click here!!

Friday, May 14, 2010

Judi Tetap Judi, Haram Di sisi Islam


Pening...pening....pening. Penulis rasa terpana dan terkedu memikirkan bagaimana perkara ini boleh ada dan terfikir oleh seorang pemimpin negara yang beragama Islam sebagai satu solusi yang dikira rasional.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan, Senator Dato' Awang Adik Hussein mencadangkan agar kerajaan membenarkan lesen pertaruhan dikeluarkan sempena kejohanan bolasepak Piala Dunia pada bulan Jun nanti. Sehubungan dengan itu juga, dengan begitu drastik kerajaan pusat pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak secara rasmi telah meluluskan lesen judi pertaruhan bolasepak Piala Dunia. Dengan begitu pantas dan beraninya pula, Berjaya Corporation Bhd (BJ Corp) menerusi bossnya, Tan Sri Vincent Tan mengumumkan bahawa syarikat itu bakal memiliki lesen pertama di Malaysia apabila menguasai 70% kepentingan dalam Ascot Spots Sdn Bhd dengan harga RM525 juta.Rentetan dari peristiwa ini banyak pihak dari parti politik, NGO dan orang perseorangan tampil menyatakan bantahan dan mengusulkan ditarik semula kelulusan tersebut.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Dato' Dr Ma'amor Osman berkata , tindakan kerajaan memberi lesen judi kepada Kumpulan Berjaya amatlah memalukan negara apatah lagi Malaysia sebagai negara Islam. "Kewajaran kerajaan meluluskan lesen perjudian untuk mengelakkan judi haram adalah bercanggah dengan tuntutan Islam yang mengharamkan segala bentuk aktiviti judi termasuk unsur perjudian ini. Walaupun Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum dan agama, namun tidak ada mana-mana agama yang membenarkan pengikutnya berjudi. Ini satu yang amat memalukan dan mengecewakan rakyat" katanya.

Sementara itu pula, perjudian yang diberi lesen dan perjudian yang tidak diberi lesen kedua-duanya haram di sisi Islam, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Menurutnya lagi, jika kerajaan pusat tetap mengeluarkan lesen untuk aktiviti perjudian, ia menampakkan kerajaan menghalalkan judi yang sememangnya haram di sisi agama dan ianya tidak seharusnya berlaku kerana semua masyarakat tahu bahawa judi itu haram.

Sebenarnya ada beberapa perkara yang penulis musykilkan dan tertanya-tanya bagaimana perkara sebegini tiba-tiba boleh timbul.

1) Cadangan dari Timbalan Menteri Kewangan tanpa mengambil banyak masa terus diluluskan dan sekoyong-koyong itu juga Kumpulan Berjaya mengumumkan mereka akan memperolehi lesen perjudian yang pertama di Malaysia. Nampak macam ada yang tak kena . Takkan proses kelulusan ini terlalu mudah. Sebenarnya siapa punya idea ni? Penulis bimbang pemimpin kita jadi rubber stamp saja.

2) Takkan tak ada langsung roh Islam dalam jiwa pemimpin kita yang mengaku Muslim itu. Orang bukan Islam pun tahu bahawa segala aktiviti judi itu haram di sisi Islam. Penulis rasa mereka pun pelik cara pemimpin tersebut berfikir.

Timbalan Menteri tersebut dirakamkan berkata, "Ada beberapa perkara penting untuk dikaji, sama ada perkara ini (mengeluarkan lesen membenarkan pertaruhan) baik bagi kerajaan atau jika kerajaan boleh cuba mengawalnya untuk mengetahui berapa banyak (jumlah wang daripada pertaruhan haram)".

Apa yang jelas kelulusan tersebut akan memakmurkan gejala perjudian. Semua lapisan masyarakat tanpa rasa segan silu akan menyertai pertaruhan ini tanpa mengira agama dan keturunan. Yang mengaut keuntungan adalah taukeh judi tersebut kerana mereka merupakan pemegang lesen tunggal. Agak-agaknya ke manakah agihan hasil cukai judi tersebut nak disalurkan. Kepada anak-anak yatim?untuk rancangan Bersamamu, kemudahan asas, pembinaan masjid dan sekolah? Cukuplah apa yang diagihkanan hasil dari cukai perkara yang haram selama ini sehingga menghasilkan masyarakat yang rosak akhlaknya dengan bermacam-macam gejala sosial .Tak kan nak disalurkan untuk pembangunan sukan.Negara pun dah ada pengalaman beberapa tahun dulu rasuah dalam sukan bolasepak.Penaja-penaja hebat ketika itu ada yang merupakan pusat perjudian terulung di negara ini. Gejala tidak jujur dalam sukan akan wujud bila sumbernya adalah haram. Adakah kerajaan sanggup melihat kehidupan dan pembangunan sebahagian warganegaranya berdasarkan hasil judi?

Kawalan bukan dengan memberi lesen kelulusan tetapi memperkenalkan teknik benteras, hukuman lebih keras dan tahap efisiensi yang lebih kemas bagi memerangkap mereka yang terlibat dengan pertaruhan tersebut.

Semua orang tahu dan mengerti bahawa mencegah adalah lebih baik dari mengubati tapi kerajaan telah bertindak kebelakang dengan menggalakkannya. Adakah betul tindakan kerajaan sekiranya lesen kelulusan menagih dadah dikeluarkan. Sesiapa yang berminat dan berkehendak bolehlah mendaftar dan membayar yuran mendapatkan lesen tersebut bagi tujuan untuk mengetahui jumlah penagih dadah di negara ini. Apakah idea dan cadangan ini masuk akal?

Cukuplah kita telah merugikan wang perbendaharaan negara dengan membekalkan jarum dan kondom secara percuma kepada penagih dadah sedikit masa dahulu dan hasilnya, hampeh...adalah individu tertentu yang mengaut keuntungan dari perkara itu agaknya kut...

Penulis teringat kepada salah seorang rakan boling berbangsa Tionghua yang telah menjawat jawatan sebagai Penolong Pengurus salah sebuah cawangan kedai perabot terkemuka di negara ini, juga seorang bowler yang bagus, telah meninggalkan segala-galanya akibat kalah pertaruhan bolasepak Piala Negara-Negara Eropah beberapa tahun dahulu. Sampai sekarang penulis tidak pernah bersua dan mendengar khabar berita tentangnya lagi.

3) Tidakkah kerajaan merasa bimbang masalah sosial akan menjadi wabak dan parah. Bertambahnya orang yang berhutang dan masyarakat tidak progresif.Mereka menjadi leka dan lalai kerana sibuk meneka dan bertaruh.Mendorong rakyat dan seisi rumah termasuk kanak-kanak tumpukan kepada perolehan segera tanpa teknik dan akhirnya kerugian yang terhasil. Kekalahan dan kerugian akan menyebabkan rumahtangga runtuh,kemarahan berleluasa dan masyarakat berada dalam keadaan emosi yang tertekan.Kita tentulah boleh mengagak kesannya kepada negara.

4) Tidakkah kerajaan terfikir bahawa pemberian lesen kelulusan ini seolah-olah menjolok sarang syaitan kerana kemungkinan ada individu yang tidak berminat untuk berjudi tetapi terdorong kerana mendapat perkenan kerajaan.

Penulis masih lagi teringat akan mata pelajaran Pengajian Agama Islam semasa di sekolah menengah dahulu pada bab ayat-ayat Al Quran di mana firman Allah S.W.T di dalam Surah Al Maidah ayat 90 yang bermaksud," Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perkara keji dari perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan tersebut supaya kamu mendapat kemenangan".

Kembalilah kita kepada penyelesaian yang selayaknya. Percayalah kita kepada janji-janji Allah S.W.T., pencipta sekelian alam ini. Menyanggahi perintahNya boleh menyebabkan gugurnya iman dari diri. Ingatlah alam ini dan segalanya telah ada sebelum adanya kita dan tahukah siapa Pengaturnya. Sandarkanlah segala fikiran dan tindakan kita kepada keimanan yang kita iktikadkan semuga kita sentiasa mendapat petujuk dan rahmat Allah S.W.T...insyaAllah.

No comments:

Post a Comment