click here!!

Monday, May 31, 2010

Urusan Dunia Merupakan Jambatan Ke Akhirat

Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah S.A.W. telah diperlihatkan dengan seorang wanita yang memakai berbagai-bagai perhiasan yang amat banyak. Tiba-tiba wanita itu memanggil nama Rasulullah S.A.W. tetapi tidak dijawab oleh baginda.

Lalu Jibril a.s berkata kepada Rasulullah S.A.W. "Itulah dunia. Jika tuan menjawab sapaan wanita tersebut, maka lebih ramai dari umat tuan akan menjadi kepada hamba dunia".

Ahmad Ibnu Abi al Hawari pernah bertanya kepada seorang ulama yang bernama Abi Safwan al Ru'ainy.

Katanya "Dunia yang manakah yang dicela oleh Tuhan dalam Al Quran yang patut dijauhi oleh orang- orang yang berakal?" .

Jawab Abi Safwan, " Dunia yang dicela adalah dunia apabila seseorang itu melakukan amalan, dia mengharapkan balasan. Tetapi, apabila seseorang itu mengharapkan balasan di akhirat, itu bukanlah urusan yang dicela ".

Sehubungan dengan itu, terdapat sirah nabi dan rasul, sahabat- sahabat serta sejarah Islam yang terkemudian boleh dijadikan iktibar untuk kita jadikan panduan dan sempadan semasa kita mewarisi dunia ini daripada orang-orang yang terdahulu. Maka marilah kita merenungi sejenak sejarah yang berlaku pada zaman Kerajaan Islam Bani Umaiyyah.

Selepas Khulafa' ar Rasyiddin, Kerajaan Islam Bani Umaiyyah telah didirikan oleh Muawwiyyah bin Abu Sufyan. Beliau dilahirkan empat tahun sebelum kenabian dan meninggal pada tahun 60H bersamaan 681M pada usia 75 tahun. Beliau telah terlibat di dalam dua peperangan sesama Islam dengan Khalifah Ali bin Abu Talib karramallahuwajhah iaitu Peperangan Jamal dan Peperangan Siffin kerana tidak mahu berbaiah kepada Saidina Ali r.a.

Setelah mengalami kekalahan di dalam Peperangan Jamal yang meragut ramai orang-orang Islam, Muawwiyyah tetap tidak berpuas hati sedangkan Saidina Ali r.a amat-amat bersedih melihat ramainya korban jiwa di kedua-dua belah pihak. Tidak beberapa lama kemudian, berlakulah sekali lagi peperangan, iaitu Peperangan Siffin.

Apabila tentera Muawwiyyah di ambang kekalahan mereka telah menjulang Al Quran di hujung tombak untuk memohon perdamaian dengan pihak Saidina Ali r.a.

Khalifah Ali seorang yang cintakan perdamaian dan silaturahim sesama Islam telah bersetuju walaupun ada yang membantah kerana tidak mempercayai kelicikkan Muawwiyyah. Telah diadakan perundingan di mana wakil Khalifah Ali, seorang yang warak telah diperdaya oleh wakil Muawwiyyah yang licik dengan mengisytiharkan Muawwiyyah sebagai khalifah.

Hal ini hampir mencetuskan semula peperangan tetapi ditenangkan oleh Saidina Ali r.a kerana memikirkan akan nasib umat Islam. Walau bagaimanapun majoriti umat Islam ketika itu masih lagi menganggap Saidina Ali r.a sebagai khalifah sehinggalah Saidina Ali r.a dibunuh semasa solat subuh dan Saidina Hasan r.a yang diangkat oleh orang Islam sebagai khalifah menyerahkan kepada Muawwiyyah yang terselamat dari percubaan membunuhnya juga, atas dasar perpaduan Islam dengan syarat khalifah selepasnya hendaklah diserahkan kepada orang yang layak, bukannya kepada keturunan Muawwiyyah.

Namun walaupun Muawwiyyah telah berusaha kuat untuk menanamkan kepercayaan umat Islam kepadanya, tetapi masih ramai yang tidak menyukainya. Masih ramai yang tetap melihat kebenaran berada di pihak Saidina Ali r.a dan tetap menyokongnya walaupun beliau sudah tidak ada.

Salah seorang yang berperasaan begitu adalah seorang wanita bernama Darimiyah dari Madinah. Muawwiyyah amat berang apabila mendengar ada seorang wanita begitu lantang mengecamnya di khalayak ramai lalu mengarahkan agar wanita itu ditangkap dan dihadapkan kepadanya.

"Aku mendengar kamu ini seorang yang pintar, betulkah itu?" Tanya Muawwiyyah kepada Darimiyah.

"Yang menceritakan perkara itu kepadamu bukannya aku sendiri. Jadi aku tidak berkewajiban menjawabnya" Jawab Darimiyah.

"Apakah benar kamu ini penyokong Ali yang setia?" Tanya Muawwiyyah lagi.

"Memang benar" Jawab Darimiyah.

"Kenapa kamu bersikap demikian?" Tanya Muawwiyyah.

"Kerana beliau seorang yang pencinta keadilan. Dia hormat kepada orang-orang yang soleh dan mengambil berat terhadap orang yang miskin" Jawab Darimiyah.

"Apakah benar kamu tidak menyukaiku?" Tanya Muawwiyyah lagi.

"Ya, memang benar itu" Jawab Darimiyah pula.

"Mengapa demikian?"

"Kerana engkau menyangka bahawa kerajaan engkau ini lebih besar nilainya dari manusia."

"Tetapi, apakah yang telah dilakukan oleh Ali?" Tanya Muawwiyyah yang mulai marah dan mukanya kelihatan masam.

"Beliau menerima jawatan pemimpin sebagai alat yang berfaedah untuk berkhidmat kepada kepentingan manusia."

"Kalau begitu yang kamu maksudkan, baiklah. Apa yang mahu aku bantu untuk kamu?" Tanya Muawwiyyah.

"Sebenarnya aku tidak memerlukan bantuanmu. Tapi kalau engkau tidak keberatan, sediakan untuk aku seratus ekor unta merah dan ghulam pengembalanya sekali." Kata Darimiyah.

"Buat apa unta itu?"

"Susunya aku akan buat minuman untuk para bayi dan juga minuman untuk orang tua-tua, dagingnya untuk makanan orang-orang dewasa dan untuk keperluan-keperluan lain."

"Baiklah, aku akan sediakan unta yang engkau kehendaki bersama seorang ghulam pengembalanya seperti yang kamu minta. Mahukah kamu menganggap aku setaraf Ali?"

"Jelasnya tidak mahu dan tidak boleh."

"Baiklah, kalau kamu tidak mahu setarafkan aku dengan Ali, tidak mengapalah. Aku tetap bersahabat dengan kamu. Baliklah. Seratus ekor unta dan pengembala akan sampai ke rumah kamu pada hari ini juga. Tapi perlu diingat, seandainya Ali masih hidup, nescaya dia tidak akan mahu memberi walau seekor unta pun kepada kamu."

"Memang betul. Jangankan seratus ekor unta, sehelai bulu unta pun dia tidak akan mahu memberikannya dari harta kaum muslim (harta milik negara)." Kata Darimiyah.

Keadaan istana senyap sepi. Seandainya ada jarum yang jatuh seakan- akan dapat didengarinya.

Demikinlah sejarah telah menunjukkan kepada kita bahawa sesuatu yang benar itu tetap terserlah walaupun cuba dinafikan. Islam merupakan addin iatu cara hidup yang lengkap, seimbang antara dunia dan akhirat di mana ianya merupakan jambatan ke akhirat. Ertinya amalan yang dilakukan di dunia ini akan menjadikan penghubung ke tempat manakah kediaman di akhirat kelak.

Semua amalan akan diperhitungkan di hari kemudian sama ada ibadah khusus kepada Allah S.W.T seperti solat, puasa, haji ataupun aktiviti kelangsungan hidup seperti bekerja , bersukan, berniaga, berpolitik dan sebagainya. Setiap perbuatan itu pula mestilah disertai dengan niat yang ikhlas dan matlamat juga tidak boleh menghalalkan cara. Tiada istilah Robin Hood dalam Islam.

No comments:

Post a Comment