click here!!

Wednesday, June 30, 2010

Azahar Ngah, Sepupu Ku....(Bahagian 3)


..................sambungan.

Di sekolah baru, Azahar di tempatkan di Tingkatan 3 Kelas Seni Perusahaan, sekarang dikenali sebagai Kemahiran Hidup. Beliau senang mendapat rakan- rakan kerana mudah mesra dan tidak banyak kerenah. Berdasarkan tingkah laku dan perangai beliau, agar sukar orang tidak menyukai apatah lagi memusuhi beliau. Ramai orang akan senang apabila berurusan dengan beliau.

Pada tahun tersebut, 1981 kami menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Kami ada kenangan besar yang tidak dapat dilupakan semasa mengahadapi peperiksaan ini.Oleh kerana nama kami bermula dengan huruf 'AZ', di mana angka giliran didasarkan kepadanya, maka kedudukan kami di dalam dewan peperiksaan agak berdekatan, iaitu selang seorang sahaja. Ini bermakna, penulis ditempatkan selang seorang di belakang Azahar. Kami berdua tahu kemampuan masing- masing di dalam pelajaran dan amat merisaukan kami dan keluarga adalah kelemahan yang amat ketara Azahar di dalam mata pelajaran Matematik. Gagal dalam mata pelajaran ini mengakibatkan pelajar tersebut diisytiharkan gagal SRP.

Penulis dan Azahar telah merangka strategi bagi mengatasi masalah tersebut baik sebelum peperiksaan, iaitu dengan mengulangkaji matapelajaran itu bersama dan juga semasa menghadapi peperiksaan itu di dalam dewan peperiksaan.

Semasa peperiksaan tersebut, Azahar sempat mendapatkan 20 jawaban dari penulis di mana keseluruhan soalan mata pelajaran tersebut adalah sebanyak 40 soalan. Setelah semakan, daripada 20 jawaban tersebut, 19 darinya adalah tepat. Satu jawaban tersebut, penulis tersilap tanda di atas kertas jawaban.

Keseluruhan soalan matematik tersebut, penulis telah menjawab tepat 39 daripada 40 soalan dan mendapat 1 dalam matapelajaran tersebut. Sementara Azahar pula telah lulus dalam matapelajaran tersebut. Penulis lupa apakah agregat yang beliau dapat, samada 7 atau 8. Kalau gagal, akan diberi agregat 9. Sebenarnya untuk soalan lain pada kertas soalan matapelajaran tersebut, satupun soalan tidak dapat beliau jawab.

Perkara ini kami rahsiakan dari pengetahuan keluarga. Keluarga beliau tidak yakin beliau boleh lulus SRP sedangkan penulis memang yakin beliau boleh lulus kerana untuk matapelajaran Matematik, beliau amat penulis yakini telah terselamat. Untuk pelajaran lain, Azahar tidaklah teruk sangat dan beliau sendiri telah berusaha keras untuk menghadapi SRP tersebut.

Setelah keputusan SRP diumumkan, beliau telah lulus peperiksaan tersebut dan dapat menyambung pelajaran di tingkatan empat aliran sastera. Alhamdulillah. Keluarga kami amat gembira dengan keputusan tersebut.

Bagaimana dan cara kami bertindak semasa peperiksaan kertas mata pelajaran matematik tersebut berjalan biarlah menjadi rahsia kami berdua. Penulis memang sedar akan risiko yang akan dihadapi, tetapi memandangkan rasa kasih terhadap beliau, kami memperjudikan nasib.

Semasa di tingkatan empat, kami berdua telah mewakili asrama putera sekolah di dalam acara bola sepak bagi mengahadapi perlawanan persahabatan dengan SM Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu dan Maktab Rendah Sains Mara, Kuantan.

Pada tahun yang sama juga, penulis dan Azahar selalu memanjat pagar belakang asrama untuk keluar belajar silat dengan seorang guru silat, Pak Mat Kiai dari Perguruan Tapak Suci. Pernahlah sekali kami bertapa di salah sebuah gua di Pantai Chendur.

