click here!!

Monday, May 17, 2010

Mesyuarat Agung Persatuan Boling Tenpin Pahang Sesi 2010/12

Pada April lepas telah selesai Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Boling Tenpin Pahang bertempat di Hotel M.S. Garden, Kuantan, Pahang Darul Makmur.Mesyuarat kali ini melibatkan pemilihan Jawatan Kuasa baru.

Yang Berbahagia Dato' Tee Lian Ker tidak bertanding kali ini untuk memberi peluang kepada Dato' Shamsuddin Nawawi menerajui persatuan untuk penggal ini, 2010-2012. Tahniah Dato'. Penulis percaya dan yakin dengan kredibiliti dan pengalaman yang ada pada Dato'. Ditambah lagi sebagai pengamal undang-undang dan juga Setiausaha Politik Menteri Besar Pahang, memimpin sebuah persatuan tidak menjadi kesukaran kepada Yang Berbahagia Dato'.

Penulis juga mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada Dato' Tee kerana jasa dan sumbangan beliau telah berjaya menghasilkan ramai pemain boling berbakat hingga ke peringkat nasional lahir dari anak negeri ini.Apa yang berbeza, Dato' Shamsuddin merupakan seorang bowler yang aktif,maka feeling seorang pemain boling ada pada beliau.

Tuan Syed Mohsin Syed Agil
juga tidak bertanding mempertahankan jawatan Naib Presiden II. Penulis berpendapat ketiadaan Tuan Syed Mohsin merupakan satu kehilangan yang besar kepada persatuan memandangkan ketokohan dan penampilan beliau telah turut menyumbangkan kecemerlangan sukan boling di negeri ini dan menyerlahkan Persatuan Tenpin Boling Pahang.

Penulis juga tidak berkesempatan menghadiri mesyuarat agung kali ini dan juga mesyuarat agung penggal lepas, 2008-2010 kerana faktor hari bekerja. Pada penggal 2006-2008 penulis merupakan salah seorang ahli jawatankuasa persatuan. Memandangkan pada tahun 2006 itu juga, penulis mula terlibat dalam pengurusan projek di luar Pahang di mana terdapat perbezaan hari bekerja dan hari minggu, maka komitmen penulis agak terbatas. Maka dengan sebab itu juga penulis tidak dapat hadir pada kebanyakkan mesyuarat termasuk mesyuarat agung. Walaubagaimanapun pada penggal lepas, 2008-2010 penulis masih dilantik sebagai salah seorang juru audit dalaman persatuan.

Walaubagaimanapun majoriti jawatankuasa persatuan bagi penggal ini masih lagi terdiri dari muka-muka lama. Mereka pun telah masak dengan selok-belok persatuan.

Sebenarnya peminat dan pemain boling aktif di negeri ini ramai yang terdiri daripada pegawai kanan penjawat awam termasuklah ahli-ahli yang berhormat, ahli perniagaan dan kakitangan profesional. Maka negeri tidak ketandusan ahli untuk mengendali dan menggerakkan persatuan. Bak kata pepatah, hilang tumbuh patah berganti. Cuma apa yang penulis nampak ada beberapa kelemahan yang boleh diperbaiki untuk lebih memantapkan lagi persatuan boling negeri ini.

1) Setiap kali mesyuarat mesti ada minit yang dibentangkan untuk dibincangkan dan hasil mesyuarat tersebut hendaklah diedar minitnya secepat mungkin untuk diambil tindakan segera.

2) Suarakan dan bincangkan apa-apa bertujuan melicinkan perjalanan persatuan dalam memajukan sukan ini dan laksanakan apa yang telah dipersetujui di dalam mesyuarat tersebut. Jangan ada lagi mesyuarat kedai kopi.

3) Mesti ada task and goal dan time frame. Jangan jadi seperti buih di lautan. Banyak agenda tapi tiada tindakan dan kesan. Jangan bermusim dan hanya ikut mood dan rasa.

4) Tiada monopoli kuasa dalam membuat keputusan. Idea ramai adalah terbaik dan rasional.

5) Berlapang dada terhadap persetujuan yang dicapai dan mula bertindak secara sepakat.

6) Kita sendiri sedia maklum bahawa kerja berpesatuan adalah kerja sukarela. Mereka yang terlibat sudah akur dengan keadaan ini. Maka tidak timbul lagi merasa terbeban dengan tanggungjawab yang ada. Apa yang penulis tahu, setiausaha persatuan mendapat elaun kerja. Maka beliau tidak ada excuse untuk tidak commit. Jangan ada ahli jawatankuasa yang hanya hadir masa mensyuarat agung untuk mendapatkan jawatan selepas itu jumpa semula pada mesyuarat agung yang akan datang. Tugasan yang diberi terpaksa dilaksanakan oleh ahli jawatankuasa yang lain.

7) Paling penting mereka yang diamanahkan ini tidak mengambil kesempatan terhadap persatuan untuk kepentingan diri sendiri. Perkara ini akan mewujudkan prasangka sesama sendiri dan persepsi negatif oleh ahli atau sesiapa sahaja. Akan ada ketegangan sesama jawatankuasa, tuduh menuduh dan lebih buruk lagi fitnah memfitnah.

8) Bulat dan tekadkan matlamat kita terhadap sasaran. Sememangnya objektif kita adalah untuk memertabatkan pasukan boling kita mencapai kejayaan pada tahap tertinggi pada setiap masa. Maka perlu ada perancangan jangka pendek dan jangka panjang.

9) Sikap pro aktif dan integerasi. Selain mengendalikan sasaran terhadap kejohanan kendalian Malaysian Tenpin Bowling Congress (MTBC), ada beberapa kejohanan besar yang mampu menaikkan nama negeri seperti Kejohanan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Kejohanan Sukan Anggota & Kakitangan Kerajaan (MAKSAK). Walaupun ianya melibatkan pihak lain namun demi negeri wujudkan jawatankuasa integerasi untuk sama-sama memainkan peranan kearah kecemerlangan contohnya menyediakan jurulatih.Lagi pun boleh dikatakan pemain yang terpilih mewakili negeri untuk kejohanan-kejohanan tersebut melibatkan pelatih-pelatih dan ahli-ahli kita.

10) Sebagaimana yang kita sedia maklum, negeri mempunyai ramai penggiat sukan ini yang berkaliber dan berpengalaman. Contohnya FJ Lim, bekas pemain negara;Dennis Chew, bekas pemain negara dan jurulatih bertauliah; Hamzah Amin, bekas pemain negeri, jurulatih bertauliah negeri; John Chan, bekas pemain negeri, jurulatih bertauliah di mana anak-anak beliau Jonathan dan Jerusha merupakan pelatih skuad remaja negara; Alex Tong, bekas pemain negeri, jurulatih bertauliah di mana anak beliau Rodson merupakan pelatih skuad pelapis negara; Lim Wai Jun, bekas pemain remaja negeri dan negara; Farid Castello, jurulatih bertauliah dan ramai lagi termasuklah Syed Mohsin sendiri merupakan bekas pemain negeri.Kenapa tidak digembelingkan kelebihan yang ada pada mereka untuk kepentingan sukan boling negeri. Usah diperbesarkan kelemahan yang ada kerana kita perlu kepada kepakaran mereka. Ini boleh menjadi tugas pengendali persatuan untuk mengatur dan mengurus penggunaan kelebihan yang ada pada mereka.

Sebenarnya sesungguhnya jawatan yang disandang bukan sahaja memikul amanah ahli, masyarakat, negeri dan negara tetapi ianya merupakan amanah Allah S.W.T. ditugaskan kepada hambaNya yang tertentu dan ianya akan dipersoalkan di hari kemudian.Kesempatan ini juga kita dapat memperlihatkan keindahan nilai-nilai Islam dalam kehidupan agar sekurang-kurangnya ianya memberi persepsi yang positif kepada rakan dan masyarakat berlainan kepercayaan.

Sebenarnya kita adalah pejuang......Selamat Maju Jaya, Mertabatkan Sukan Boling Untuk negeri kita, Pahang Darul Makmur.

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Salam Tuan,
    Terima kasih kerana sudi memberi ulasan mengenai bowling di Pahang. Pandangan dan saranan Tuan akan sentiasa diambilkira dlm kami menjalankan segala aktiviti Persatuan. Semua keputusan yg di buat adalah melalui musyawarah dan perbincangan dlm Jawatankuasa. InsyaAllah tiada lagi keputusan akan dibuat oleh mana2 individu dlm Persatuan. Apa juga kelemahan akan cuba diatasi.
    Kami dlm jawankuasa telah membuat ketetapan utk menutup buku lama dan memulakan buku baru....

    ReplyDelete