al Quran pula dengan tidak mengetahui apa-apa makna pun di dalam bahasa Melayu. Kepandaian membaca dan menulis jawi boleh dikatakan terdapat di seluruh Trengganu. Akhlak mereka sangatlah baik jika dibandingkan dengan akhlak orang-orang Melayu di lain- lain negeri Melayu begitu juga kesihatan mereka boleh dikatakan baik. Pekerjaan utama yang dibuat oleh orang -orang Melayu Trengganu itu ialah bertani, menangkap ikan (nelayan), membuat berjenis-jenis barang, bekerja dalam hutan dan membuat perahu".

Dengan sebab itulah jua, Terengganu disepakati untuk dikenali dengan Terengganu Darul Iman.

Itu cerita dulu. Cerita orang belum naik ke bulan. Sekarang orang- orang Terengganu tidak mahu kalah dalam sebarang bentuk pengkisahan, tak kira apa, janji glamor.

Sekarang sudah ramai lahirnya penghibur tanah air, kalau dahulu orang Terengganu terkenal kerana kerap menjuarai Musabaqah Membaca Al Quran. Tidak ada bezanya mereka dengan yang lain sekarang ini.

Sekiranya Allahyarham Haji Buyong Adil dan Allahyarham Munshi Abdullah masih hidup, mereka akan terperanjat gila atau terus mungkin menukar fakta di dalam buku-buku sejarah kajian dan tulisan mereka. Kenapa keadaan sebegini boleh dikira terlalu drastik berlaku?

Pengamatan dan penelitian penulis ianya disebabkan penyakit rohani, iaitu penyakit hati. Antara penyebab terbesarnya adalah memakan makanan yang haram baik haram kerana zatnya seperti arak, daging babi, bangkai dan sebagainya atau haram kerana bukan haknya seperti memakan harta anak yatim, menipu dalam ukuran dan timbangannya, mencuri, mengambil sesuatu yang bukan haknya seperti memakan harta zakat sedangkan tidak layak dan lain-lain lagi.

Maka di sini cuba kita fikir dengan iman yang ada, bagaimana pula tarafnya apabila hasil dan hak rakyat negeri Terengganu telah ditukarkan kepada Wang Ihsan yang kita sendiri tahu apatah lagi rakyat negeri Terengganu Darul Iman amat maklum akan kaedah pengagihannya. Mengambil, memakan sesuatu yang bukan haknya kerana tidak layak atau apa sebab sekalipun adalah haram. Pendapatan yang haram, dibelanjakan kejalan mana sekalipun adalah berdosa dan terkesan kepada masyarakat. Ini yang berlaku kepada rakyat negeri Terengganu sekarang.

Cuba kita kembali kepada sejarah Islam bagaimana Hajjaj Yusuf As Saqafi, seorang panglima Yazid bin Abu Suffian, khalifah Bani Umaiyyah telah cuba menaklukki Kuffah beberapa kali tetapi tidak berjaya. Maka beliau menggunakan pendekatan berlembut dan berdamai dengan penduduk Kuffah yang menyokong kuat Saidina Husain r.a dan Saidina Hasan r.a.

Beliau menjemput penduduk Kuffah ke suatu majlis dan diadakan jamuan. Setelah selesai jamuan tersebut beliau terus berucap mengatakan sekarang beliau tidak gentarkan lagi penduduk Kuffah ini kerana mereka telah menikmati jamuan tersebut yang merupakan makanan dan minuman yang haram. Penduduk Kuffah di kala itu amat ampuh dan mustajab doa mereka.

Selepas itu Kuffah dengan mudah telah di tawan dan sehinggalah kepada pembunuhan Saidina Husain r.a di Karbala pada 10 Muharam 61H kerana kesanggupan penduduk Kuffah membelot.

Lihatlah lagikan cucu Rasulullahh S.A.W. pun teraniaya, inikan pula kita.

Tuesday, May 25, 2010

Nak Ke Mana Kita Agak-Agaknya?


Hari ini, 25hb Mei 2010 merupakan ulangtahun kelahiran yang ke 43 rakan sepersekolahan penulis, Tuan Haji Mazlan Othman (foto). Kami hampir 30 tahun tak bertemu setelah meninggalkan alam persekolahan menengah. Sebenarnya kami sekampung di Dungun, Terengganu Darul Iman dan beliau juga junior setahun kepada penulis semasa bersekolah menengah di Kemaman, Terengganu Darul Iman.

Kami sama-sama pelajar yang terpilih memasuki Kelas Rancangan Khas sebuah sekolah elit di Kemaman yang mana batch penulis seramai 17 murid lelaki merupakan pelajar perintis.Pada peringkat kolej, penulis melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Gurney, Kuala Lumpur dan beliau mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Kagoshima di negara matahari terbit, Jepun setahun kemudian.

Kami bertemu kembali dan berhubung hanya melalui facebook kira-kira seminggu yang lepas. Berdasarkan foto pada facebook, penulis menjangka tidak dapat mengecam beliau sekiranya kami terserempak.

Berketayap, berjambang dan badan dah berisi amat berbeza sekali sewaktu persekolahan dahulu. Nampak dah boleh bagi speech kat depan, amat berbeza semasa di asrama kadang-kadang menjadi mangsa usikkan dan sedikit bulian oleh penulis.Senior katakan penulis ni.Maaflah tuan haji, tetapi itulah asam garam yang mewarnai kehidupan kita dan menambah manisnya serta akrabnya persahabatan.

Begitu juga keadaan rakan sekelas dan sahabat penulis semasa bersekolah menengah tersebut, iaitu Tuan Haji Zainal Ali. Walaupun masih kecil tapi rambut semakin hilang dan matang penampilannya.Rakan-rakan yang lain juga berubah watak, rupa dan gaya dengan anak yang berderet melambangkan pertambahan usia.

Bagaikan menatap cermin, tersedar penulis begitu cepatnya masa beredar dan dekad telah beberapa kali bertukar. Penulis membelek-belek album lama dan foto-foto yang ada di dalam pen drive. Wah! Penulis sendiri mengalami evolusi yang agak ketara juga tanpa berapa disedari. Setelah dihitung dan diteliti rupanya kita mewarisi apa yang orang terdahulu telah melaluinya.


Kita hanya memenuhi kitaran hidup untuk diwarisi kepada orang yang terkemudian. Tiada apa sebenarnya pada kita ni. Dari zaman moyang kita Nabi Adam A.S. hingga lah akhir zaman nanti, kita tiada apa-apa. Kita menuntut tanah yang kita ada sebenarnya telah dimiliki oleh orang yang terdahulu. Orang yang kemudian mengambil hak selepas kita. Harta benda yang bertimbun milik kita , dahulunya milik orang ataupun tiada pemilik sebelum kita tapi akan menjadi milik orang atau hilang begitu sahaja selepas kita nanti.

Pangkat dan gelaran tidak memberi keistimewaan selepas tiadanya lagi kita. Maka apa yang ada kepada kita? Agak-agak dengan tiada apa-apa ni , nak ke mana kita ni???

Dengan mengambil kira usia Rasulullah S.A.W yang wafat pada umur 63 tahun, maka bolehlah diambil perkiraan bahawa jangka hayat manusia berada di sekitar usia itu. Kalau dikira usia Tuan Haji Mazlan maka jangkamasa hayat beliau hanya tinggal 20 tahun sahaja.Lama ke tu? Kalau bermain bolasepak penulis, Tuan Haji Mazlan dan Tuan Haji Zainal telah berada 1/3 masa permainan pada separuh masa kedua.

Cukupkah masa yang tinggal itu untuk cover masa yang telah berlalu dengan corak permainan kita sekarang ini???

Penulis bimbang kita ketinggalan terlalu banyak gol sepanjang tempoh masa berlalu tersebut sedangkan semakin menghampiri penamat, kita semakin bertambah penat dan tidak setangkas separuh masa pertama tadi. Sebarang kecuaian dan kelalaian akan menyebabkan kita makin dibelasah teruk.

Bagaimana pula kalau permainan ditamatkan sekarang, ataupun tak berapa jarak masa dari sekarang, ataupun ditamatkan sebelum separuh masa kedua dijadualkan tamat?

Nak ke mana kita agak-agaknya tu??

Kalau bernasib baik kita mendapat tambahan masa kecederaan, tetapi kalau kita sendiri sudah sukar untuk bergerak kerana terlalu penat dan cedera, bagaimana lagi kita mampu menyumbat gol?

Kalau kita berkehendakkan kemenangan juga, caranya hanyalah;

1) Merayu pada pengadil supaya isytiharkan kita menang juga.

2) Merayu pada pemerhati, panel-panel kejohanan supaya isytiharkan kita menang anugerah fairplay sekurang-kurangnya.

Untuk tujuan tersebut, kita mestilah;

1) Berbuat baik kepada pengadil dengan patuh kepada arahannya dan meninggalkan segala larangannya.

2) Menyukai, menyayangi, melaksanakan segala pesanan dan tunjuk ajar panel-panel tersebut bagaimana mendapat mata-mata penting untuk sekurang-kurangnya disokong untuk anugerah fairplay.

Begitulah jika diterjemahkan kepada kehidupan kita sekarang. Di samping kita mencuba yang terbaik untuk sisa waktu yang ada, paling penting kita berusaha mendapatkan rahmat Allah S.W.T dan syafaat Rasulullah S.A.W di hari kemudian.

Jika disandarkan kepada amalan , tidak mungkin dan tak mampu kita merasai syurga tanpa rahmat Allah S.W.T dan syafaat Nabi Muhammad S.A.W.

Kaedah dan tatacara terbaik untuk kita mengusahakannya ke arah itu adalah;

1) Dengan membaca Al Quran serta memahami makna dan maksudnya, melaksanakan segala suruhan serta meninggalkan segala larangan sebagaimana yang terkandung di dalamnya kesemua sekali tanpa memilih-milih.

2) Dengan ikhlas menyayangi dan memuliakan Rasulullah S.A.W. dengan mengikuti segala pesanan, ajaran, tingkahlaku dan mencontohi sebarang perkara yang disukai hatta dalam amalan harian seperti pakaian, makanan dan sebagainya serta menghindarkan sebarang perkara yang tidak digemari baginda sebagai membuktikan betapa kasihnya kita kepada baginda Rasulullah S.A.W.

Maka apabila kita sudah dan memang tidak berdaya, tetapi masih ada pula talian hayat, apa pilihan kita?

Tanyalah diri kita, nak kemana kita agak-agaknya?

Saturday, May 22, 2010

Maut Jatuh Bumbung Semasa Tidur


Bunyi macam kelakar je,tapi itulah hakikatnya yang telah berlaku pada seorang buruh binaan yang menjadikan bumbung sebuah kondominium yang masih dalam pembinaan sebagai tempat tidurnya. Dalam hal sebegini, Islam telah mengajar umatnya tentang adab-adab kehidupan hatta dalam perkara yang agak remeh seperti tidur ini.

Maksud hadis, "Nabi S.A.W. melarang orang tidur di atas bumbung tanpa ada sesuatu yang menahan kedua kakinya di bawahnya."..(riwayat Abu Dawud).

Kelakuan tidur di atas bumbung sebenarnya memang pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. lagi dan larangan tersebut adalah kerana dikhuatirkan orang yang tidur itu terjatuh dari bumbung semasa tidurnya bila ia membalik-balikkan tubuhnya. Apabila ada penahan kedua-dua kakinya, sekurang-kurangnya ianya adalah lebih selamat.

Kebiasaan tidur di atas bumbung pada masa itu adalah kerana cuaca panas pada malam hari sehingga sukar untuk melelapkan mata sedangkan mereka akan bangun untuk beribadat seperti solat Tahajjud pada 2/3 malam. Walaubagaimanapun adalah digalakkan untuk tidur ditempat yang sepatutnya berkeadaan boleh menjaga maruah dan keselamatan.Begitulah Islam mendidik umatnya.

Adapun Rasulullah S.A.W. pernah berpesan kepada Saidatina Aisyah r.a. yang bermaksud,

"Ya Aishah!Janganlah engkau tidur sebelum melakukan empat perkara iaitu; khatam Al Quran, membuat para nabi-nabi memberi syafaat di hari kemudian, para muslim meredhai kamu, tunalkan haji dan umrah."

Aisyah r.a bertanya, " Ya Rasulullah! Bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkara seketika?".

Rasulullah tersenyum dan bersabda, " Jika kamu tidur bacalah Surah Al Ikhlas sebanyak tiga kali seakan-akan kamu mengkhatamkan Al Quran, berselawatlah untuk ku dan para nabi-nabi sebelumku supaya kami semua akan memberi syafaat di hari kemudian, beristighfarlah untuk semua muslim maka mereka akan meredhaimu, perbanyakkan bertasbih, tahmid, tahlil, takbir seakan-akan kamu mengerjakan haji dan umrah." ..(tafsir Haqqi).

Pada umumnya, apabila tidur seakan-akan kita telah mati di mana jiwa kita tidak bekerja namun tidur kepada sebahagian orang merupakan saat di mana aktiviti spiritualnya meningkat, sehingga apabila mereka bangun bukan hanya tubuh badan mereka segar tetapi juga jiwanya.

Orang -orang soleh sering menerima ilham (ruya al haqq) ketika sedang tidur seperti yang terjadi kepada diri Ibnu Sina, Imam Al Ghazali dan ulama-ulama lain.

Sebagaimana yang diceritakan lagi oleh Saidatina Aishah r.a. lagi di dalam riwayat yang lain bahawa adab-adab tidur yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. adalah seperti berikut;

1) Tidur cepat iaitu tidur di awal malam.

2) Tidur dalam keadaan berwudhu'.

3) Berbaring atas lambung (rusuk) kanan dengan berbantalkan tangan kanan dan mengadap kiblat.

4) Tidak meniarap.

5) Membaca Ayatul Kursyi, akhir Surah Al Baqarah, Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas.

6) Berdoa yang bermaksud, " Dengan nama Mu ya Allah, aku hidup dan mati".

7) Apabila bermimpi buruk, terkejut dan takut disunatkan berdoa yang bermaksud," Aku berlindung denngan nama kalimah Allah (Al Quran) yang sempurna dari murka Nya dan siksa Nya dan dari kejahatan hamba-hamba Nya dan dari segala gangguan syaitan yang mendatangi ku"...( hadis riwayat Abu Dawud).

8) Memeriksa tempat tidur sebelum tidur. Rasulullah bersbda yang bermaksud, "Apabila salah seorang di antara kamu hendak menempati tidurnya, hendaklah ia mengambil kainnya, memeriksa alas tidurnya dan bacalah basmalah kerana ia tidak mengetahui apa yang ditinggalkan di tempat tidurnya setelah ia berpergian".

9) Bermuhasabah diri apa yang dilakukan sepanjang hari, atau sebelumnya semua perbuatan,perkataan atau niat dan segera bertaubat serta memohon ampun atas segala kesalahan dan dosa pada ketika itu juga.

Demikianlah antara adab-adab yang telah dididik oleh Islam menerusi sunah dan sirah Rasulullah S.A.W. semuga kita semua termasuk penulis beramal dengannya...Wallahua'lam.

