click here!!

Saturday, May 22, 2010

Maut Jatuh Bumbung Semasa Tidur


Bunyi macam kelakar je,tapi itulah hakikatnya yang telah berlaku pada seorang buruh binaan yang menjadikan bumbung sebuah kondominium yang masih dalam pembinaan sebagai tempat tidurnya. Dalam hal sebegini, Islam telah mengajar umatnya tentang adab-adab kehidupan hatta dalam perkara yang agak remeh seperti tidur ini.

Maksud hadis, "Nabi S.A.W. melarang orang tidur di atas bumbung tanpa ada sesuatu yang menahan kedua kakinya di bawahnya."..(riwayat Abu Dawud).

Kelakuan tidur di atas bumbung sebenarnya memang pernah berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W. lagi dan larangan tersebut adalah kerana dikhuatirkan orang yang tidur itu terjatuh dari bumbung semasa tidurnya bila ia membalik-balikkan tubuhnya. Apabila ada penahan kedua-dua kakinya, sekurang-kurangnya ianya adalah lebih selamat.

Kebiasaan tidur di atas bumbung pada masa itu adalah kerana cuaca panas pada malam hari sehingga sukar untuk melelapkan mata sedangkan mereka akan bangun untuk beribadat seperti solat Tahajjud pada 2/3 malam. Walaubagaimanapun adalah digalakkan untuk tidur ditempat yang sepatutnya berkeadaan boleh menjaga maruah dan keselamatan.Begitulah Islam mendidik umatnya.

Adapun Rasulullah S.A.W. pernah berpesan kepada Saidatina Aisyah r.a. yang bermaksud,

"Ya Aishah!Janganlah engkau tidur sebelum melakukan empat perkara iaitu; khatam Al Quran, membuat para nabi-nabi memberi syafaat di hari kemudian, para muslim meredhai kamu, tunalkan haji dan umrah."

Aisyah r.a bertanya, " Ya Rasulullah! Bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkara seketika?".

Rasulullah tersenyum dan bersabda, " Jika kamu tidur bacalah Surah Al Ikhlas sebanyak tiga kali seakan-akan kamu mengkhatamkan Al Quran, berselawatlah untuk ku dan para nabi-nabi sebelumku supaya kami semua akan memberi syafaat di hari kemudian, beristighfarlah untuk semua muslim maka mereka akan meredhaimu, perbanyakkan bertasbih, tahmid, tahlil, takbir seakan-akan kamu mengerjakan haji dan umrah." ..(tafsir Haqqi).

Pada umumnya, apabila tidur seakan-akan kita telah mati di mana jiwa kita tidak bekerja namun tidur kepada sebahagian orang merupakan saat di mana aktiviti spiritualnya meningkat, sehingga apabila mereka bangun bukan hanya tubuh badan mereka segar tetapi juga jiwanya.

Orang -orang soleh sering menerima ilham (ruya al haqq) ketika sedang tidur seperti yang terjadi kepada diri Ibnu Sina, Imam Al Ghazali dan ulama-ulama lain.

Sebagaimana yang diceritakan lagi oleh Saidatina Aishah r.a. lagi di dalam riwayat yang lain bahawa adab-adab tidur yang diajar oleh Rasulullah S.A.W. adalah seperti berikut;

1) Tidur cepat iaitu tidur di awal malam.

2) Tidur dalam keadaan berwudhu'.

3) Berbaring atas lambung (rusuk) kanan dengan berbantalkan tangan kanan dan mengadap kiblat.

4) Tidak meniarap.

5) Membaca Ayatul Kursyi, akhir Surah Al Baqarah, Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas.

6) Berdoa yang bermaksud, " Dengan nama Mu ya Allah, aku hidup dan mati".

7) Apabila bermimpi buruk, terkejut dan takut disunatkan berdoa yang bermaksud," Aku berlindung denngan nama kalimah Allah (Al Quran) yang sempurna dari murka Nya dan siksa Nya dan dari kejahatan hamba-hamba Nya dan dari segala gangguan syaitan yang mendatangi ku"...( hadis riwayat Abu Dawud).

8) Memeriksa tempat tidur sebelum tidur. Rasulullah bersbda yang bermaksud, "Apabila salah seorang di antara kamu hendak menempati tidurnya, hendaklah ia mengambil kainnya, memeriksa alas tidurnya dan bacalah basmalah kerana ia tidak mengetahui apa yang ditinggalkan di tempat tidurnya setelah ia berpergian".

9) Bermuhasabah diri apa yang dilakukan sepanjang hari, atau sebelumnya semua perbuatan,perkataan atau niat dan segera bertaubat serta memohon ampun atas segala kesalahan dan dosa pada ketika itu juga.

Demikianlah antara adab-adab yang telah dididik oleh Islam menerusi sunah dan sirah Rasulullah S.A.W. semuga kita semua termasuk penulis beramal dengannya...Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment