click here!!

Sunday, May 30, 2010

Hebatnya Seberang Pintasan Kini


Hebat sungguh nama Kampung Seberang Pintasan kini.

Terletak di muara Sungai Dungun dan tepi Laut China Selatan. Tempat pertembungan air laut dengan air sungai. Dulu-dulu terkenal dengan Pantai Teluk Bidara, Tanjung Jara, perkampungan nelayannya, pengkalan untuk ke Pulau Tenggol, tempat pembuatan bot nelayan dan bot komersial serta hasil laut dan makanannya. Siapnya jambatan yang menghubungkan kampung ini dengan Bandar Dungun, menambahkan lagi kecantikkan permandangan di muara Sungai Dungun ini amnya dan Seberang Pintasan khasnya.

Namun fenomena itu belum cukup untuk mempopularkan kampung ini. Maka muncullah segelintir penduduk setempat terutama remaja mempromosikan lagi Kampung Seberang Pintasan.

Beberapa tahun lepas penulis beberapa kali terbaca di akhbar akan beberapa tangkapan oleh pihak berkuasa terhadap penagih dan pengedar dadah yang melibatkan penduduk kampung ini. Selepas itu berita yang mengaitkan penduduk kampung ini dengan najis dadah sering terdapat di dalam akhbar.

Pada awal tahun ini sekali lagi kampung ini dikejutkan dengan tangkapan khalwat yang melibatkan dua beradik remaja perempuan dari kampung ini bersama pasangan mereka di hotel. Namun berita terbaru pada 25/5/2010 menerusi muka depan sebuah akhbar harian, betul-betul mempopularkan lagi nama kampung ini.

Remaja perempuan yang telah bertunang berasal dari kampung ini,telah ditangkap khalwat bersama pasangannya yang bukan tunangnya, di sebuah rumah tumpangan. Beliau mengaku telah beberapa kali berzina dengan pasangan tersebut dan juga di masa lain dengan tunangnya juga.

Ini adalah kes yang dapat dikesan, tetapi mendengar cerita dari orang kampung, banyak kes-kes yang sebegitu telah berlaku di kampung ini. Hebat sungguh remaja kampung ini sekarang. Kalau ini lah remaja harapan bangsa, maka kampung ini akan diwarisi oleh mereka yang sakit jasmani dan rohani.

Sebenarnya hal-hal sebegini bukannya hanya berlaku di kampung ini sahaja malah negeri Terengganu sendiri telah mengalami evolusi sikap dan tingkah laku penduduknya. Mungkin ini adalah sebahagian kesan globalisasi dan hasil kemajuan material.

Menerusi pengamatan penulis semenjak kembali ke negeri ini pada tahun 2006 kerana urusan kerja, adalah didapati terlalu jauh berbeda keadaannya, semasa penulis masih kecil. Suasana dahulu lebih harmoni, budaya mencari dan mendokong ilmu agama amat kuat. Penduduk negeri ini amatlah menghormati tetamu luar dan kuat pegangan agamanya. Boleh dikatakan wanita-wanitanya bertudung labuh dan tidak bersalaman dengan lelaki bukan muhrim.

Bertepatan dengan kajian sejarah oleh tokoh sejarah kita, Allahyarham Haji Buyong Adil yang berasal dari negeri Perak Darul Rizduan di dalam bukunya Siri-Siri Sejarah Nusantara termasukklah buku Sejarah Trengganu menyatakan pada muka surat 141 & 142 bahawa "Tingkah-laku dan peribadi orang-orang Melayu Trengganu didapati jauh berbeza dengan tingkah-laku dan peribadi orang-orang Melayu Pahang dan Kelantan. Orang melayu Trengganu suka hidup aman, tidak suka bertabiat kasar, berkelahi atau berperang (kecuali orang Melayu Trengganu yang diam di Besut dan Setiu yang bertabiat garang terhadap bangsa asing). Pada amnya , kecenderungan hidup orang Melayu Trengganu itu bekerjasama ada bertani, menangkap ikan,berniaga atau berdagang dan tidak membangga-banggakan bangsa dan negeri mereka. Orang Melayu Trengganu itu kuat memegang agama Islam, lebih kuat dari lain-lain orang Melayu di Tanah Melayu. Di mana-mana tempat dalam negeri Trengganu itu ada orang mengajar agama Islam tetapi banyak pula antara mereka yang mempercayai kepercayaan-kepercayaan karut yang dihubungkan dengan ajaran agama Islam. Anak-anak mereka dari kecil lagi telah diajar membaca Mukaddam (Juz Amma) dan setelah khatam membaca Al Quran pula dengan tidak mengetahui apa-apa makna pun di dalam bahasa Melayu. Kepandaian membaca dan menulis jawi boleh dikatakan terdapat di seluruh Trengganu. Akhlak mereka sangatlah baik jika dibandingkan dengan akhlak orang-orang Melayu di lain- lain negeri Melayu begitu juga kesihatan mereka boleh dikatakan baik. Pekerjaan utama yang dibuat oleh orang -orang Melayu Trengganu itu ialah bertani, menangkap ikan (nelayan), membuat berjenis-jenis barang, bekerja dalam hutan dan membuat perahu".

Dengan sebab itulah jua, Terengganu disepakati untuk dikenali dengan Terengganu Darul Iman.

Itu cerita dulu. Cerita orang belum naik ke bulan. Sekarang orang- orang Terengganu tidak mahu kalah dalam sebarang bentuk pengkisahan, tak kira apa, janji glamor.

Sekarang sudah ramai lahirnya penghibur tanah air, kalau dahulu orang Terengganu terkenal kerana kerap menjuarai Musabaqah Membaca Al Quran. Tidak ada bezanya mereka dengan yang lain sekarang ini.

Sekiranya Allahyarham Haji Buyong Adil dan Allahyarham Munshi Abdullah masih hidup, mereka akan terperanjat gila atau terus mungkin menukar fakta di dalam buku-buku sejarah kajian dan tulisan mereka. Kenapa keadaan sebegini boleh dikira terlalu drastik berlaku?

Pengamatan dan penelitian penulis ianya disebabkan penyakit rohani, iaitu penyakit hati. Antara penyebab terbesarnya adalah memakan makanan yang haram baik haram kerana zatnya seperti arak, daging babi, bangkai dan sebagainya atau haram kerana bukan haknya seperti memakan harta anak yatim, menipu dalam ukuran dan timbangannya, mencuri, mengambil sesuatu yang bukan haknya seperti memakan harta zakat sedangkan tidak layak dan lain-lain lagi.

Maka di sini cuba kita fikir dengan iman yang ada, bagaimana pula tarafnya apabila hasil dan hak rakyat negeri Terengganu telah ditukarkan kepada Wang Ihsan yang kita sendiri tahu apatah lagi rakyat negeri Terengganu Darul Iman amat maklum akan kaedah pengagihannya. Mengambil, memakan sesuatu yang bukan haknya kerana tidak layak atau apa sebab sekalipun adalah haram. Pendapatan yang haram, dibelanjakan kejalan mana sekalipun adalah berdosa dan terkesan kepada masyarakat. Ini yang berlaku kepada rakyat negeri Terengganu sekarang.

Cuba kita kembali kepada sejarah Islam bagaimana Hajjaj Yusuf As Saqafi, seorang panglima Yazid bin Abu Suffian, khalifah Bani Umaiyyah telah cuba menaklukki Kuffah beberapa kali tetapi tidak berjaya. Maka beliau menggunakan pendekatan berlembut dan berdamai dengan penduduk Kuffah yang menyokong kuat Saidina Husain r.a dan Saidina Hasan r.a.

Beliau menjemput penduduk Kuffah ke suatu majlis dan diadakan jamuan. Setelah selesai jamuan tersebut beliau terus berucap mengatakan sekarang beliau tidak gentarkan lagi penduduk Kuffah ini kerana mereka telah menikmati jamuan tersebut yang merupakan makanan dan minuman yang haram. Penduduk Kuffah di kala itu amat ampuh dan mustajab doa mereka.

Selepas itu Kuffah dengan mudah telah di tawan dan sehinggalah kepada pembunuhan Saidina Husain r.a di Karbala pada 10 Muharam 61H kerana kesanggupan penduduk Kuffah membelot.

Lihatlah lagikan cucu Rasulullahh S.A.W. pun teraniaya, inikan pula kita.

1 comment: