click here!!

Sunday, June 13, 2010

Pangkat Dan Gelaran Hanyalah Habuan Dunia

Wanita Asia pertama yang merentasi Kutub Utara dan Selatan, Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir dan bekas Menteri Kesihatan, Dato' Chua Jui Meng adalah antara empat individu yang ditarik balik pingat darjah kebesaran yang diterima daripada Sultan Johor ketika itu, Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

Sharifah Mazlina telah ditarik balik Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) yang membawa gelaran Datin Paduka dan Darjah Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Datuk.

Begitulah juga dengan Dato' Chua, darjah kebesaran yang ditarik balik adalah Darjah Seri Paduka Mahkota Johor dan Datuk Paduka Mahkota Johor, kedua- duanya membawa gelaran Dato'. Walabagaimanapun beliau masih bergelar Dato' memandangkan masih lagi menyandang darjah kebesaran anugerah Sultan Melayu dan Ketua Negeri yang lain. Penulis berharap mereka - mereka yang terkena musibah ini agar bersabar kerana mungkin ada hikmah yang besar di sebalik peristiwa ini.

Dikira mengikut hukum dunia, pangkat kebesaran tersebut adalah hak sultan- sultan melayu dan ketua- ketua negeri tersebut. Maka tidaklah menjadi terlalu pelik sekirannya sebarang anugerah tiba- tiba ditarik balik. Tetapi hakikat sebenarnya, semuanya adalah berlaku atas kudrat dan iradat Allah SWT. Dia yang mengkehendaki dan Dia juga yang menjadikan sesuatu. Perkara ini wajib diyakini di mana ianya merupakan rukun iman yang keenam, Percaya Kepada Qadar dan Qadha Allah SWT. Dikurniakan sesuatu perkara atas kehendakNya dan dihilangkan sesuatu perkara atas kehendakNya jua. Dia maha mengetahui apa yang nyata atau yang tersembunyi, yang telah berlalu atau yang akan mendatang.

Kadang- kadang dalam realiti hidup sekarang ini, usahkan gelaran darjah kebesaran hasil anugerah pemerintah yang dibanggakan tetapi juga gelaran kerana sesuatu yang bersangkutan dengan tugas dan ibadah keagamaan juga hendak dimegahkan. Kalau seseorang itu menjawat jawatan Jurutera Daerah maka jika tidak dipanggil Tuan JD, masam kelat rupanya. Kalau berjawatan Pegawai Daerah, kena panggil Tuan DO. Begitu juga Imam dan Bilal, kalau dipanggil encik,pakcik, tak berapa nak berbunyi sahutan kalau tidak disebut Tuan Imam atau Tuan Bilal.

Acap kali penulis berjumpa dengan orang baru dan diperkenalkan diri beliau sebagai Haji xxx. Ada juga semasa mengerjakan haji, baru tiba ke tanah suci dan apabila bertukar alamat untuk hubungan di tanah air, telah menuliskan haji pada pangkal nama.

Penulis selalu juga mengikuti Rancangan Tanyalah Ustaz di TV9 yang disiarkan setiap hari dari jam 7.00 am hingga 8.00am.Ada seorang pemanggil yang membahasakan dirinya Haji S dari utara membuat panggilan boleh dikatakan setiap hari, pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad kerana hari- hari tersebut talian dibuka untuk pertanyaan melalui telefon dan email.

Panggilan beliau lebih banyak berceramah daripada bertanya sedangkan rancangan tersebut lebih merupakan soal jawab berdasarkan agama mengenai tajuk yang dibincangkan dan telah dihoskan oleh ustaz- ustaz tertentu yang berkelayakkan. Terfikir juga penulis, pemanggil tersebut semacam ingin memperagakan diri sebagai orang yang berilmu dan beramal soleh.Jika betul telahan penulis apakah harganya perkara ini di hari kemudian. Penulis berharap telahan itu tidak tepat.

Begitu juga semasa penulis memandu kereta ke KT Bowl, Kuala Terengganu untuk bermain boling pada suatu malam. Lebih kurang pukul 9.40 pm, di dalam Radio IKIM ke udara rancangan belajar membaca Al Quran yang dipandu ajar oleh seorang ustaz. Malam tersebut bacaan petikan beberapa ayat dari Surah Al Maidah. Ada seorang pemanggil wanita dari selatan turut memperkenalkan diri beliau sebagai Puan Hajjah Xy.

Wah! Adakah ibadah yang kita laksanakan perlu kita siar rayakan. Apa yang dibimbangi, ibadah yang kita laksanakan berhabisan masa, wang ringgit dan penat lelah menjadi sia- sia. Amanah yang digalas, berhabisan masa, tenaga dan wang ringgit juga menjadi sia- sia. Adakah tujuan ibadah kita untuk menuai hasilnya hanya di dunia?

Adalah menjadi tuntutan agama memuliakan seseorang dengan panggilan yang menyenangkan dan baik erti maknanya tetapi bukannlah empunya diri perlu bermegah dengan gelaran yang ada.

Begitu juga sekiranya untuk mengelakkan kekeliruan kerana terlalu ramai individu yang sama namanya, maka gelaran yang baik- baik sesuai dengan empunya diri amatlah digalakkan.

Gelaran, pangkat, darjah kebesaran dan setaraf dengannya amat baik untuk panggilan seseorang kerana ianya merupakan doa yang dibaca berulang kali serta boleh menjadi pendinding kepada empunya diri agar berfikir berkali- berkali apabila hendak melakukan sesuatu, bermunasabah dengan gelaran dan pangkat tersebut.

Rasulullah SAW pernah memberi gelaran dan memanggil sahabat dengan berbagai gelaran yang baik sesuai dengan keadaan sahabat tersebut seperti Saifullah yang bermaksud Pedang Allah kepada Panglima Khalid ibnu Al Walid kerana keberanian, ketangkasan dan kehandalan beliau di dalam ilmu peperangan.

Amatlah malang sekiranya kita terlalu berkira-kira dengan pangkat dan gelaran sedangkan ianya sendiri bersifat sementara serta ianya tidak memberi apa- apa kelebihan di hari kemudian nanti. Pangkat dan gelaran, baik besar atau kecil hanyalah habuan dunia dan janganlah kerananya kita tergolong di kalangan orang- orang yang rugi di akhirat kelak.

1 comment: