click here!!

Tuesday, June 22, 2010

Azahar Ngah, Sepupu ku....(Bahagian 2)


..........sambungan.

Semasa di sekolah rendah, beliau merupakan seorang pelajar yang aktif. Beliau mewakili sekolah dalam sukan bolesepak. Bakat bermain bolasepak diwarisi daripada ayahandanya. Ayahanda penulis pernah bercerita akan kehandalan ayahanda Azahar dalam sukan tersebut. Abang- abang beliau yang lain juga hebat dalam sukan tersebut. Azahar boleh bermain di semua posisi termasuk penjaga gol, tetapi lebih menyerlah sebagai pemain tengah.

Pada tahun 1978, di dalam kejohanan bolasepak Majlis Sukan Sekolah Daerah Dungun (MSSD), sekolah beliau, Sekolah Kebangsaan Seberang Dungun telah diundi di dalam kumpulan yang sama dengan sekolah penulis.

Sekolah Kebangsaan Pusat Dungun, iaitu sekolah Engku Mohd Bukhari dan Zul Mohammad (rakan penulis dan Azahar di sekolah menengah) juga di dalam kumpulan ini. Perlawanan antara sekolah kami dilangsungkan di Sekolah Kebangsaan Batu 48. Beliau dan penulis bermain di posisi yang sama, sebagai penjaga gol mewakili sekolah masing- masing di dalam perlawanan tersebut. Sekolah penulis menang 4-1.

Beliau juga mewakili sekolah dalam persembahan drama. Pada tahun yang sama, 1978 pertandingan persembahan drama peringkat sekolah- sekolah Daerah Dungun telah diadakan di Dewan Majlis Bandaran Daerah Dungun, terletak di depan MBDD. Sekali lagi kami bertembung di mana penulis juga terpilih untuk mewakili sekolah.

Dalam pertandingan tersebut, sekolah beliau mementaskan drama bertajuk Abu Nawas, dan Azahar memegang watak utama sebagai Abu Nawas. Sekolah penulis pula mempertaruhkan drama Mencari Keampunan, dan penulis berlakun sebagai posmen. Diberitakan, persaingan antara sekolah kami amat sengit. Akhirnya sekolah penulis diumumkan sebagai juara. Kalau tidak silap beliau pula memenangi anugerah pelakun utama lelaki terbaik.

Azahar meneruskankan pelajaran menengahnya di Sekolah Menengah Sultan Omar, Dungun, Terengganu Darul Iman. Walaupun kami sudah berjauhan, namun apabila cuti sekolah kami selalu bersama kerana pada siang hari kami mendalami Ilmu Usuluddin dari guru agama kami, Ayahchik Mat dan pada malam hari kami berlatih bersilat, yang diajar oleh ayahanda penulis. Beliau sering tidur di rumah penulis dan kesempatan itu juga penulis mengajar beliau mata pelajaran matematik.

Azahar juga mempunyai bakat dalam melakukan aksi lasak. Beliau amat handal dalam membuat wheelly dengan menunggang sambil mengangkat tayar hadapan dan belakang basikal bersilih ganti. Juga membuat lompatan basikal seperti aksi lompatan motorsikal melepasi beberapa halangan. Penulis adalah sekali dua mencuba, tetapi tidak mahir tambahan pula rasa gerun.

Azahar juga sering ke laut menangkap ikan dengan nelayan. Beliau sememangnya hebat dalam perkara tersebut dan ianya kontra dengan penulis. Dalam banyak perkara kehidupan biasa anak- anak perkampungan nelayan, beliau merupakan contoh yang baik untuk mengenal masyarat setempat.

Kegemarannya yang lebih gemar bermain dan berada di luar rumah menimbulkan kerisauan kepada keluarga kami, terutama ayahanda dan bonda beliau sedangkan kami akan menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Pada masa itu, pelajar yang gagal di dalam SRP, tidak dapat meneruskan persekolahan.

Setelah perbincangan, kami sepakat untuk cuba memohon pertukaran sekolah supaya boleh bersama penulis. Penulis dan Azahar telah menemui guru besar sekolah menengah beliau serta menyatakan hasrat kami bersekali dengan alasan. Kejadian ini berlaku pada tahun 1980, semasa cuti penggal ketiga. Kami berusia 14 tahun pada waktu itu.

Pada pengamatan penulis, guru besar tersebut agak curiga dengan tindakan kami memandangkan soal pertukaran ini sepatutnya dikendalikan oleh ibu bapa kami. Guru besar tersebut menyuruh kami pulang dan menunggu jawaban menerusi surat rasmi.

Permohonan kami tidak berjaya. Sekali lagi kami menemui guru besar tersebut, dan kali ini beliau nampak seakan- akan serba salah dan menyuruh kami membawa ibu bapa untuk berurusan.

Keesokkan harinya, ayahanda penulis menemui guru besar tersebut dan secara tidak rasminya permohonan tersebut berjaya kerana beliau akan membuat surat sokongan kepada Jabatan Pelajaran Negeri. Menurut ayahanda, guru besar tersebut memuji langkah dan keberanian kami dalam menentukan masa depan dan menyatakan sikap berani dan bertanggungjawab penulis terhadap Azahar hendaklah terus dipupuk.

Tidak beberapa lama kemudian, kami menerima surat rasmi daripada Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu yang menyatakan permohonan kami itu diluluskan. Azahar akan di tempatkan sebagai pelajar harian biasa dan tidak diperuntukkan asrama di sekolah penulis, Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kemaman, Terengganu Darul Iman.

Apabila musim persekolahan tahun 1981 bermula, ayahanda menghantar kami berdua ke sekolah dan menemui guru besar sekolah penulis. Guru besar ketika itu adalah Cikgu Said, juga dari Dungun. Pada mulanya beliau berkeras tidak mahu menempatkan Azahar di asrama putera sekolah sehinggalah ayahanda berkeras. Antara dialog mereka yang penulis masih ingat ialah apabila ayahanda penulis berkata kepada Cikgu Said,

"Saya orang Dungun, cikgu orang Dungun. Kalau balik nanti pun, jumpa di sana. Macam mana cikgu nak tengok saya."

Akhirnya, Cikgu Said akur dan bersetuju menempatkan Azahar di asrama putera.

Maka bermulalah kehidupan baru Azahar di sekolah baru, tinggal di asrama dan berjauhan dengan keluarga.

..............bersambung

1 comment: