click here!!

Friday, July 23, 2010

Kesalafahaman Terhadap Amalan Ibadah Solat ..........(Bahagian 2)

..............................Sambungan.

4) Membaca Surah Al Fatihah

Membaca Surah Al Fatihah termasuklah Basmallah itu adalah wajib dan merupakan salah satu rukun-rukun solat.

Syarat Sah Membaca Al Fatihah,

a) bacaan Al Fatihah itu hendaklah didengari oleh diri sendiri, jika pendengarannya normal

b) membaca dengan tertib, mengikut susunan Al Quran dan menjaga makhraj dan tasydid

c) bacaan tidak sampai mengubah makna asal

d) hendaklah dibaca sebagaimana bahasa asalnya iaitu Bahasa Arab. Tidak sah membaca terjemahannya, kerana terjemahan itu tidak dikira sebagai Al Quran. Jika tidak mampu membaca Al Fatihah, wajiblah membaca mana-mana tujuh (7) ayat Al Quran yang dihafal. Jika tiada juga hendaklah berzikrullah sekadar lama masa berdiri bagi membaca Al Fatihah.

e) hendaklah membaca Al Fatihah dalam keadaan berdiri. Jika dibaca semasa berdiri sesetengah ayat dan ketika hendak rukuk pula sesetengah ayat, maka batallah bacaan dan wajiblah mengulangi membacanya sambil berdiri betul. Jika tidak batallah solat tersebut.

5) Rukuk

Rukuk ialah tunduk sehingga tapak tangan dapat menyentuh dan memegang lutut dan yang terlebih afdhal ialah menyamakan tulang belakang setelah sempurna rukuk.

Syarat Sah Rukuk

a) tunduk sekadar yang telah dinyatakan

b) rukuk itu semata-mata dilakukan kerana rukuk. Sekiranya dilakukan secara terkejut kemudian diniatkan rukuk,wajiblah dia kembali kepada qiam (berdiri) dan rukuk kembali

c) Hendaklah rukuk dengan tetap sekadar thamaninah iaitu sekadar masa membaca tasbih. Ini adalah sekurang-kurang rukuk.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Sejahat-jahat pencuri ialah yang mencuri di dalam solatnya"

Para sahabat bertanyakan baginda bagaimanakah orang yang mencuri di dalam solat. Baginda bersabda lagi,

"Iaitu yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujud"

Rukuk yang paling sempurna ialah dengan membetulkan tulang belakang (tanpa dibengkokkan), membetulkan kaki dan kedua tangan memegang erat kedua lutut sambil merenggangkan jari jemari.

6) I'tidal

Iaitu bangun berdiri daripada rukuk sekadar thamaninah. Syarat sahnya,

a) Tidak diniatkan i'tidal itu kerana tujuan yang lain daripada ibadah seperti bangun kerana terkejut.

b) Hendaklah ada thamaninah di dalam i'tidal.

c) tidak boleh berdiri terlalu lama kerana i'tidal adalah rukun yang pendek. Jika berdiri melebihi kadar masa bacaan Al Fatihah, maka batallah solat tersebut.

7) Sujud dua kali pada setiap rakaat

Maksudnya dari segi syarak ialah menyentuhkan dahi ke tempat sujud dengan syarat tertentu.

Syarat sah sujud,

a) Hendaklah dahi terbuka, tidak berlapik. Tidak diwajibkan semua dahi terbuka, memadai 1/3 dahi menyentuh lantai.

b) Sujud dengan 7 anggota iaitu dahi, 2 tapak tangan, 2 lutut dan 2 hujung perut jari kaki. Kecuali dahi, lain-lain anggota sujud tidak wajib terbuka dan tidak mengapa jika berlapik.

c) Tidak sah sujud di atas pakaian atau kain yang berhubung badan, bergerak dengan gerakannya seperti sujud di atas ekor serban yang panjang atau sujud di atas kain tudung. Maka batallah solat tersebut.

d) Hendaklah punggung lebih tinggi daripada kepala seboleh yang mungkin. Oleh itu jika seseorang itu bersolat di lereng bukit dan ketika sujud kepalanya lebih tinggi daripada punggung, maka solat tersebut tidak sah.

e) hendaklahh sujud semata-mata dengan qasad sujud, bukan kerana tujuan lain seperti terkejut, takut dan sebagainya.

f) Hendaklah ditekankan kepala pada tempat sujud sekira-kira jika diletakkan kapas di situ, jelas ternampak bekas tindihan kepala.

g) Hendaklah thamaninah di dalam sujud sekadar masa membaca tasbih.

Sujud yang paling sempurna ialah bertakbir (takbir intiqalat) ketika hendak turun sujud, diletakkan kedua lutut kemudian kedua tangan, dahi dan hidung. Tangan diletakkan berbetulan dengan kedua bahu. Jari jemari dirapatkan dan mengarah ke arah kiblat.

Sunat menghilangkan kesan hitam di dahi lantaran sujud. Firman Allah SWT di dalam Surah Al Fath ayat 29 yang bermaksud;

"Tanda-tanda mereka jelas terpancar di wajah-wajah mereka dari kesan sujud"

tanda-tanda yang dimaksudkan di dalam ayat ini bukanlah tanda hitam di dahi kesan dari sejadah atau permaidani, tikar atau sebagainya, akan tetapi pada air muka mereka terpancar cahaya keimanan dan kesucian hati mereka. Sujud yang bermaksud menyembah dan menyerah diri kepada Allah SWT dengan redha dan taslim. Maka jika didapati pada dirinya riak atau ujub dengan kesan hitam di dahi, maka wajiblah dihilangkannya sekadar mampu.

.....................................bersambung.

Monday, July 19, 2010

Kesalafahaman Terhadap Amalan Ibadah Solat....(Bahagian Satu)

Sepanjang penulis singgah bersolat di beberapa masjid, acapkali juga berdepan dengan orang-orang muslim yang bersolat tetapi tidak tepat amalannya dan ada yang terus bersalahan dengan sunnah. Maka dengan sedikit ilmu yang dipelajari, penulis hendak berkongsi pengetahuan tersebut agar menjadi pedoman kepada penulis sendiri dan sesiapa sahaja.

Sebenarnya, orang yang mengerjakan ibadat termasuklah solat tanpa ilmu tergolong di dalam golongan orang yang tidak dapat dimaafkan kerana kebodohan beragamanya kerana ilmu adalah fardhu ke atas setiap Muslim.

Ilmu itu wajib didahulukan atas amal kerana ilmu merupakan petunjuk dan pemberi arah amal yang akan dilakukan. Imam Bukhari meletakkan satu bab tentang ilmu di dalam Al Jami'us Shahih yang dikenali sebagai Sahih Bukhari dengan judul "Ilmu itu mendahului perkataan dan perbuatan" yang bermaksud bahawa ilmu hendaklah menjadi syarat bagi kesahihan perkataan dan perbuatan seseorang.

Untuk kita mengenal dan mengetahui kesalahfahaman terhadap amalan solat yang biasa kita temui, maka penulis dengan sedikit pengetahuan akan menghuraikan secara ringkas berkenaan solat.

Pengertian Solat

Solat dari segi bahasa bermakna berdoa dengan kebaikan. Istilah fekah bermaksud perkataan dan perbuatan yang khusus, yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam.

Hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud,

"Rasulullah SAW biasa membuka solat dengan takbir dan mengakhirinya dengan mengucap salam"

Hadis riwayat Imam Hakim dan Adz-Dzahabi yang bermaksud,

"Kunci solat adalah bersuci, pembukanya adalah takbir dan penutupnya adalah mengucapkan salam"

Kefardhuan Solat

Antara dalil naqli tentang kefardhuan solat antaranya;

1) Firman Allah SWT di dalam Al Quran Surah An Nisaa' ayat 103 yang bermaksud,
"Sesungguhnya solat itu adalah kewajiban yang ditentukan waktunya atas orang-orang yang beriman"

2) Diriwayatkan daripada Saidina Ibnu Abbas ra bahawasanya Rasulullah SAW telah mengutuskan Saidina Muaz ra ke Yaman, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Serulah mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya akulah Nabi Muhammad pesuruh Allah. Maka sekiranya mereka menuruti (mentaati) demikian itu, beritahulah kepada mereka sesungguhnya Allah telah memfardhukan ke atas mereka lima waktu solat fardhu pada sehari semalam"

Kedudukan Solat Dalam Islam

Solat merupakan ibadah jasmani yang paling mulia. Seorang lelaki telah bertanyakan kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang paling afdhal (mulia). Baginda menjawab solat pada setiap kali pertanyaan tersebut yang berulang sebanyak tiga kali.

Diriwayatkan daripada Saidina abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,

" Solat fardhu yang lima, Allah menghapuskan dengannya segala dosa"

"Sesiapa menyempurnakan wudhuknya sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT, maka solat fardhu yang dikerjakan olehnya itu menjadi kaffarah (penghapus dosa) di antara waktu-waktunya yang lima"

Menurut ulama,dosa yang dimaksudkan tersebut adalah dosa selain dosa sesama manusia, dosa-dosa besar dan dosa syirik kepada Allah SWT.

Hukum Meninggalkan Solat Fardhu

Ulama-ulama muktabar telah menggariskan orang-orang yang meninggalkan solat terbahagi kepada tiga kategori.

1) Orang yang meninggalkannya kerana mengingkari kewajiban solat atau memperlekehkan dan menghina apa-apa tentang solat baik kefardhuannya ataupun amalan dan perbuatan solat. Hukum orang sebegini ialah kufur dan murtad. Maka wajiblah keatas hakim atau pemerintah, memerintahkannya supaya bertaubat. Jika dia bertaubat dan mendirikan solat, maka dia hendaklah dibebaskan. Jika enggan, hendaklah dia dihukum bunuh sebagaimana hukuman orang yang murtad dan haram memandikan mayatnya, haram mengafankannya dan haram juga solat jenazah ke atasnya. Adalah haram juga mayatnya dikebumikan di dalam perkuburan orang-orang Islam kerana dia bukanlah terdiri daripada orang yang beriman.

Diriwayatkan daripada Saidina Jabir ra bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Sesungguhnya jarak di antara seseorang itu dengan syirik dan kekufuran ialah meninggalkan solat"

2) Orang yang meninggalkan solat kerana malas sedangkan dia meyakini bahawa solat itu adalah fardhu ke atas setiap Muslim. Wajib ke atas hakim atau pemerintah, memerintahkannya supaya bertaubat, mengqadha solat yang telah ditinggalkan dan mengerjakan solat pada setiap waktu. Sekiranya dia enggan, maka wajiblah dia dibunuh dengan hukum hudud iaitu hukuman bunuh ke atasnya itu dikirakan satu hukuman dari hukum-hukum syarak yang wajib dilaksanakan ke atas orang-orang Islam yang melakukan maksiat (melanggar perintah Allah SWT). Walaubagaimanapun selepas dihukum, dia adalah tetap Islam dan diselenggarakan jenazahnya seperti kebiasaan orang Islam kerana dia masih lagi orang yang beriman/ Islam.

Diriwayatkan daripada Saidina Abdullah bin Saidina Umar ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,

"Aku diperintahkan supaya membunuh (menghukum) manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad, pesuruh Allah, mendirikan solat dan menunaikan zakat. Maka apabila mereka melakukan demikian itu, mereka telah melindungi darah dan harta benda mereka daripada (tuntutan) ku melainkan dengan hak Islam dan perkiraan (keadaan mereka) adalah terserah kepada Allah"

Ulama telah memperjelaskan bahawa hadis ini merupakan penekanan Rasulullah SAW terhadap penegasan solat bukannya bermaksud menghukum/membunuh setiap manusia kerana hadis ini juga dibaca dengan beberapa hadis lain. Hanya kafir harbi iaitu orang-orang kafir yang memusuhuhi dan menzalimi Islam sahaja wajib diperangi.

Hadis ini menunjukkan bahawa sesiapa yang mengakui dengan kalimah syahadah boleh dihukum bunuh sekiranya dia tidak mendirikan solat atau menunaikan zakat. Namun dia tetap Islam.

Diriwayatkan daripada Saidina Ubadah bin As Shamit ra beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,

"Lima solat yang telah difardhukan oleh Allah ke atas hamba-hambanya. Maka sesiapa yang menunaikannya dan tidak mensesiakannya (meninggalkannya) sesuatu daripadanya kerana meringan-ringankan hak solat adalah baginya di sisi Allah satu perjanjian bahawa dimasukkan dia ke dalam syurga. Dan sesiapa yang tidak menunaikannya tiadalah baginya di sisi Allah apa-apa perjanjian. sekiranya Allah kehendaki Dia boleh mengazabkannya dan jika Dia kehendaki, Dia boleh memasukkannya ke dalam syurga"

Hadis di atas menerangkan bahawa orang yang meninggalkan solat kerana malas dan meringan-ringankannya kerana malas tidak menjadi kafir. Ini kerana jika menjadi kafir tidaklah Nabi menyebut "dan jika Dia kehendaki Dia boleh memasukkannya ke dalam syurga" kerana orang kafir akan kekal di dalam neraka.

3) Orang yang meninggalkan solat kerana tidak sengaja seperti tertidur, pitam dan sebagainya. Hukumnya dia wajib mengqadha mana-mana solat yang tertinggal setelah sedar dan pulih. Walaubagaimanapun sesetengah ulama mengatakan bahawa adalah haram seseorang tidur setelah masuk waktu solat sebelum menunaikan solat melainkan apabila dia tidur sebelum masuk waktu solat lagi. Namun ada sebahagian kecil ulama mengharuskan tidur di awal waktu solat sekiranya seseorang terlampau mengantuk dibimbangi tiada kekusyhukan di dalam solat dan berlakunya kesalahan rukun yang tidak disedari semasa solat.

Walaubagaimanapun adalah menjadi tuntutan Islam dan afdhal mengerjakan solat apabila masuk sahaja waktu solat dan terlebih afdhal dilakukan secara berjemaah.

Rukun Solat

1) Niat - mengqasadkan sesuatu yang disertai dengan permulaan amalan ibadah. Niat solat hendaklah disertakan ketika takbiratul ihram. Tempat niat adalah di dalam hati ketika takbiratul ihram. Orang yang bersolat wajiblah berniat dengan menyedari di dalam hatinya bahawa ia mengqasadkan untuk bersolat dan wajiblah dia menyedari serta membezakan jenis solat dan fardhu/sunat yang dilakukan.

Sebagai contoh sekiranya seseorang mengqasadkan solat ketika masuk masjid atau di rumah atau di mana-mana tanpa takbiratul ihram, itu tidak dikira sebagai niat tetapi berazam dan belum dikira memulakan solat.

Lafaz niat bukannya perbuatan membaca di dalam hati tetapi lintasan yang qasad di dalam hati.

2) Berdiri betul bagi yang mampu - Jika seseorang yang bersolat itu mampu berdiri betul tetapi berdiri bongkok ketika solat sehinggakan telapak tangannya dapat menyentuh lutut, maka batallah solatnya.

Di dalam solat fardhu, berdiri adalah wajib. Jika tidak mampu hendaklah duduk atau juga tidak mampu , maka boleh berbaring. Tidak gugur kefardhuan solat selagi berkeadaan sedar dan waras.

Bagi solat sunat, berdiri tidaklah merupakan rukun tetapi adalah lebih afdhal berkeadaan berdiri.

3) Takbiratul Ihram - Menyebut takbir (Allahu Akbar) ketika permulaan solat yang disertai dengan niat. Syarat sahnya adalah;

a- hendaklah dilafazkan di dalam keadaan berdiri betul bagi yang tidak uzur. Jika dilafazkan ketika baru hendak berdiri, tidak sah solat tersebut.

b- dilafazkan ketika mengadap kiblat

c- bertakbir dalam bahasa Arab.

d- bacaan takbir tersebut didengari oleh dirinya sendiri, sekirannya pendengarannya normal.

e- hendaklah disertai dengan niat.

...................................bersambung.













Friday, July 9, 2010

Israk dan Mikraj

"Maha suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati di sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda ( kebesaran ) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" (terjemahan Surah Al Israk, ayat 1)

Peristiwa Israk dan Mikraj seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah Al Israk ayat 1 telah disepakati ramai ulama berlaku pada 27 hb Rejab, 11 tahun setelah kerasulan Nabi Muhammad SAW. Sempena tarikh tersebut yang berkebetulan ulang tahunnya jatuh pada hari ini, 27hb Rejab, 1431 Hirah bersamaan 10hb Julai, 2010 Masehi, maka penulis mengambil kesempatan membicarakan sedikit tentang kesan dan terkesannya sejarah tersebut agar kita sama-sama menghayatinya di dalam kehidupan.

Setelah kembalinya ke rahmatullah dua orang insan tersayang Rasulullah SAW iaitu isteri baginda, Saidatina Khadijah Al Khuwalid dan bapa saudara, Abu Talib pada tahun ketiga sebelum hijrah, maka Rasulullah merasa terlalu sedih. Tahun tersebut dikenali sebagai Tahun Berdukacita. Ditambah lagi dengan peristiwa baginda dikhianati dan dizalimi oleh Kaum Thaif, maka bertambahlah dukacita dan remuknya perasaan Rasulullah SAW.

Maka Allah SWT mengutuskan malaikat Jibril as untuk memperjalankan Rasulullah SAW sepertimana peristiwa Israk dan Mikraj tersebut antaranya bertujuan menenang dan menghiburkan hati baginda serta memperlihatkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

Sepanjang perjalanan Israk dari Mekah ke Baitul Maqdis, beberapa tempat telah dibawa oleh Jibril as untuk Rasulullah SAW singgah dan bersolat sunat 2 rakaat. Antaranya;

1) Tapak Masjid Nabawi di Madinah

2) Bukit Tursina, tempat Nabi Musa as menerima wahyu

3) Baitullaham, tempat kelahiran Nabi Isa as

4) Makam Marshitah, tukang sikat dan dandan anak firaun. (Ada ulama menyatakan tempat tersebut adalah Madyan).

Kisah dan penceritaan Israk dan Mikraj telah banyak diperkatakan dari pelbagai sudut dan pada kesempatan ini penulis hanya mahu berkongsi pandangan tentang Israk Rasulullah SAW berdasarkan kepada tempat-tempat singgahan baginda seperti yang telah dinyatakan di atas.

Sebagaimana ayat Al Quran di atas, Allah SWT telah menyatakan bahawa antara dua tempat perjalanan Israk, iaitu dari Kota Mekah ke Baitul Maqdis merupakan tempat-tempat yang dimuliakan. Di antara kedua-duanya telah melahirkan ramai para-para nabi dan rasul serta kesuburan tanahnya. Banyak kisah yang besar dan hebat belaku di antara kedua tempat ini yang menjadi tamadun awal dunia.

Tapak Masjid Nabawi di Madinah

Perjalanan Rasulullah SAW dengan menaiki buraq telah singgah ke satu tempat yang sekarang didirikan Masjid Nabawi di Madinah. Jibril as telah memberitahu Rasulullah perihal tempat ini dengan kemuliaannya walaupun perkara tersebut belum berlaku lagi. Baginda bersolat sunat 2 rakaat.

Sekarang kita sendiri menjadi saksi akan kemuliaan dan kehebatan tempat ini yang merupakan tempat bermulanya perkembangan syiar Islam ke seluruh dunia.

Bukit Tursina

Rasulullah SAW juga singgah di atas satu bukit, iaitu Bukit Tursina. Jibril as menerangkan kepada baginda perihalan tempat tersebut walhal ianya telah terlalu lama berlalu. Di Bukit Tursina, Nabi Musa as telah menerima wahyu dari Allah SWT menerusi Jibril as untuk disampaikan kepada kaumnya Bani Israel. Namun mereka mengingkari dan meminta Nabi Musa membuktikan kewujudan Allah SWT dengan mahu melihat ZatNya. Keangkuhan tersebut menyebabkan kepada kemusnahan kepada mereka. Rasulullah bersolat sunat 2 rakaat di bukit tersebut.

Baitulaham

Baitulaham atau Juresalem merupakan tempat kelahiran Nabi Isa as. Tempat kelahiran insan mulia dari rahim seorang wanita suci yang tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelaki. Baginda Nabi Isa as juga merupakan salah seorang daripada tiga bayi yang boleh berkata-kata dengan izin Allah SWT untuk menyatakan kebenaran ketika itu pada zaman masing-masing. Dua orang bayi lagi adalah anak kepada seorang pelacur yang memfitnah seorang yang abid lagi warak, iaitu Juraih dan seorang lagi anak kepada Marshitah, tukang sisir dan dandan anak firaun.

Rasulullah SAW juga bersolat sunat 2 rakaat di Baitulaham.

Makam Marshitah dan keluarganya.

Marshitah dan keluarganya dihukum bunuh dengan dicampakkan ke dalam sebuah bekas besar berisi minyak yang panas lagi menggeleggak oleh firaun. Penyediaannya diriwayatkan telah memakan masa yang lama bermula menentukan tempat, menyediakan bahan bakar, menyediakan sebuah bekas yang besar dan memikirkan cara hukuman dilaksanakan. Hukuman ini dilaksanakan oleh firaun disebabkan Marshitah dan keluarganya mentauhidkan Allah SWT sebagai Tuhan dan menafikan ketuhanan firaun.

Tempoh masa sebelum hukuman itu dijalankan telah digunakan oleh firaun semaksimumnya untuk memujuk Marshitah dan keluarganya untuk menukarkan pengakuan kepada bertuhankan firaun. Pelbagai kaedah digunakan termasuk memberi ganjaran dan pangkat kebesaran namun itu semua tidak sedikit mampu menggoncangkan keimanan Marshitah sekeluarga.

Pada hari hukuman dijalankan, mereka sekali lagi diberi pilihan tetapi Marshitah sekeluarga tetap dengan pendirian dan keimanannya. Seorang demi seorang anak dan suaminya dicampakkan ke dalam bekas besar berisi minyak panas yang menggeleggak tersebut hingga akhirnya tinggallah hanya Marshitah dan anaknya yang masih bayi. Terdetik juga rasa kasihan kepada bayinya itu yang tidak mengetahui apa-apa tetapi terpaksa menjadi korban. Beliau terdetik untuk menyerahkan kepada orang lain untuk menjaga dan mebesarkannya.

Tiba-tiba dengan izin Allah SWT, bayinya berkata-kata supaya tetapkan kepada pendiriannya kerana iktikad dan keimanannya adalah benar. Kematian akan tetap dirasai oleh semua makhluk dan ia merupakan pintu kepada kehidupan yang abadi. Bayinya mengajak ibunya meneruskan hukuman kerana di hadapan mereka merupakan sebuah kematian yang bermaruah dan penuh keimanan serta mengikuti jejak mereka yang terdahulu menuju ke syurga. Inilah peluang keemasan.

Marshitah dengan tanpa sedikit keraguan dan goyang terus redha menerima hukuman tersebut. Diriwayatkan juga, kepanasan minyak tersebut menyebabkan apabila sahaja jasad jatuh ke dalamnya, terus bercerai daging dari tulang sehinggakan tiada apa yang tinggal kecuali tulang temulang.

Diriwayatkan juga bahawa Marshitah telah memohon kepada firaun terhadap khidmat baktinya selama ini agar apa-apa yang tinggal dari tubuh badan mereka setelah dihukum, dikebumikan di dalam satu kubur. Permintaan tersebut dipersetujui oleh firaun.

Rasulullah semasa dalam perjalanan Israk tersebut telah tercium bau kasturi yang amat harum apabila tiba di suatu tempat. Jibril as menerangkan bahawa itulah bau makam Marshitah dan keluarganya yang dibunuh oleh firaun. Sebahagian ulama menyatakan tempat tersebut adalah Madyan.

Rasulullah SAW juga bersolat 2 rakaat di tempat tersebut.

Masjidil Aqsa

Rasulullah SAW meneruskan perjalanan sehingga tiba di Masjidil Aqsa. Telah menunggu rasul-rasul yang lain seperti Nabi Isa as, Nabi Musa as , Nabi Ibrahim as dan lain-lain nabi dan rasul. Jibril memimpin tangan Rasulullah SAW untuk mengimami Solat Isyak di kalangan mereka.

Moral daripada kisah di atas antaranya adalah;

1) Sebagai seorang muslim, kita sepatutnya meninggikan syiar Islam. Hendaklah hadir di dalam diri kita rasa cinta dan perihatin kepada hari-hari yang bermakna di dalam sejarah Islam. Terjemahan rasa cinta tersebut bukannya kita perlu berhibur dengan membuat perkara yang ditegah oleh syarak tetapi contohilah Rasulullah SAW. Dekatkan diri dengan Pencipta, Allah SWT seperti memperbanyakkan zikrullah, solat sunat, bersedekah, forum dan apa sahaja untuk menghadirkan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW akan segala pergorbanan baginda. Pada hari ini juga kita disunatkan berpuasa.

2) Hendaklah hadir di dalam diri kita keinginan dan cita-cita untuk mengunjungi tempat-tempat mulia sebagaimana ziarah Rasulullah SAW. Adalah menjadi suatu kewajiban kepada kita mengunjungi tiga tempat mulia ini sekiranya termampu sebelum mengambil keputusan untuk menziarahi tempat-tempat lain di dunia ini kecuali atas urusan tugas. Tempat-tempat tersebut ialah Kota Mekah, Madinah dan Baitul Maqdis.

3) Segala musibah yang melanda sebenarnya mempunyai hikmah yang besar di sebaliknya. Allah SWT adalah Maha Pengatur dan aturanNya mustahil adanya kesilapan. Musibah yang menimpa boleh bersifat:

a- pengajaran supaya kita menjadi lebih baik

b- kafarah iaitu penebus dosa yang telah kita lakukan

c- sesetengah musibah dapat mengelakkan hukuman di akhirat atau sekurang-kurangnya dapat meringankan hukuman tersebut

d- kadang-kadang musibah yang diterima dapat mengelakkan musibah yang lebih besar

e- musibah juga kadang-kadang merupakan ujian dari Allah SWT terhadap kita untuk menaikkan darjah kemuliaan disisiNya.

f- memang kadang-kadang musibah yang melanda adalah merupakan hukuman.

3) Kita umat Islam adalah wajib mempertahankan ketiga-tiga bandar suci tersebut dengan apa sahaja kekuatan yang ada hatta mempertaruhkan nyawa sekalipun. Kota-kota suci tersebut tidak dapat dipertahankan atau dirampas kembali hanya dengan kekuatan lahiriah/fizikal.

Contohilah Khalifah Salahuddin Al Ayubi semasa misi mempertahankan maruah Islam dan merampas kembali Baitul Maqdis dari tentera bersekutu salib. Beliau tidak hanya menekankan aspek kemantapan kekuatan dan strategi ketenteraan sahaja tetapi juga amat menekankan kemantapan kerohanian dan keimanan.

Tentera yang dibawa ke medan perang telah disaringkan dengan satu proses temuduga yang hanya memilih muslim yang telah istiqamah solat tahajjudnya selama beberapa tahun. Mereka juga tidak terdiri dari pelaku dosa besar dan tidak meremehkan dosa-dosa kecil.

Pada malam hari semasa peperangan pula, Solahuddin meninjau khemah tentera Islam untuk memmastikan hanya yang bertahajjud dan beribadah malam sahaja yang akan dibawa ke medan peperangan keesokkan harinya.

Kemuliaan dan ketinggian darjah di dalam Islam hanya boleh dicapai apabila kita dekat dengan Allah SWT.

Amatlah bersalahan sekiranya kita dirikan Islam hanya atas semangat sedangkan tiada pengisian dan roh di dalam amalan kita. Kita bertempik, berdemonstrasi dan berforum mengutuk keganasan rejim zionis yahudi tetapi pada malam hari kita berhibur di tempat-tempat maksiat, mabuk dan mengamalkan riba serta rasuah di dalam kehidupan seharian. Tiada kekuatan jiwa jika kita terlalu menyintai dunia dan larut di dalamnya. Islam tidak akan mencapai kemenangan oleh mereka yang derhaka kepada Allah SWT tetapi akan makin melemahkan keadaan.

4) Akidah dan keimanan kepada Allah SWT bukannya barang dangangan yang boleh ditukar beli. Kurniaan tersebut merupakan sebesar-besar hadiah kepada kita. Pemeliharannya supaya ianya tetap utuh merupakan kewajiban kita kerana hanya dengannya kita akan selamat di hari kemudian. Kematian sesuatu yang pasti dan kehidupan hari kemudian juga sesuatu yang pasti. Dunia fatamorgana ini hanya seketika tetapi hari kemudian adalah abadi.

5) Kita tidak boleh mencari rahsia ketuhanan hanya dengan logik akal kerana akal kita terbatas. Keupayaan diri kita terbatas kerana adanya kita adalah dijadikan. Kita hanya makhluk. Keupayaan makhluk ada takatnya. Pengetahuan kita kerana diberitahu dan diajar. Pemikiran kita diilhamkan, maka tiada upayanya kita melainkan Sang Pencipta, Allah SWT. Namun Allah SWT telah mengurniakan Kalamullah iaitu Al Quran dan mengutuskan rasulNya untuk diambil sunnahnya kepada kita agar kita tidak berada di dalam kesesatan.

6) Rasulullah SAW bukan sahaja merupakan penghulu kepada segala nabi-nabi dan rasul-rasul, tetapi merupakan makhluk yang paling mulia dan tertinggi darjatnya di sisi Allah SWT. Adalah wajib kepada kita umat Islam menyanjung dan menyintainya. Kecintaan kepada Rasulullah SAW bukannya pada sekadar pengucapan tetapi hendaklah hadir dalam semua bentuk tindakan dan amalan. Adalah tidak sempurna iman dan Islam seseorang itu sehingga ia mengasihi dan menyayangi Rasulullah SAW melebihi makhluk yang lain hatta ibu bapanya sendiri.

Patuh kepada setiap tegahannya dan meninggalkan segala larangannya. Cintai dan hayati sunnahnya baik dalam amal ibadah mahupun kehidupan seharian seperti berpakaian, makan, akhlak dan sebagainya. Jauhi rasa benci terhadap setiap amalan baginda ataupun memandang rendah terhadap mereka yang ikhlas mengamalkan sunnah baginda.

Ketidakupayaan kita menjadikan sebahagian sunnah Rasulullah SAW sebagai amalan harian tidak boleh menjadi penyebab kepada kita menghalang dan memperlekehkah mereka yang lebih berkeupayaan mempraktikkannya dibimbangi kita tidak diakui sebagai umatnya atau mungkin tindakan kita akan menyebabkan kita syirik kepada Allah SWT. Perlu kita ingat dan sedar bahawa kita tidak akan mampu masuk ke syurga berdasarkan amalan kita tetapi hanya rahmat Allah SWT dan syafaat Rasulullah SAW sahajalah yang membantu kita ke sana. InsyaAllah.

7) Allah SWT Maha Berkuasa. Dia bersifat dengan Kudrat dan IradatNya. Tiada barang mustahil untuk diadakan atau ditiadakanNya.

Maka sempena peristiwa Israk dan Mikraj tersebut, marilah kita sama-sama menghayati dan memulakan langkah baru di dalam memertabatkan Islam sebagai addin. Langkah pertamanya ialah memulakan dengan diri kita sendiri.








Monday, July 5, 2010

Tahlil Haru Biru

Hari Sabtu baru-baru ini, 3/7/2010 isteri penulis memberitahu bahawa salah seorang jiran selorong perumahan ada menjemput kami sekeluarga ke majlis kenduri dan tahlil yang diadakan pada malam hari tersebut. Penulis dan isteri tidak pasti tujuan kenduri yang akan diadakan itu. Cuma isteri penulis dipesankan majlis berlangsung dengan sembahyang Isyak di rumah jiran tersebut dan diikuti dengan sedikit tahlil.

Penulis berkerut dahi sedikit kerana rutin biasa penulis akan ke Masjid Al Makmur pada waktu tersebut. Masjid ini yang terletak di dalam kawasan perumahan kami sentiasa diisi dengan kuliah Maghrib setiap hari kecuali hari Khamis malam Jumaat, akan diadakan bacaan Surah Yaasin dan solat hajat. Sekiranya penulis berada di Kuantan, agenda ini memang menjadi kebiasaan penulis untuk turut serta menghadirkan diri.

Dengan jemputan yang diterima daripada jiran yang tidak berapa jauh dari rumah, penulis menjadi serba salah. Kebiasaannya juga di tempat kami ini, majlis sebegitu diadakan selepas solat Isyak dan para jemaah masjid dijemput untuk acara seterusnya seperti tahlil dan sebagainya.

Penulis bertanya kepada isteri, kenapa tidak dibuat seperti kebiasaan itu. Isteri penulis menerangkan beliau difahamkan bahawa majlis ini agak ringkas sahaja dan jemaah masjid tidak dijemput kerana takut ianya lewat bermula dan lewat sudahnya. Oh begitu rupanya. Tidak mengapalah, fikir penulis yang masih lagi kurang faham duduk perkara ini sebagaimana adat kebiasaannya.

Setiap hari Sabtu selepas solat Subuh, masjid kami ada mengadakan pembelajaran Tahsin Al Quran, iaitu belajar membaca Al Quran dengan tajwid yang betul. Penyertaan kariah amat menggalakkan. Kebiasaannya solat Subuh dihadiri lebih kurang 50-80 orang jemaah, termasuk wanita. Waktu solat Maghrib dan Isyak, bilangannya makin bertambah lagi. Masjid ini memang betul-betul dimakmurkan sebagaimana namanya Al Makmur.

Kebiasaan penulis pada hari Sabtu , setelah segalanya selesai termasuk berjogging di Taman Bandar, Indera Mahkota, penulis hanya berehat di rumah dengan bermain-main dengan anak bongsu, Ahmad Zul Farish. Juga membantu kerja-kerja rumah atau membeli barang-barang keperluan rumah dan dapur. Maklum sajalah, penulis banyak masanya berada di luar Kuantan kerana urusan tugas dan kerjaya.

Pada petang Sabtu tersebut, penulis dan isteri membawa anak bongsu kami, Farish ke Taman Bandar untuk mengambil angin dan melatih serta merangsang pergerakkannya sebagai salah satu cara fisiotheraphy. Menjelang senja, kami pulang ke rumah.

Penulis masih lagi serba salah tentang jemputan tersebut. Kalau hadir, penulis terpaksa tidak ke masjid kerana tidak mungkin hendak ditinggalkan kuliah maghrib apabila hampir masuk waktu solat Isyak dan terus ke rumah jiran tersebut sedangkan menuntut ilmu itu adalah fardhu kepada setiap muslim. Kalau tidak memenuhi jemputan, apa pula pandangan dan tohmahan jiran-jiran sedangkan juga menghadiri jemputan kenduri yang tidak bersalahan dengan syarak adalah wajib.

Penulis mengambil keputusan tidak ke masjid demi menjaga hubungan dan harapan kejiranan serta menjalin silatulrahim sesama Islam. Setelah hampir masuk waktu solat Isyak, penulis melihat jiran-jiran lain telah mula ke rumah jiran tersebut, maka penulis pun turut serta bersekali jiran sebelah rumah. Apabila penulis sampai, iqamah sedang dibaca dan penulis terus masuk ke dalam rumah yang telah sedia ada jiran-jiran lain dan ahli keluarga jiran tersebut.

Penulis berkira jika azan dilaungkan, hendak juga bersolat sunat dahulu, tetapi tidak mengapalah. Penulis terus ke saf hadapan, namun sebelum sempat sampai ada seorang pakcik menarik tangan penulis supaya menjadi imam.

Penulis sebenarnya tidak pernah mengenali dan cam tuan rumah tersebut sebenarnya. Isteri penulis memang biasa berurusan dengan isteri tuan rumah di mana pernah lah isteri beliau mengurut memperbetulkan pergelangan kaki isteri penulis yang terseliuh. Memang isteri jiran tersebut pandai mengurut dan mengambil upah mengurut secara sambilan.

Ok, tak apalah. Tidaklah menjadi satu masalah yang besar untuk menjadi imam solat berjemaah. Penulis berkira mungkin ustaz atau syeikh tahlil dalam perjalanan. Maka bersolatlah kami dengan penulis menjadi imam.

Setelah selesai solat Isyak dan doa selepas solat, penulis mengambil tempat di penjuru rumah untuk bersedia sekiranya tahlil sudah hendak dimulakan. Sedang penulis membetulkan duduk, seorang pakcik datang dan meminta penulis menjadi syeikh tahlil pada malam ini. Penulis tidak pasti adakah pakcik ini orang yang sama menyuruh penulis menjadi imam solat.

Berderau darah penulis, terfana seketika. Kenapa jadi begini? Penulis menolak dan meminta mereka mendapatkan orang yang lebih arif dan biasa dengan acara tahlil ini. Penulis sampai saat itu masih tidak mengetahui akan tujuan tahlil tersebut.

Pakcik itu menyuruh juga penulis dengan meminta diadakan secara ringkas dan ala kadar sahaja. Akhirnya penulis akur.

Sebenarnya penulis tidak pernah menjadi syeikh atau joghe tahlil, setakat jadi makmum atau pak turut, biasalah juga. Oleh kerana dimintanya hanya ringkas-ringkas sahaja, maka penulis kira bolehlah baca apa yang penulis tahu dan amalkan. Sesuatu yang penulis realise, sebenarnya penulis sukar untuk berkata tidak terhadap seseuatu permintaan, walaupun kadang-kadang ianya di luar kemampuan penulis. Penulis memang sedang belajar memperbetulkan perasaan ini agar tidak menyusahkan orang yang berharap dan diri penulis sendiri.

Penulis juga berfikir mungkin mereka hendak menyelesaikan majlis ini dengan kadar segera kerana hendak menonton siaran langsung bola sepak Piala Dunia 2010 peringkat suku akhir antara Germany menentang Argentina.

Sedang tahlil berjalan, mereka mengedarkan Surah Yaasin. Sekali lagi penulis tersentak, apa sebenarnya yang mereka hajati. Disusuli pula dengan meletakkan buah kelapa yang telah dipangkas bahagian atas bersekali tangkainya serta sebilah gunting di letakkan di atas bekas talam. Lalu ianya diletakkan di hadapan penulis.

Fuhh!! Menyelinap lagi darah penulis.

Sambil membelek-belek Surah Yaasin, penulis berkira-kira untuk menamatkan tahlil sebagaimana yang mereka minta, buat ringkas-ringkas sahaja. Namun makin lama, semakin blur penulis untuk menamatkannya.

Penulis mendapat akal. Selepas membaca Lailahaillallah sebanyak 33 kali, penulis terus menutup tahlil dengan berdoa. Selesai berdoa penulis pun bertanya kepada pakcik tersebut adakah hendak dibaca Surah Yaasin bersama tahlil. Mereka menyatakan memang berhasrat begitu. Penulis mengagak mereka adalah ahli keluarga jiran yang mengadakan majlis tersebut. Penulis meminta mereka mendapatkan sesiapa di kalangan hadirin supaya menjadi syeikh seterusnya. Lalu mereka meminta seorang ustaz, sebagaimana nama yang dipanggil kepada salah seorang yang hadir bersama-sama kami sejak dari majlis bermula.

Ustaz itu bertanya kenapa tidak dimulakan saja tahlil tadi dengan bacaan Surah Yaasin. Pakcik dan beberapa hadirin kedengaran menjawab mengatakan awalnya tadi diminta hanya tahlil yang ringkas-ringkas sahaja. Penulis mengiyakan sahaja.

Maka dipendekkan cerita, ustaz tersebut memulakan tahlil arwah dan bacaan Surah Yaasin. Alhamdulillah. Selesailah hajat sebenar tuan rumah tersebut yang rupa-rupanya mengadakan tahlil untuk kesyukuran dan mencukur jambul anak beliau serta doa arwah.

Walaubagaimanapun sedikit kemusykilan di hati penulis ialah pertama, pada kebiasaannya upacara memotong jambul diadakan sempena kenduri aqikah. Kalau kenduri aqikah tentulah makanan yang dihidang melibatkan jenis daging merah iaitu daging binatang halal dimakan yang berkaki empat sedangkan daging yang dihidangkan pula malam itu ialah daging putih, daging ayam. Kedua, mutu bacaan Surah Yaasin oleh hadirin tidak memberangsangkan. Banyak yang tidak tepat pada bacaan tersebut baik pada tajwidnya mahupun perkara asas bacaan seperti sebutan baris panjang pendeknya.Namun tanpa mahu memeningkan kepala, selesai sahaja tahlil, penulis terus menikmati hidangan yang disediakan.

Moral dari kisah ini adalah;

1) Kepada tuan tumah atau mereka yang berhasrat mengadakan sebarang majlis tahlil, rancanglah terlebih dahulu akan apa tujuan, kehendak dan kemahuan kita sempena majlis yang akan diadakan agar ianya lancar dan menepati hasrat. Lebih bermanafaat sekiranya tuan rumah dapat hadir ke masjid agar sama-sama dapat menimba ilmu dan berjemaah. Kemudian jemputlah imam bersekali jemaah yang lain untuk hadir majlis yang dirancangkan. Imam masjid dan jemaah regular adalah biasanya amat berkebolehan dan berilmu. Maka bacaan pada ayat-ayat surah Al Quran dan zikrullah yang dilafaz serta wiridkan nanti lebih bermutu dan tepat makna serta tajwidnya. Majlis yang diisi dengan kalamullah yang tepat bacaan dan sebutannya tentulah lebih berkat dan InsyaAllah, akan mendapat ganjaran yang lebih baik di sisi Allah SWT. Hadirin yang tidak berapa mahir, secara tidak langsung dapat belajar sesuatu yang lebih baik dari pengetahuan yang ada kerana majlis telah didominasi oleh mereka yang tahu.

2) Kepada penulis dan sesiapa saja yang menerima jemputan, hendaklah sentiasa bersedia terhadap segala kemungkinan. Pengisian ilmu dan amalan hendaklah selari pada setiap masa. Kadang-kadang masyarakat sekitar amat menghormati kita dan menganggap kita mengetahui niat mereka serta hebat segalanya, berdasarkan mata kasar mereka. Tidak semua yang berhasrat mengadakan majlis, arif tentang apa yang mereka mahu lakukan. Kita hendaklah memikirkan kebaikan ilmu dan amalan kita selain bermanafaat kepada diri kita dan keluarga, ianya juga memberi kebaikan kepada masyarakat. Ilmu yang baik dan bermanafaat kepada masyarakat merupakan fardhu kifayah.

3) Juga kepada sesiapa yang menerima jemputan, merasakan mereka hanya akan menumpang majlis, pastikan kehadiran kita memberi manafaat dan tidak mencacatkan majlis. Berusahalah untuk kebaikan, samada untuk penuhi hajat dan hasrat tuan rumah atau diri sendiri.

Sebenarnya majlis malam tersebut akan lebih lancar sekiranya tuan rumah berhasrat juga menggunakan penulis sebagai syeikhul tahlil, tetapi mestilah memberitahu awal niat beliau tersebut. Maka bolehlah penulis berkira;

1) Menolak terus permintaan tersebut, atau

2) Menerima dan bersetuju, tetapi penulis mendapatkan mereka yang lebih arif, atau

3) Menerima dan bersetuju. Maka penulis akan membuat sedikit homeworks agar tidak kelu dan bertindak bersesuaian semasa majlis berlangsung. Penulis sebenarnya adalah sedikit pengalaman membaca khutbah hariraya di kampung ketika masih lagi belajar di universiti dahulu. Penulis hanya perlu membuat sedikit homeworks dari tarikh permintaan supaya majlis berjalan lancar. Maklumlah perkara ini bukannya amalan hari-hari, atau

4) Menghadiri kuliah dan solat berjamaah di masjid. Hadirkan diri pada majlis tersebut setelah selesai urusan di masjid.

Tidaklah terlintas di fikiran penulis untuk langsung tidak menghadiri majlis tersebut kerana memenuhi undangan yang tidak bersalahan dengan syarak amatlah dituntut. Selain itu, kita sebagai orang Islam merupakan daei, maka akhlak yang terpuji sepatutnya menghiasi diri kita agar dapat melembutkan hati masyrakat untuk sama-sama berjuang memertabatkan Agama Allah ini sebagai Addin. Wallahua'llam.

Thursday, July 1, 2010

Azahar Ngah Sepupu Ku....(Bahagian Akhir)


Setelah keputusan SPM diumumkan, penulis telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Gurney, Kuala Lumpur di dalam bidang kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Awam selama 5 tahun. Sementara Azahar pula telah meneruskan kerjayanya yang sedia ada dengan lebih rancak lagi. Penulis lupa apakah beliau lulus dengan pangkat 3 atau gagal dalam SPM tersebut.

Sejak dari tahun 1984 hingga sekarang, kami jarang bertemu kerana masing- masing telah membawa haluan sendiri. Azahar sibuk dengan kerjanya sementara penulis pula dengan pelajaran di universiti.

Penulis pula, apabila tamat pengajian pada tahun 1989, telah memulakan kerjaya di Triang, Pahang Darul Makmur. Seterusnya berkahwin dengan gadis Temerluh pada tahun 1991 dan menetap sehingga sekarang di Kuantan. Keadaan ini telah menjarakkan kadar pertemuan kami. Kadang- kadang adalah kami bertemu semasa ahli keluarga berkumpul seperti hari raya, kenduri- kendara dan kematian ahli keluarga. Itupun, Azahar sering juga tidak dapat hadir kerana kesibukkan kerjayanya.

Azahar juga adalah seorang yang bertimbang rasa dan setia pada cinta. Di kampung, beliau menjadi rebutan gadis- gadis kerana memiliki rupa paras yang menarik, aktif bersukan, rajin dan keluarganya juga boleh dikatakan tergolong di kalangan orang yang berada juga.

Semasa penulis menjalani Latihan Industri di Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) pada tahun 1987 hingga 1988 selama 6 bulan, pernah beliau mendatangi penulis untuk mendapatkan nasihat tentang niatnya untuk berkahwin.

Penulis tidak berapa setuju dengan cadangan tersebut dan juga dengan pilihan hati beliau. Namun beliau berhasrat meneruskan juga untuk mengahwini gadis tersebut iaitu isterinya sekarang walaupun beliau ada pilihan yang lebih baik pada masa itu.

Sifat timbang rasa beliau itulah yang menyebabkan beliau memilih isterinya sekarang sebagai pasangan hidup kerana gadis tersebut adalah orang yang pertama berminat dan bersungguh- sungguh untuk bersuamikan Azahar sedangkan terdapat gadis lain terkemudian sedikit, yang juga berminat kepada beliau. Penulis lebih menyukai gadis kedua tersebut, begitu juga pendapat ahli kelurga yang lain.

Itulah jodoh, pertemuan,ajal dan maut adalah ketentuan Allah SWT. Azahar melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya pada tahun 1988 dan kekal sehingga sekarang.

Azahar dan pasangannya memperolehi 4 orang cahaya mata iaitu 2 lelaki dan 2 perempuan. Namun anak sulung mereka meninggal kerana denggi berdarah.

Beberapa tahun lalu sekitar tahun 2004, kakak beliau yang banyak membantu serta tinggal dengan kedua ibu bapa beliau, Kak Zaiton pula meninggal dunia dengan meninggalkan se orang anak. Suami Kak Zaiton telah terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi.

Pada tahun lepas, 2009 bonda tercinta beliau pula menghembuskan nafas terakhir.

Azahar dan penulis mempunyai beberapa persamaan tanpa sedar seperti penakut dan kencing malam.

Setiap kali kami menonton cerita seram, penulis lebih suka memalingkan terus pandangan ke arah lain tetapi Azahar akan menutup muka dengan tapak tangan dan membuka sedikit jari jemarinya untuk mempastikan slot seram tersebut telah tiada. Secara relatifnya , Azahar lebih penakut daripada penulis.

Semasa di asrama, penulis pernah sekali mengurung beliau di dalam tandas di waktu malam dan menutup semua lampu. Ini telah menyebabkan beliau meraung dengan begitu kuat sekali.

Kami berdua juga sering kencing ketika tidur di waktu malam. Perkara ini boleh dikatakan setiap malam terjadi sehingga akhir usia kami 12 tahun.

Pernah sekali kami balik ke kampung orang tua kami di Marang kerana ada majlis kenduri, kalau tidak silap penulis. Kami telah tidur bersebelahan datuk kami, ketika berusia sekitar 5 atau 6 tahun. Azahar telah kencing pada malam tersebut dan disedari oleh datuk kami ketika beliau hendak bangun menunaikan solat Subuh. Nasib penulis agak baik kerana tidak kencing pada malam itu. Datuk kami berusia sekitar 100 tahun pada masa itu.

Kami pernah bersama berusaha mengembangkan perniagaan hasil laut beliau di Kuantan pada tahun 1998 namun kepakaran yang ada pada beliau tidak dapat diambil oleh pekerja kami. Keadaan menjadi, semasa adanya Azahar dan tidak terurus dengan baik apabila beliau pulang ke Dungun sedangkan penulis tidak mahir dalam selok belok perniagaan tersebut. Pendekatan menguruskan projek pembinaan tidak sesuai untuk dipraktikkan di dalam bidang hasil laut kerana ianya lebih berdasarkan naluri dan pengalaman di dalam bidang tersebut. Idea dan usaha kami tidak begitu berjaya.

Secara keseluruhannya, penulis dan Azahar mempunyai ikatan yang akrab sehingga sekarang. Kami mempunyai banyak persamaan dan juga perbezaan yang ketara. Sebagai manusia biasa, masing- masing mempunyai kelebihan dan kekurangannya. Walaubagaimanapun, Azahar boleh disifatkan sebagai seorang yang peramah, mudah bergaul, amat menghormati orang, bertimbang rasa, suka menolong dan rajin. Beliau tidaklah gemar bermusuh dan bukannya orang yang keras kepala. Pendekatannya lebih kepada mengalah di dalam menjaga silaturahim.

Sekian.