Friday, May 21, 2010

Piala Uber 2010

Pada 15hb Mei, 2010 pasukan wanita Korea Selatan telah mengejutkan dunia badminton apabila pertama kalinya merangkul kejuaraan Piala Uber dengan menewaskan pasukan wanita China 3-1 di perlawanan akhir hari tersebut.

Penulis pada mulanya langsung tidak menyangka pasukan Korea Selatan mampu mara sehingga ke final. Penulis mengagak pasukan tersebut akan tersekat di separuh akhir di tangan pasukan wanita Jepun. Melihat perseorangan pertama mereka menundukkan perseorangan pertama Jepun, yang mana ranking pemain Jepun tersebut lebih tinggi dan telah pernah menewaskan kesemua pemain badminton wanita hebat dunia, penulis mula terfikir jika sebeginilah cara mereka bermain dengan semangat juang yang amat tinggi, kecergasan yang sempurna dan kekuatan fizikal yang amatlah hebat sekali, mereka akan ke perlawanan akhir.

Mereka mempunyai pukulan dan hantaran yang keras serta mampu menyesakkan lawan.Bulu tangkis yang dikembalikan lawan banyak yang memberi kelebihan kepada mereka untuk mendapatkan mata. Apa yang penulis perhatikan, kemahiran dan skil mereka agak kurang jika dibandingkan dengan pasukan China, Jepun, Indonesia ataupun Malaysia tetapi mereka masih mampu menjuarai kejohanan pada kali ini.

Pada final, kesemua pemain mereka menghadapi lawan dari China yang mempunyai ranking semasa dunia yang jauh lebih tinggi dari mereka. Tetapi apa keputusannya, mereka berjaya menewaskan China sekali gus melakar sejarah baru dunia badminton.

Korea Selatan Juara Piala Uber!

Apakah rahsianya? Tentu sekali segala perkara yang berlaku kerana ketentuan dan takdir Allah S.W.T yang mempunyai sifat kudrat dan iradatNya. Namun sebagai makhluk dengan keizinanNya kita diwajibkan berikhtiar dan berusaha untuk mencapai matlamat. Selebihnya berserah dan bertawwakkallah kepadaNya kerana takdir telah tersurat di Luh Mahfuz.

Kembali kita kepada pasukan Korea Selatan, melalui komentar pengulas sukan tersebut sepanjang pertandingan dan temuramah dengan pegawai mereka, penulis membuat kesimpulan serta rumusan bahawa mereka kenal diri dan bertindak menguruskan kelebihan serta kekurangan mereka. Tekad yang tinggi wujud pada semua pasukan yang bertanding tetapi ia tidak cukup untuk menghasilkan kejayaan. Kita memerlukan strategi.

Strategi yang betul akan menghasilkan keputusan yang berlainan dengan pasukan lain. Oleh itu yang membezakan kejayaan bagi sesetengah orang,kumpulan atau pasukan bergantung kepada keupayaan menghasilkan sesuatu. Ianya bukanlah perbezaan pada otak mereka tetapi bagaimana bijaknya mereka menggunakan akal. Diikuti dengan kecekapan dan keupayaan menghasilkan tindakan yang berkesan serta berani mengambil risiko.

Mengambil kira apa yang kita ada dan mengetahui bagaimana untuk mendapatkan maklumat yang baru apabila diperlukan. Melaksanakannya secara try and error dan mengkaji serta belajar semasa proses tersebut.

Strategi yang tepat membuatkan kita mempunyai banyak masa untuk menguruskan pembelajaran sehingga mencapai sasaran kita. Adalah tidak menjadi kerugian apabila tidak menemui jawaban semasa proses belajar tersebut kerana lebih baik daripada tidak belajar atau mencuba, kerana kita masih ada diri kita.Itu yang penulis nampak pada pasukan Korea Selatan.

Mereka tahu diri, mencari maklumat dan mencuba. Setelah itu mereka jadikan modul untuk dipraktikkan. Mereka mencipta kelainan yang seterusnya menciptakan kejayaan. Apabila manusia menentang harimau, agak-agak apa keputusannya? Apabila manusia hanya menggunakan kekuatan tenaganya sahaja menentang harimau, mustahil manusia boleh menang melainkan dia menggunakan senjata.

Sebagaimana bicara kita tadi, manusia dikurniakan akal fikiran, maka jadilah makhluk berfikir. Sudah tentu untuk menghadapi harimau tidak lagi menjadikan kita tidak keruan. Harimau yang terkejut dan tidak percaya, sehingga boleh menukar sejarah dunia, raja rimba gentarkan manusia.

Itulah pasukan badminton wanita Korea Selatan.

Wednesday, May 19, 2010

Keluarga Sesusuan

Hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud,"Sesungguhnya Allah mengharamkan oleh sebab menyusu, seperti apa yang diharamkan oleh sebab hubungan nasab". ( Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi).

Dimaksudkan dengan saudara sesusuan apabila seseorang yang pernah menyusu dengan perempuan yang sama tetapi pada asalnya bukan dari kalangan adik beradik senasab.Penyusuan yang berlaku adalah oleh kanak-kanak yang berumur di bawah dua tahun, dengan minima lima kali penyusuan yang mengenyangkan.Maka haram perkahwinan antara keluarga sesusuan tersebut kerana mereka adalah mahram.

Menghormati keluarga sesusuan sama dituntut sebagaimana keluarga senasab.Rasululullah S.A.W. sendiri telah meninggalkan kita contoh terbaik untuk diikuti.

Peperangan Hunain juga disebut peperangan Hawazin telah berlaku semasa Rasulullah S.A.W. berusia kira-kira 61 tahun.Tentera Islam dalam peperangan kali ini agak ramai, berjumlah kira-kira 12,000 orang. Dengan jumlah tersebut timbul rasa over confident yang mereka tidak mampu ditewaskan.

Apa yang berlaku pasukan tentera Islam hampir mengalami kekalahan seperti peperangan Uhud dahulu.Keadaan ini menyebabkan tentera Islam kembali bermuhasabah dan insaf.Akhirnya dengan izin Allah S.W.T. tentera muslim memperolehi kemenangan dan menawan sejumlah tawanan serta rampasan perang.

Di saat tentera Islam berehat dan bergembira dengan kejayaan tersebut, seorang wanita tawanan bernama Syaima' telah berkata di depan para sahabat yang mengejutkan mereka semua.

"Aku ini saudara perempuan teman kamu itu" katanya yang dimaksudkan Rasulullah S.A.W.

Para sahabat terperanjat kerana mereka semua tahu Nabi Muhammad S.A.W. hanyalah sedirian, tidak mempunyai kakak atau adik. Maka Syaima' segera dibawa ke depan Rasulullah S.A.W., malah ramai orang yang berkumpul kerana ingin mengetahui siapakah sebenarnya wanita tersebut.

"Wahai Muhammad, aku ini saudara engkau!" katanya kepada Rasulullah S.A.W.

Mendengar itu Nabi segera menghormatinya kerana baginda sudah mengingati nama Syaima'.Baginda hamparkan kain untuk beliau duduk dan duduklah beliau dengan penuh gembira.Seketika itu air mata Nabi S.A.W. berlinangan.Syaima' ini adalah puteri kepada Halimah Sa'diyyah yang pernah menyusukan Nabi S.A.W. sewaktu baginda masih bayi.Maka Syaima' adalah saudara sepersusuan dengan baginda.Malah Syaima' sendiri turut membantu ibunya mengasuh baginda dengan penuh kasih sayang. Tidaklah beliau mengetahui bahawa bayi yang diasuhnya akan menjadi seorang yang mulia, Rasul Allah.Kini bertemulah kembali beliau dengan Rasulullah S.A.W. setelah sekian lama terpisah.

"Wahai Muhammad" adalah kata-kata Syaima' sejak dari mula berjumpa Rasulullah S.A.W. dan kata-kata inilah yang diucapkan dahulu sewaktu membantu mengasuh Nabi semasa dalam jagaan ibunya Halimah. Tidak ada orang lain yang menyebut Nabi sedemikian kerana semua orang mengenali Nabi dengan panggilan 'Rasulullah'.Walaubagaimanapun, Nabi merasa amat gembira bertemu orang yang pernah mengasuh baginda, juga kakak sesusuan.

"Jika engkau suka, marilah tinggal bersama aku" kata Nabi dengan penuh kasih sayang dan hormat.

"Tetapi jika engkau ingin kembali kepada kaummu, akan aku lepaskan engkau dengan baik" demikian lagi kata Nabi S.A.W. kepada Syaima' dengan penuh keharuan.

"Aku ingin kembali kepada kaumku" Syaima menjawab pelawaan Nabi kepadanya.

Bagaimanapun Syaima' memeluk Islam.Sewaktu akan berpisah, Nabi S.A.W telah membekalkan dia dengan beberapa orang hamba lelaki, budak perempuan, unta dan kambing sebagai pemberian.

Selepas itu, masih dalam suasana peperangan ini jugalah Rasulullah S.A.W. telah bertemu semula dengan Halimah Sa'diyyah iaitu ibu Syima'.Keadaan ketika itu bagaikan ibu bertemukan kembali dengan anaknya yang telah lama terpisah, apalagi anak itu telah menjadi orang yang terhormat.

Nabi S.A.W. menyambut ibu Halimah dengan merasakan sendiri bagaimana kasih sayang seorang ibu yang pernah menyusukannya dahulu.Halimah Sa'diyyah sendiri yang berusaha datang menemui baginda setelah diketahui akan kedudukan baginda walaupun kaumnya kalah berperang dengan pihak Islam.

Melihat Halimah yang sudah sangat tua itu,Rasulullah S.A.W. segera berdiri dan menyonsong ibu Halimah ke dalam khemah. Baginda telah membuka pakaian rida'nya dan dihamparkan agar Halimah Sa'diyyah dapat duduk di atasnya sebagai tanda penghormatan.

Pertemuan itu amat mengharukan Rasulullah S.A.W., begitu juga dengan Halimah Sa'diyyah dan para sahabat yang menyaksikannya.Rasulullah S.A.W. menyediakan segala penghormatan dan ingin membahagiakan ibu susuannya itu di samping melepaskan kerinduaan batin terhadap ibu yang bersejarah itu.

Penulis terpanggil untuk memaparkan sirah ini setelah menonton drama di sebuah televisyen swasta, TV3 pada malam Sabtu lepas berjudul "Sebelum Akhirat" bahawa menghormati keluarga susuan pun amat dituntut oleh Islam, apalagi keluarga kandung sendiri seperti ibu dan bapa.

Monday, May 17, 2010

Mesyuarat Agung Persatuan Boling Tenpin Pahang Sesi 2010/12

Pada April lepas telah selesai Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Boling Tenpin Pahang bertempat di Hotel M.S. Garden, Kuantan, Pahang Darul Makmur.Mesyuarat kali ini melibatkan pemilihan Jawatan Kuasa baru.

Yang Berbahagia Dato' Tee Lian Ker tidak bertanding kali ini untuk memberi peluang kepada Dato' Shamsuddin Nawawi menerajui persatuan untuk penggal ini, 2010-2012. Tahniah Dato'. Penulis percaya dan yakin dengan kredibiliti dan pengalaman yang ada pada Dato'. Ditambah lagi sebagai pengamal undang-undang dan juga Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, memimpin sebuah persatuan tidak menjadi kesukaran kepada Yang Berbahagia Dato'.

Penulis juga mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Dato' Tee kerana jasa dan sumbangan beliau telah berjaya menghasilkan ramai pemain boling berbakat hingga ke peringkat nasional lahir dari anak negeri ini.Apa yang berbeza, Dato' Shamsuddin merupakan seorang bowler yang aktif,maka feeling seorang pemain boling ada pada beliau.

Tuan Syed Mohsin Syed Agil
juga tidak bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden II. Penulis berpendapat ketiadaan Tuan Syed Mohsin merupakan satu kehilangan yang besar kepada persatuan memandangkan ketokohan dan penampilan beliau telah turut menyumbangkan kecemerlangan sukan boling di negeri ini dan menyerlahkan Persatuan Tenpin Boling Pahang.

Penulis juga tidak berkesempatan menghadiri mesyuarat agung kali ini dan juga mesyuarat agung penggal lepas, 2008-2010 kerana faktor hari bekerja. Pada penggal 2006-2008 penulis merupakan salah seorang ahli jawatankuasa persatuan. Memandangkan pada tahun 2006 itu juga, penulis mula terlibat dalam pengurusan projek di luar Pahang di mana terdapat perbezaan hari bekerja dan hari minggu, maka komitmen penulis agak terbatas. Maka dengan sebab itu juga penulis tidak dapat hadir pada kebanyakkan mesyuarat termasuk mesyuarat agung. Walaubagaimanapun pada penggal lepas, 2008-2010 penulis masih dilantik sebagai salah seorang juru audit dalaman persatuan.

Walaubagaimanapun majoriti jawatankuasa persatuan bagi penggal ini masih lagi terdiri dari muka-muka lama. Mereka pun telah masak dengan selok-belok persatuan.

Sebenarnya peminat dan pemain boling aktif di negeri ini ramai yang terdiri daripada pegawai kanan penjawat awam termasuklah ahli-ahli yang berhormat, ahli perniagaan dan kakitangan profesional. Maka negeri tidak ketandusan ahli untuk mengendali dan menggerakkan persatuan. Bak kata pepatah, hilang tumbuh patah berganti. Cuma apa yang penulis nampak ada beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki untuk lebih memantapkan lagi persatuan boling negeri ini.

1) Setiap kali mesyuarat mesti ada minit yang dibentangkan untuk dibincangkan dan hasil mesyuarat tersebut hendaklah diedar minitnya secepat mungkin untuk diambil tindakan segera.

2) Suarakan dan bincangkan apa-apa bertujuan melicinkan perjalanan persatuan dalam memajukan sukan ini dan laksanakan apa yang telah dipersetujui di dalam mesyuarat tersebut. Jangan ada lagi mesyuarat kedai kopi.

3) Mesti ada task and goal dan time frame. Jangan jadi seperti buih di lautan. Banyak agenda tapi tiada tindakan dan kesan. Jangan bermusim dan hanya ikut mood dan rasa.

4) Tiada monopoli kuasa dalam membuat keputusan. Idea ramai adalah terbaik dan rasional.

5) Berlapang dada terhadap persetujuan yang dicapai dan mula bertindak secara sepakat.

6) Kita sendiri sedia maklum bahawa kerja berpesatuan adalah kerja sukarela. Mereka yang terlibat sudah akur dengan keadaan ini. Maka tidak timbul lagi merasa terbeban dengan tanggungjawab yang ada. Apa yang penulis tahu, setiausaha persatuan mendapat elaun kerja. Maka beliau tidak ada excuse untuk tidak commit. Jangan ada ahli jawatankuasa yang hanya hadir masa mensyuarat agung untuk mendapatkan jawatan selepas itu jumpa semula pada mesyuarat agung yang akan datang. Tugasan yang diberi terpaksa dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa yang lain.

7) Paling penting mereka yang diamanahkan ini tidak mengambil kesempatan terhadap persatuan untuk kepentingan diri sendiri. Perkara ini akan mewujudkan prasangka sesama sendiri dan persepsi negatif oleh ahli atau sesiapa sahaja. Akan ada ketegangan sesama jawatankuasa, tuduh menuduh dan lebih buruk lagi fitnah memfitnah.

8) Bulat dan tekadkan matlamat kita terhadap sasaran. Sememangnya objektif kita adalah untuk memertabatkan pasukan boling kita mencapai kejayaan pada tahap tertinggi pada setiap masa. Maka perlu ada perancangan jangka pendek dan jangka panjang.

9) Sikap pro aktif dan integerasi. Selain mengendalikan sasaran terhadap kejohanan kendalian Malaysian Tenpin Bowling Congress (MTBC), ada beberapa kejohanan besar yang mampu menaikkan nama negeri seperti Kejohanan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Kejohanan Sukan Anggota & Kakitangan Kerajaan (MAKSAK). Walaupun ianya melibatkan pihak lain namun demi negeri wujudkan jawatankuasa integerasi untuk sama-sama memainkan peranan kearah kecemerlangan contohnya menyediakan jurulatih.Lagi pun boleh dikatakan pemain yang terpilih mewakili negeri untuk kejohanan-kejohanan tersebut melibatkan pelatih-pelatih dan ahli-ahli kita.

10) Sebagaimana yang kita sedia maklum, negeri mempunyai ramai penggiat sukan ini yang berkaliber dan berpengalaman. Contohnya FJ Lim, bekas pemain negara;Dennis Chew, bekas pemain negara dan jurulatih bertauliah; Hamzah Amin, bekas pemain negeri, jurulatih bertauliah negeri; John Chan, bekas pemain negeri, jurulatih bertauliah di mana anak-anak beliau Jonathan dan Jerusha merupakan pelatih skuad remaja negara; Alex Tong, bekas pemain negeri, jurulatih bertauliah di mana anak beliau Rodson merupakan pelatih skuad pelapis negara; Lim Wai Jun, bekas pemain remaja negeri dan negara; Farid Castello, jurulatih bertauliah dan ramai lagi termasuklah Syed Mohsin sendiri merupakan bekas pemain negeri.Kenapa tidak digembelingkan kelebihan yang ada pada mereka untuk kepentingan sukan boling negeri. Usah diperbesarkan kelemahan yang ada kerana kita perlu kepada kepakaran mereka. Ini boleh menjadi tugas pengendali persatuan untuk mengatur dan mengurus penggunaan kelebihan yang ada pada mereka.

Sebenarnya sesungguhnya jawatan yang disandang bukan sahaja memikul amanah ahli, masyarakat, negeri dan negara tetapi ianya merupakan amanah Allah S.W.T. ditugaskan kepada hambaNya yang tertentu dan ianya akan dipersoalkan di hari kemudian.Kesempatan ini juga kita dapat memperlihatkan keindahan nilai-nilai Islam dalam kehidupan agar sekurang-kurangnya ianya memberi persepsi yang positif kepada rakan dan masyarakat berlainan kepercayaan.

Sebenarnya kita adalah pejuang......Selamat Maju Jaya, Mertabatkan Sukan Boling Untuk negeri kita, Pahang Darul Makmur.

Friday, May 14, 2010

Judi Tetap Judi, Haram Di sisi Islam


Pening...pening....pening. Penulis rasa terpana dan terkedu memikirkan bagaimana perkara ini boleh ada dan terfikir oleh seorang pemimpin negara yang beragama Islam sebagai satu solusi yang dikira rasional.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Dato' Awang Adik Hussein mencadangkan agar kerajaan membenarkan lesen pertaruhan dikeluarkan sempena kejohanan bolasepak Piala Dunia pada bulan Jun nanti. Sehubungan dengan itu juga, dengan begitu drastik kerajaan pusat pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak secara rasmi telah meluluskan lesen judi pertaruhan bolasepak Piala Dunia. Dengan begitu pantas dan beraninya pula, Berjaya Corporation Bhd (BJ Corp) menerusi bossnya, Tan Sri Vincent Tan mengumumkan bahawa syarikat itu bakal memiliki lesen pertama di Malaysia apabila menguasai 70% kepentingan dalam Ascot Spots Sdn Bhd dengan harga RM525 juta.Rentetan dari peristiwa ini banyak pihak dari parti politik, NGO dan orang perseorangan tampil menyatakan bantahan dan mengusulkan ditarik semula kelulusan tersebut.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dato' Dr Ma'amor Osman berkata , tindakan kerajaan memberi lesen judi kepada Kumpulan Berjaya amatlah memalukan negara apatah lagi Malaysia sebagai negara Islam. "Kewajaran kerajaan meluluskan lesen perjudian untuk mengelakkan judi haram adalah bercanggah dengan tuntutan Islam yang mengharamkan segala bentuk aktiviti judi termasuk unsur perjudian ini. Walaupun Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama, namun tidak ada mana-mana agama yang membenarkan pengikutnya berjudi. Ini satu yang amat memalukan dan mengecewakan rakyat" katanya.

Sementara itu pula, perjudian yang diberi lesen dan perjudian yang tidak diberi lesen kedua-duanya haram di sisi Islam, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Menurutnya lagi, jika kerajaan pusat tetap mengeluarkan lesen untuk aktiviti perjudian, ia menampakkan kerajaan menghalalkan judi yang sememangnya haram di sisi agama dan ianya tidak seharusnya berlaku kerana semua masyarakat tahu bahawa judi itu haram.

Sebenarnya ada beberapa perkara yang penulis musykilkan dan tertanya-tanya bagaimana perkara sebegini tiba-tiba boleh timbul.

1) Cadangan dari Timbalan Menteri Kewangan tanpa mengambil banyak masa terus diluluskan dan sekoyong-koyong itu juga Kumpulan Berjaya mengumumkan mereka akan memperolehi lesen perjudian yang pertama di Malaysia. Nampak macam ada yang tak kena . Takkan proses kelulusan ini terlalu mudah. Sebenarnya siapa punya idea ni? Penulis bimbang pemimpin kita jadi rubber stamp saja.

2) Takkan tak ada langsung roh Islam dalam jiwa pemimpin kita yang mengaku Muslim itu. Orang bukan Islam pun tahu bahawa segala aktiviti judi itu haram di sisi Islam. Penulis rasa mereka pun pelik cara pemimpin tersebut berfikir.

Timbalan Menteri tersebut dirakamkan berkata, "Ada beberapa perkara penting untuk dikaji, sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram)".

Apa yang jelas kelulusan tersebut akan memakmurkan gejala perjudian. Semua lapisan masyarakat tanpa rasa segan silu akan menyertai pertaruhan ini tanpa mengira agama dan keturunan. Yang mengaut keuntungan adalah taukeh judi tersebut kerana mereka merupakan pemegang lesen tunggal. Agak-agaknya ke manakah agihan hasil cukai judi tersebut nak disalurkan. Kepada anak-anak yatim?untuk rancangan Bersamamu, kemudahan asas, pembinaan masjid dan sekolah? Cukuplah apa yang diagihkanan hasil dari cukai perkara yang haram selama ini sehingga menghasilkan masyarakat yang rosak akhlaknya dengan bermacam-macam gejala sosial .Tak kan nak disalurkan untuk pembangunan sukan.Negara pun dah ada pengalaman beberapa tahun dulu rasuah dalam sukan bolasepak.Penaja-penaja hebat ketika itu ada yang merupakan pusat perjudian terulung di negara ini. Gejala tidak jujur dalam sukan akan wujud bila sumbernya adalah haram. Adakah kerajaan sanggup melihat kehidupan dan pembangunan sebahagian warganegaranya berdasarkan hasil judi?

Kawalan bukan dengan memberi lesen kelulusan tetapi memperkenalkan teknik benteras, hukuman lebih keras dan tahap efisiensi yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat dengan pertaruhan tersebut.

Semua orang tahu dan mengerti bahawa mencegah adalah lebih baik dari mengubati tapi kerajaan telah bertindak kebelakang dengan menggalakkannya. Adakah betul tindakan kerajaan sekiranya lesen kelulusan menagih dadah dikeluarkan. Sesiapa yang berminat dan berkehendak bolehlah mendaftar dan membayar yuran mendapatkan lesen tersebut bagi tujuan untuk mengetahui jumlah penagih dadah di negara ini. Apakah idea dan cadangan ini masuk akal?

Cukuplah kita telah merugikan wang perbendaharaan negara dengan membekalkan jarum dan kondom secara percuma kepada penagih dadah sedikit masa dahulu dan hasilnya, hampeh...adalah individu tertentu yang mengaut keuntungan dari perkara itu agaknya kut...

Penulis teringat kepada salah seorang rakan boling berbangsa Tionghua yang telah menjawat jawatan sebagai Penolong Pengurus salah sebuah cawangan kedai perabot terkemuka di negara ini, juga seorang bowler yang bagus, telah meninggalkan segala-galanya akibat kalah pertaruhan bolasepak Piala Negara-Negara Eropah beberapa tahun dahulu. Sampai sekarang penulis tidak pernah bersua dan mendengar khabar berita tentangnya lagi.

3) Tidakkah kerajaan merasa bimbang masalah sosial akan menjadi wabak dan parah. Bertambahnya orang yang berhutang dan masyarakat tidak progresif.Mereka menjadi leka dan lalai kerana sibuk meneka dan bertaruh.Mendorong rakyat dan seisi rumah termasuk kanak-kanak tumpukan kepada perolehan segera tanpa teknik dan akhirnya kerugian yang terhasil. Kekalahan dan kerugian akan menyebabkan rumahtangga runtuh,kemarahan berleluasa dan masyarakat berada dalam keadaan emosi yang tertekan.Kita tentulah boleh mengagak kesannya kepada negara.

4) Tidakkah kerajaan terfikir bahawa pemberian lesen kelulusan ini seolah-olah menjolok sarang syaitan kerana kemungkinan ada individu yang tidak berminat untuk berjudi tetapi terdorong kerana mendapat perkenan kerajaan.

Penulis masih lagi teringat akan mata pelajaran Pengajian Agama Islam semasa di sekolah menengah dahulu pada bab ayat-ayat Al Quran di mana firman Allah S.W.T di dalam Surah Al Maidah ayat 90 yang bermaksud," Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perkara keji dari perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan tersebut supaya kamu mendapat kemenangan".

Kembalilah kita kepada penyelesaian yang selayaknya. Percayalah kita kepada janji-janji Allah S.W.T., pencipta sekelian alam ini. Menyanggahi perintahNya boleh menyebabkan gugurnya iman dari diri. Ingatlah alam ini dan segalanya telah ada sebelum adanya kita dan tahukah siapa Pengaturnya. Sandarkanlah segala fikiran dan tindakan kita kepada keimanan yang kita iktikadkan semuga kita sentiasa mendapat petujuk dan rahmat Allah S.W.T...insyaAllah.

Saturday, May 8, 2010

Akademi Fantasia, Anugerah Seni Dan Alhamdulillah....

Selepas menunaikan solat fardhu Isyak di Masjid Al Makmur, iaitu masjid di dalam Taman Perumahan Indera Mahkota 2, penulis dan ayahanda, Haji Muhammad ke warong berhampiran untuk makan malam.Malam ni orang rumah tak masak sebab ayahanda beria-ria nak makan mee rebus kat kedai kawan beliau, seorang polis pencen juga ahli jemaah regular masjid.

Semasa sedang menikmati hidangan, penulis terpandang ramai remaja dan ada juga yang se usia penulis berada di depan tv. Penulis dapati ada rancangan hiburan bersekali juri.Lepas tu keluar Sarimah Ibrahim pegacara rancangan tersebut. Maka barulah penulis perasan bahawa ini adalah program Akademi Fantasia, iaitu tempat belajar berangan jika diikutkan maknanya.

Sebenarnya rumah penulis di Kuantan tak ada kemudahan Astro, maka penulis dan ahli keluarga banyak tidak mengetahui secara langsung tentang rancangan -rancangan hiburan realiti terbitan stesen berbayar ini.Rumah sewa penulis di Terengganu ada kemudahan ini memandangkan sukar mendapat siaran yang baik di tempat tinggal penulis di sana.

Sesekali penulis menjeling ekor mata ke arah tv tersebut memerhatikan gelagat pelajar, pengkritik, penonton di dalam dan di luar tv.Begitu berharapnya penonton di dalam tv yang rasanya terdiri dari kaum keluarga mereka dengan sepanduk dan sorakkan.Dengar cerita pada program rancangan ini pada musim yang lepas-lepas, ada kaum keluarga sanggup berhabis harta untuk membeli prepaid untuk mengundi peserta mereka.Pelaburan katakan.

Menangis, bertempik, berpelukan dan bermacam gelagat lagi menghiasi setiap kali rancangan ini.Ucapan alhamdulillah,assalamualaikum dan insyaAllah acapkali kedengaran.Penulis juga perasan bahawa acapkali program anugerah seni, pemenang, penyampai hadiah dan pengacara sering mengucapkan perkataan alhamdulillah,insyaAllah dan assalamualaikum.
Penulis tidak tahulah adakah wajar pengucapan tersebut.

Boleh dikatakan mereka yang hadir pada majlis tersebut berpakaian lebih menyerupai bintang hollywood atau bollywood.Kita tak payah nak cerita tentang auratlah,rambut pun berbagai-bagai warna,ada hijau,merah,kuning,biru dan macam-macam warna lagi bagi menggambarkan betapa happeningnya mereka.Apabila diumumkan sebagai pemenang,sebelum naik ke pentas cium sana-sini dan berpeluk sana-sini.Dapat peluang berucap keluarlah assalamualaikum,alhamdulillah dan insyaAllah padahal kalau artis wanita tu pakaiannya terdedah sana,terdedah sini.Rambut kuning separuh,biru 7 helai dan merah selebihnya.Kelihatan amat janggal sekali.Bagaimana mereka boleh mengucapkan rasa kesyukuran sedangkan mereka dalam keadaan tidak bersyukur dengan kurniaan Allah S.W.T. Menang anugerah kerana memainkan watak yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti adegan suami isteri di atas katil,berpeluk cium sedangkan pelakonnya tiada hubungan.

Penulis terbaca satu artikel seorang penulis mengatakan kini menjadi amalan biasa karyawan dunia hiburan seperti penerbit memanggil ustaz bagi pelancaran pembikinan filem bagi diadakan kenduri doa selamat sedangkan pengisian filem dan penggambarannya bertentangan dengan hukum-hakam agama. "Saya bimbang suatu hari nanti pembikinan filem porno pun akan diadakan majlis doa selamat" katanya.

Keadaan ini jelas menunjukkan semakin kelirunya masyarakat Islam terhadap agama sendiri. Hakikatnya hiburan itu tidak salah, yang tidak betulnya adalah manusia yang menjayakannya. Cuba kita lihat bagaimana seorang penyanyi tersohor dunia, Cat Stevens berjaya mengislamkan seni persembahannya setelah menjadi seorang Muslim yang taat bernama Yusuf Islam.

Kenapa kita boleh menangis untuk hiburan sedangkan sukar berbuat demikian untuk memikirkan keadaan kita yang kerdil hidup memgharapkan izin Allah S.W.T. Sesetengah ibubapa pula ada yang mengharapkan anak-anak mereka menjadi penghibur terkenal supaya mendapat kekayaan dan populariti, kononnya. Diberinya galakkan dan sokongan baik dari segi moral ataupun material agar cita-cita mereka tercapai. Nampak sangat sekarang orang Islam semakin bercelaru imannya dan kefahaman agama.

Hadis riwayat Tirmidzi bermaksud; "Rasulullah S.A.W melarang mengajari anak-anak kecil menyanyi dan melarang mengajari anak-anak perempuan serta melarang menerima harga penyanyi wanita dan upahnya ".

Diceritakan oleh Ali bin Hajar As-Sa'id, oleh Masym'il bin Milham, dari anak Adiy bin Hatim, Dari Mathrah bin Yazid, dari Ubaidillah bin Zahrin, dari Zahrin, dari Ali bin Yazid, dari Al-Qasim, dari Abi Umamah, ia berkata: Bersabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud; "Tidak halal mengajari penyanyi-penyanyi wanita dan tidak halal menjual mereka, sedangkan harga mereka adalah haram".

Mengenai hal ini sebagaimana firman Allah S.W.T. di dalam Surah Luqman, ayat 6 yang bermaksud, "Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah".

Thursday, May 6, 2010

Selamat Ulangtahun Kelahiran


Rasanya belum terlewat untuk penulis mengucapkan Selamat Ulang Tahun Kelahiran ke 17 kepada anak sulung, Ain Farah Suffieyya yang jatuh pada 6/5/2010 dan juga ucapan yang sama kepada anak ketiga penulis, Ain Farah Saffurra pada tanggal 27/4/2010 untuk kali yang ke 14.Sudah remaja anakanda berdua.

Begitu pantas masa berlalu.Menatap foto-foto lama, penulis tak terasa adanya masa yang berlalu.Hati dahulu dan sekarang rasa macam tu je..cuma muka dan bentuk badan dah berisi.Namun apabila melihat anak membesar barulah perasan, penulis makin tua rupanya.

Tengok ayahanda dan bonda pula, lagilah sedar penulis telah meninggalkan banyak masa dan belum tahu masa yang akan ditempuhi mendatang.Merenung foto-foto ayahanda yang kacak dan bonda yang cun semasa muda, tak terfikir di depan mata sekarang mereka berwajah lemah dan tidak setangkas dahulu semasa penulis di usia anak-anak penulis sekarang.Yang baru menyusul yang lama dan itulah fitrah alam yang pasti kita semua tempuhi.

Wahai anakanda-anakanda ku!

Ingatlah pesan ayahanda.Apa yang anakanda telah dan akan lalui telah ayahanda dan bonda lalui dan telah lebih dahulu ditempuhi serta dirasai oleh nenda-nenda.Dunia ini penuh fatamorgana, nampak indah tapi tiada apa-apa sangat sebenarnya.Semakin dikejar semakin lari ia.Nampak ada tapi tak ada.Apa yang sebenarnya ada bukan di sini tempatnya tapi singkaplah hijab tersebut dengan ilmu dan iman bahawa ada kehidupan abadi yang tiada penghujungnya.

Gunakannlah waktu muda anakanda sebelum tiba masa tua.Gunakanlah masa lapang anakanda sebelum datang waktu sempit.Gunakanlah waktu sihat sebelum datang masa sakit.Gunakanlah masa hidup ini sebelum tiba masa kematian.

Wahai anakanda-anakanda ku! Ingatlah,adalah termasuk antara adab-adab muslim adalah berhubungan dengan orang-orang soleh, dekat dengan mereka dan memohon doa dari mereka.

Firman Allah S.W.T. di dalam Al Quran surah Al Kahfi ayat 28 yang bermaksud;"Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Rabb (Tuhan) nya di pagi hari dan senja hari dengan mengharapkan redhaNya dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerana) mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami serta menuruti hawa nafsunya dan mereka adalah kaum yang melewati batas."

Dari Ali bin Abu Thalib r.a ; aku dengar Rasulullah S.A.W. bersabda (yang bermaksud):Tiga golongan umatku akan mengisi Neraka Jahanam selama umur dunia 7 kali.Mereka ialah orang yang gemuk kurus (wanita yang gemuk/sihat tubuhnya tapi kurus ibadahnya), orang yang berpakaian telanjang (wanita yang cukup pakaiannya tapi tidak taat agama/tidak menutup aurat-terlalu ketat atau nipis) dan orang yang alim jahil (alim ulama yang menghalalkan yang haram kerana kepentingan duniawi) ."

Firman Allah S.W.T. di dalam Al Quran surah Al Ashr yang bermaksud " Demi masa!Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan kepada kebenaran dan berpesan kepada kesabaran."

Wahai anakanda-anakanda ku, ayahanda doakan semuga segala urusan dikurniakan hidayat oleh Allah S.W.T. dan mendapat keredhaanNya...Amin ya Rabbalalamin.

Wednesday, May 5, 2010

Nama Yang Baik Membawa Harapan

Rasulullah S.A.W. pergi mengunjungi rumah anaknya Fatimah r.a. yang baru melahirkan seorang anak lelaki. Kegembiraan jelas kelihatan di wajah baginda mempunyai cucu sebagai penyambung zuriat keturunannya nanti.Baginda bertanya tentang cucunya dan nama yang diberikan setibanya di rumah Ali karammahllahuwajhah.Lalu dijawab oleh menantu yang juga sepupu baginda bahawa diberi nama 'Harba' terhadap bayi tersebut yang bermaksud peperangan.

Ali bin Abu Thalib sebagai seorang mujahid memang mengalir jiwa jihad dan darah pahlawan serta bersedia berjuang di medan jihad.Begitulah besar dan hebatnya harapan beliau.
Namun Rasulullah S.W.T. tidak menyetujuinya dan disuruh namakan bayi tersebut dengan nama 'Hasan' yang membawa erti baik. Ali r.a dan Fatimah r.a akur dan bersyukur atas kurniaan Allah S.W.T itu.

Beberapa tahun kemudian Fatimah r.a. melahirkan seorang lagi anak lelaki dan sekali lagi selaku bapa, Ali r.a menamakan dengan nama 'Harba' kerana kuatnya pengaruh jihad di dalam jiwa beliau. Apabila Rasulullah S.A.W. menziarahi mereka, baginda menyuruh ditukar nama tersebut kepada 'Husein' yang juga bermakna baik. Sekali lagi Ali r.a dan Fatimah r.a akur dan bersyukur kehadrat Allah S.W.T atas limpah kurniaan tersbut.

Beberapa tahun kemudian Fatimah r.a. melahirkan seorang lagi anak lelaki dan Ali r.a sekali lagi menamakannya dengan 'Harba' tetapi disuruh gantikannya dengan nama 'Muhsin' yang membawa maksud suka melakukan yang baik dan berkebajikan oleh Rasulullah S.A.W. setelah beliau mengunjungi mereka. Mereka akur dan bersyukur.Nama tersebut digunakan walaupun Muhsin meninggal dunia semasa kecil lagi.

Hasan,Husein dan Muhsin adalah tiga nama yang diberikan Rasulullah S.A.W. kepada ketiga-tiga cucu baginda walaupun bapa mereka Ali r.a setiap kali kelahiran memberi nama 'Harba'. "Aku berikan nama demikian menyerupai nama anak-anak Nabi Harun a.s iaitu Syabbar,Syubair dan Musyabbir." penjelasan Rasulullah S.A.W. kepada Ali r.a.

Hasan r.a dan Husein r.a memang merupakan nama yang terkenal dengan baik pekertinya dan warak serta zuhud sifatnya.

Begitulah Nabi Muhammad S.A.W. memberikan perhatian besar tentang nama.Baginda inginkan nama-nama baik mempunyai erti dan mengandungi harapan yang baik pada diri orangnya.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud "Kamu nanti di Akhirat akan dipanggil dengan namamu dan nama ayahmu, kerana itu baikilah namamu (dengan memberikan nama yang baik)".