Pada tahun itu, pelajaran kami amat merosot sekali dan telah disedari oleh ayahanda penulis. Kami telah diberi nasihat supaya memikirkan masa depan dan menumpukan kepada pelajaran. Ayahanda penulis juga berjanji akan menghantar kami mendalami ilmu persilatan secara intensif selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), iaitu ketika menunggu keputusan SPM. Namun tahun tersebut tetap menjadi tahun hooneymoon kepada kami.

Pada tahun 1983, kami berdua aktif di dalam sukan. Beliau telah mewakili sekolah dan daerah di dalam acara sukan sepak takraw dan penulis pula dalam acara bolasepak. Sememangnya beliau handal dalam sukan takraw dan merupakan seorang feeder yang hebat. Sesekali beliau boleh bertindak sebagai killer.

Pada tahun tersebut juga kami telah ditangkap polis kerana keluar asrama pada waktu malam di hadapan Sekolah Menengah Agama Al Falah, Kemaman semasa hendak ke bandar Chukai bagi mendapatkan makan lewat malam selepas study. Kami berdua telah dirotan sebanyak 5 rotan seorang oleh warden asrama dan Azahar sendiri telah dibuang asrama sementara penulis diberi amaran keras.

Sebenarnya antara kami berdua, kebanyakkan idea, cadangan dan arahan datangnya daripada penulis sedangkan Azahar lebih banyak mengikutinya sahaja. Walaubagaimanapun penulis lebih bernasib baik kerana ada beberapa orang guru- guru sekolah yang lain mendapat tahu hal ini dan kuat memepertahankan penulis seperti Mr Chew, Ustaz Omar dan beberapa orang lagi yang pernah mengajar penulis. Penulis merupakan atlit sekolah dan daerah yang juga antara prospek untuk menaikkan nama sekolah di dalam pelajaran. Maka penulis terselamat.

Di luar, Azahar tinggal dengan beberapa rakan se asrama yang lain, juga telah dibuang atas beberapa kesalahan. Guru silat kami, Pak Mat Kiai juga sering ke rumah sewa. Azahar dan rakan- rakan yang lain masih aktif bersilat sedangkan penulis lebih menumpukan kepada menghadapi SPM.

Azahar pernah memukul 2 orang pelajar cina yang lebih besar daripada beliau di tempat meletak basikal di sekolah, semasa hendak memulakan sessi pagi waktu persekolahan dan telah menjadi isu semasa perhimpunan mingguan sekolah. Penulis telah berusaha menasihati beliau dan keluarga kami telah juga berusaha dengan solat hajat agar kami, terutama Azahar kembali mengutamakan pelajaran dan melupakan sementara aktiviti luar itu.

Sejurus selesai SPM, penulis dan Azahar pernah menyahut cabaran untuk berkelahi dengan se orang guru asrama dengan menunggu guru tersebut berdekatan makmal seni pertukangan tangan sebagai mana yang diarahkan tetapi guru pegecut tersebut tidak datang tetapi telah menghantar dua orang rakan polis beliau.

Namun ayahanda penulis telah mengetahui niat kami, dan beliau telah datang tepat pada masanya untuk mengambil kami pulang ke kampung setelah menyelesaikan kertas terakhir SPM. Maka kejadian tidak diingini dapat dielakkan. Walau bagaimanapun kami, terutama penulis amat membenci guru tersebut kerana hipokrit dan bertindak seperti budak- budak sekolah juga. Guru tersebut tidak matang dalam tindakan beliau. Penulispun tidak berminat untuk menaipkan namanya di sini.

Ketika kami menunggu keputusan SPM, ayahanda telah mengotakan janjinya dengan menghantar kami belajar silat dengan sahabat beliau, Ayahwa Mat Yahya. Kami belajar Silat Lian 13 di halaman rumah beliau di pinggir hutan bukit berhampiran kampung kami. Bersama kami, anak beliau turut serta.Walau bagaimanapun Azahar hanya sempat sehari sahaja kerana tidak dipersetujui oleh keluarga beliau kerana dibimbangi Azahar tidak dapat mengawal dan menggunakan kepandaian yang ada sebagaimana sejarah lalu.

Azahar telah mula bekerja dan beliau telah mula membantu perniagaan hasil laut keluarganya sementara penulis menghabiskan cuti dengan belajar bersilat, belajar memandu dan lulus lesen memandu serta meneruskan pelajaran Usuluddin.

..................bersambung.

No comments:

Post a Comment