click here!!

Tuesday, May 25, 2010

Nak Ke Mana Kita Agak-Agaknya?


Hari ini, 25hb Mei 2010 merupakan ulangtahun kelahiran yang ke 43 rakan sepersekolahan penulis, Tuan Haji Mazlan Othman (foto). Kami hampir 30 tahun tak bertemu setelah meninggalkan alam persekolahan menengah. Sebenarnya kami sekampung di Dungun, Terengganu Darul Iman dan beliau juga junior setahun kepada penulis semasa bersekolah menengah di Kemaman, Terengganu Darul Iman.

Kami sama-sama pelajar yang terpilih memasuki Kelas Rancangan Khas sebuah sekolah elit di Kemaman yang mana batch penulis seramai 17 murid lelaki merupakan pelajar perintis.Pada peringkat kolej, penulis melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Gurney, Kuala Lumpur dan beliau mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Kagoshima di negara matahari terbit, Jepun setahun kemudian.

Kami bertemu kembali dan berhubung hanya melalui facebook kira-kira seminggu yang lepas. Berdasarkan foto pada facebook, penulis menjangka tidak dapat mengecam beliau sekiranya kami terserempak.

Berketayap, berjambang dan badan dah berisi amat berbeza sekali sewaktu persekolahan dahulu. Nampak dah boleh bagi speech kat depan, amat berbeza semasa di asrama kadang-kadang menjadi mangsa usikkan dan sedikit bulian oleh penulis.Senior katakan penulis ni.Maaflah tuan haji, tetapi itulah asam garam yang mewarnai kehidupan kita dan menambah manisnya serta akrabnya persahabatan.

Begitu juga keadaan rakan sekelas dan sahabat penulis semasa bersekolah menengah tersebut, iaitu Tuan Haji Zainal Ali. Walaupun masih kecil tapi rambut semakin hilang dan matang penampilannya.Rakan-rakan yang lain juga berubah watak, rupa dan gaya dengan anak yang berderet melambangkan pertambahan usia.

Bagaikan menatap cermin, tersedar penulis begitu cepatnya masa beredar dan dekad telah beberapa kali bertukar. Penulis membelek-belek album lama dan foto-foto yang ada di dalam pen drive. Wah! Penulis sendiri mengalami evolusi yang agak ketara juga tanpa berapa disedari. Setelah dihitung dan diteliti rupanya kita mewarisi apa yang orang terdahulu telah melaluinya.


Kita hanya memenuhi kitaran hidup untuk diwarisi kepada orang yang terkemudian. Tiada apa sebenarnya pada kita ni. Dari zaman moyang kita Nabi Adam A.S. hingga lah akhir zaman nanti, kita tiada apa-apa. Kita menuntut tanah yang kita ada sebenarnya telah dimiliki oleh orang yang terdahulu. Orang yang kemudian mengambil hak selepas kita. Harta benda yang bertimbun milik kita , dahulunya milik orang ataupun tiada pemilik sebelum kita tapi akan menjadi milik orang atau hilang begitu sahaja selepas kita nanti.

Pangkat dan gelaran tidak memberi keistimewaan selepas tiadanya lagi kita. Maka apa yang ada kepada kita? Agak-agak dengan tiada apa-apa ni , nak ke mana kita ni???

Dengan mengambil kira usia Rasulullah S.A.W yang wafat pada umur 63 tahun, maka bolehlah diambil perkiraan bahawa jangka hayat manusia berada di sekitar usia itu. Kalau dikira usia Tuan Haji Mazlan maka jangkamasa hayat beliau hanya tinggal 20 tahun sahaja.Lama ke tu? Kalau bermain bolasepak penulis, Tuan Haji Mazlan dan Tuan Haji Zainal telah berada 1/3 masa permainan pada separuh masa kedua.

Cukupkah masa yang tinggal itu untuk cover masa yang telah berlalu dengan corak permainan kita sekarang ini???

Penulis bimbang kita ketinggalan terlalu banyak gol sepanjang tempoh masa berlalu tersebut sedangkan semakin menghampiri penamat, kita semakin bertambah penat dan tidak setangkas separuh masa pertama tadi. Sebarang kecuaian dan kelalaian akan menyebabkan kita makin dibelasah teruk.

Bagaimana pula kalau permainan ditamatkan sekarang, ataupun tak berapa jarak masa dari sekarang, ataupun ditamatkan sebelum separuh masa kedua dijadualkan tamat?

Nak ke mana kita agak-agaknya tu??

Kalau bernasib baik kita mendapat tambahan masa kecederaan, tetapi kalau kita sendiri sudah sukar untuk bergerak kerana terlalu penat dan cedera, bagaimana lagi kita mampu menyumbat gol?

Kalau kita berkehendakkan kemenangan juga, caranya hanyalah;

1) Merayu pada pengadil supaya isytiharkan kita menang juga.

2) Merayu pada pemerhati, panel-panel kejohanan supaya isytiharkan kita menang anugerah fairplay sekurang-kurangnya.

Untuk tujuan tersebut, kita mestilah;

1) Berbuat baik kepada pengadil dengan patuh kepada arahannya dan meninggalkan segala larangannya.

2) Menyukai, menyayangi, melaksanakan segala pesanan dan tunjuk ajar panel-panel tersebut bagaimana mendapat mata-mata penting untuk sekurang-kurangnya disokong untuk anugerah fairplay.

Begitulah jika diterjemahkan kepada kehidupan kita sekarang. Di samping kita mencuba yang terbaik untuk sisa waktu yang ada, paling penting kita berusaha mendapatkan rahmat Allah S.W.T dan syafaat Rasulullah S.A.W di hari kemudian.

Jika disandarkan kepada amalan , tidak mungkin dan tak mampu kita merasai syurga tanpa rahmat Allah S.W.T dan syafaat Nabi Muhammad S.A.W.

Kaedah dan tatacara terbaik untuk kita mengusahakannya ke arah itu adalah;

1) Dengan membaca Al Quran serta memahami makna dan maksudnya, melaksanakan segala suruhan serta meninggalkan segala larangan sebagaimana yang terkandung di dalamnya kesemua sekali tanpa memilih-milih.

2) Dengan ikhlas menyayangi dan memuliakan Rasulullah S.A.W. dengan mengikuti segala pesanan, ajaran, tingkahlaku dan mencontohi sebarang perkara yang disukai hatta dalam amalan harian seperti pakaian, makanan dan sebagainya serta menghindarkan sebarang perkara yang tidak digemari baginda sebagai membuktikan betapa kasihnya kita kepada baginda Rasulullah S.A.W.

Maka apabila kita sudah dan memang tidak berdaya, tetapi masih ada pula talian hayat, apa pilihan kita?

Tanyalah diri kita, nak kemana kita agak-agaknya?

No comments:

Post a Comment