Solat Dan Manusia Yang Pertama Mengerjakannya

Peristiwa Israk Rasulullah S.A.W dari Masjidil Haram Mekah ke Masjidil Aqsa, Palestin dan Mikraj dari sana ke langit telah menghasilkan anugerah antaranya ialah kefardhuan menunaikan solat lima waktu.Anugerah yang tak ternilai besar dan hebatnya kerana kita dikuniakan peluang untuk bermunajjat dan berbicara secara terus dengan Pencipta Yang Agung, Allah S.W.T....Tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah S.W.T dan Muhammad S.A.W itu pesuruhNya.
Sebenarnya perintah mengerjakan solat ini telah difardhukan terhadap rasul-rasul dan pengikut-pengikutnya yang terdahulu.Tahukah kita siapakah manusia yang pertama mengerjakan solat-solat fardhu yang kita lakukan sekarang.

1.Solat Subuh

Waktunya bermula setelah terbit fajar Sadiq hingga terbit matahari.Manusia pertama yang mengerjakannya ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi.Pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda merasa takut yang amat sangat.Apabila fajar Subuh telah keluar, baginda pun solat dua rakaat.

2.Solat Zuhur

Waktunya mulai gelincir matahari ke barat dan berakhir di saat bayangan sesuatu benda itu sama betul dengan benda tersebut.Manusia pertama yang solat Zuhur ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah S.W.T. telah memerintahkannya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. .Apabila seruan itu datang,sujudlah Nabi Ibrahim a.s. sebanyak empat rakaat.

3.Solat Asar

Waktunya bermula selepas waktu Zuhur iaitu ketika bayang sesuatu benda sama panjang dengan benda tersebut dan berakhir setelah terbenamnya matahari.Manusia pertama mengerjakanya ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah S.W.T dari perut ikan Nun.Ikan tersebut telah memuntahkan Nabi Yunus a.s. di tepi pantai pada waktu Asar.Maka bersyukurlah baginda lalu solat empat rakaat.

4.Solat Maghrib

Waktunya bermula setelah terbenamnya matahari dan berakhir apabila cahaya merah hilang.Manusia pertama yangmengerjakannya ialah Nabi Isa a.s. iaitu apabila baginda dikeluarkan oleh Allah S.W.T daripada kejahilan dan kebodohan kaumnya sedangkan pada waktu itu matahari telah terbenam.Nabi Isa a.s. bersyukur lalu solat tiga rakaat.

5. Solat Isyak

Waktunya bermula setelah hilang cahaya merah sampai terbit fajar.Manusia pertama yang mendirikan solat ini ialah Nabi Musa a.s. .Ketika itu baginda sesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan. Baginda amat berdukacita dan Allah S.W.T. menghilangkan segala perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak lalu Nabi Musa a.s. bersolat empat rakaat tanda bersyukur

Begitulah asal usul solat fardhu yang kita kerjakan sekarang di mana sepatutnya peluang ini menjadi tempat kita berbicara secara terus dengan Allah S.W.T. baik sebagai tanda bersyukur,merayu atau menunjukkan kepatuhan.
Sebenarnya ada kemanisannya segala perintah Allah S.W.T terhadap hambaNya kerana Dia Maha Mengetahui apa yang nyata dan apa yang tersembunyi....Wallahua'lam.

Sunday, May 2, 2010

Sapu Muka Selepas Solat Bukan Sunnah Rasulullah


Apabila penulis membaca Berita Minggu 2/5/2010 iaitu semalam, penulis terjumpa ruangan Persoalan Agama bersama Ustaz Haji Zahazan Mohamed berkenaan perbuatan menyapu muka selepas solat. Sila lihat lampiran keratan akhbar tersebut.

Penulis terus teringat semasa mengerjakan fardhu haji di Mekah pada tahun 1425 Hijrah bersamaan 2004/5 Masihi.Semasa menunggu solat Isyak setelah selesai sembahyang Maghrib terdapat beberapa orang guru-guru agama menyampaikan kuliah. Mereka terdiri dari berbagai bangsa dan keturunan serta menggunakan berbagai-bagai bahasa. Maka jemaah boleh memilih untuk mendengar kuliah dalam bahasa yang mereka fahami. Terdapat juga guru-guru tersebut berasal dari Asia Tenggara terutamanya dari Selatan Thai, Malaysia dan Indonesia yang telah lama menetap di sana.

Dalam satu kuliah yang diikuti disampaikan oleh seorang guru yang berasal dari Selatan Thai,beliau menyatakan antara bidaah di dalam solat adalah menyapu muka selepas salam. Beliau menerangkan lagi sesetengah jemaah yang berasal dari Asia Tenggara walaupun tangannya dipegang masih lagi mahu menyapu muka apabila selesai solat tanpa menyedari duduk perkara perbuatan yang mereka hendak lakukan.

Berdasarkan penerangan beliau, kajian penulis dan pembelajaran sedikit sebanyak daripada kuliah-kuliah agama maka penulis sependapat dengan Ustaz Zahazan perihal perbuatan ini.

Ramai perawi-perawi hadis yang menyatakan menyapu muka selepas salam boleh dipertikaikan kredibiliti dan taraf kewarakkannya hatta ada yang diragui sifat perangai mereka terhadap kepatuhan beragama sehingga hadis-hadis yang dirawi telah disifatkan dan dikumpulkan menjadi Himpunan Hadis Dhaif dan Maudhu'.

Ada juga menyata balas terhadap hadis tersebut bahawa kemungkinan sekiranya ada Rasulullah menyapu muka selepas solat adalah disebabkan oleh kebanyakkan masjid pada ketika itu berlantaikan tanah, maka Rasulullah hanya menyapu tanah dari muka beliau tanpa apa -apa maksud dari perihal solat.

Ramai ulama besar dan pengkaji hadis memutuskan bahawa pendapat yang paling tepat dan selamat ialah beramal dengan hadis sahih dan tidak beramal dengan hadis dhaif.Apalagi hadis yang bertaraf maudhu'.Di antara mereka ialah Dr Yusuf Al Qardhawi,Muhammad Nasiruddin Al Bani,Muhammad Ajjaj Al Khatib,Ahmad Syakir dan ramai lagi.

Hadis-hadis sahih sudah banyak dan mencukupi untuk kita jadikan dalil dan hujah dalam amalan ibadah dan amalan seharian.Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud; Diriwayatkan dari Aisyah Radhiallahu anha,"Rasulullah S.A.W biasa membuka solat dengan takbir dan mengakhirinya dengan mengucap salam"..(Hadis riwayat Imam Muslim).

"Kunci solat adalah be
rsuci,pembukanya takbir dan penutupnya adalah mengucap salam"...(Hadis riwayat Imam Muslim).

Jabir ibni Samirah meriwayatkan,"Mengapa aku melihat kamu mengangkat tangan seperti ekor kuda (ketika mengakhiri solat dengan mengucapkan salam)?
Cukuplah dengan meletakkan tangannya di atas pahanya, lalu ucapkanlah salam kepada saudaranya yang di sebelah kanan dan kirinya"...(Hadis riwayat Imam Muslim).

Dari hadis-hadis ini langsung tidak ada gambaran bahawa Rasulullah S.A.W menyapu muka selepas salam. Kalau ada tentulah diterangkan di dalam Kitab Hadis Sahih Bukhari,Kitab Hadis Sahih Muslim atau Kitab Hadis Sahih Bukhari Muslim. Lebih aneh lagi ada yang mengucup tangan kanannya sehingga mengeluarkan bunyi ketika menyapu muka sesudah salam....Wallahua'lam..