click here!!

Tuesday, August 31, 2010

Gempar Yang Tidak Perlu Digemburkan...(Siri 1)

Terlebih dahulu penulis memohon maaf kepada rakan yang berkongsi melayari blog ini, kerana menangguhkan dahulu sambungan siri Kesalahfahaman Terhadap Ibadah Solat Bahagian 8. InsyaAllah penulis akan meneruskan sekuel siri tersebut selepas beberapa selingan catatan, yang penulis rasa terpanggil untuk mengutarakan terlebih dahulu untuk maslahat umum.

Seminggu dua ini, kita digemparkan dengan beberapa pendedahan dan pemberitaan yang dikira dan dirasakan menyentuh sensitiviti umat Islam. Pertama isu pembacaan doa khusus kepada non muslim di dalam khutbah kedua Solat Jumaat di Pulau Pinang dan yang kedua kehadiran wanita non muslim di dalam sebuah masjid di Selangor.

Penulis tidak perlulah menyebut dan menulis nama-nama individu terbabit dengan peristiwa-peristiwa tersebut kerana perkara yang hendak dikupas dan disentuh di sini merupakan sesuatu yang sepatutnya kita semua menanganinya dengan berhemah dan berfikiran terbuka serta ianya hendaklah disandarkan pula kepada kekuatan ilmu yang diasaskan atas keimanan.

Pada mulanya penulis tidaklah mahu mengambilkira sangat dengan perkara yang digemparkan tersebut, tetapi selepas beberapa ketika masa berlalu, telalu banyak kenyataan dan tindakan memalukan Islam yang syumul ini diperkatakan tanpa mempertimbangkan dari sudut ilmu dan kepentingan umum, maka penulis merasa ada keperluan untuk mencalitkan sedikit ulasan terhadap berita yang tidak sepatutnya digemburkan itu.

Isu bacaan doa oleh khatib ketika bacaan khutbah kedua Solat Jumaat, yang mendoakan agar pemimpin non muslim menerima hidayah dari Allah SWT kerana keadilan dan sikap mesra Islamnya didakwa telah meninggalkan bacaan doa terhadap DYMM Yang Di Pertuan Agong. Penulis tidak mengetahui sejauh mana benarnya pemberitaan ini namun jika dikaji dari sudut ilmu dan Islam, perkara yang berlaku ini tidaklah membatalkan kedua khutbah itu dan Solat Jumaat yang didirikan adalah sah.

Doa dan pujian kepada pemimpin selain Rasulullah SAW tidaklah merupakan syarat sah atau rukun kedua-dua khutbah Solat Jumaat. Sebenarnya doa dan pujian ini merupakan satu bidaah iaitu amalan yang dilaksanakan selepas kewafatan Rasulullah SAW yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW, hatta di zaman Khulafa' ar Rashidin pun ianya tiada pernah dilaksanakan.

Amalan ini mula wujud di zaman pemerintahan kerajaan Bani Umayyah yang ditambah dengan kata-kata kejian terhadap keturunan Saidina Ali karamahllahawajhah. Walaubagaimana pun, semasa pemerintahan Khalifah Umar bin Abdul Aziz, baginda telah memberhentikan amalan tersebut, namun dengan kewafatan baginda, pemerintah selepasnya meneruskan semula tradisi tersebut tetapi tidak lagi memasukkan kejian terhadap keturunan Saidina Ali ra.

Tradisi ini terus diamalkan oleh beberapa pemerintahan selepas itu seperti kerajaan Bani Abassiah sehinggalah sampai ke tanah air kita sekarang.

Sebenarnya jumhur ulamak telah berpendapat bahawa,

1- Adalah haram berdoa untuk kesejahteraan non muslim yang memusuhi Islam (kafir harbi) tetapi harus didoakan untuk kepentingan Islam seperti memohon Allah SWT memberi hidayah agar dibukakan pintu hati mereka kepada Islam sebagai mana doa Rasulullah terhadap Saidina Umar ra dan panglima Khalid al Walid ra.

2- Adalah harus mendoakan kesejahteraan non muslim yang tidak memusuhi Islam ( kafir zimmi) malah berbakti kepada Islam, apatah lagi doa supaya mereka mendapat hidayah dari Allah SWT untuk kepentingan Islam.

Perkara wanita non muslim memasuki masjid dan menyampaikan sumbangan terhadap masjid pula telah digemburkan dengan kononnya beliau menyampaikan tazkirah dan tidak menutup aurat, yang dilapurkan berlaku di negeri Selangor Darul Ehsan.

Cuba kita kembali kepada sirah dan sejarah Rasulullah SAW dalam menangani isu semasa masyarakat majmuk di dalam kehidupan beragama.

Semasa Rasulullah SAW berada di Masjid Nabawi di Madinah al Munawarrah bersama-sama sahabat, ketika itu baginda lebih kurang sedang menyampaikan kuliah atau mungkin berusrah dengan para sahabat. Tiba-tiba mereka didatangani oleh seorang pagan Arab Baduwi dengan cara agak kasar mencari Rasulullah SAW.

Tujuan asalnya adalah ingin mengadu ketidakpuasan hatinya terhadap Rasulullah SAW tentang beberapa perkara, dan Rasulullah SAW adalah pemimpin negara pada ketika itu. Sementara menunggu Rasulullah SAW selesai, Baduwi tersebut telah kencing di dalam masjid, di bahagian penjuru.

Melihatkan keadaan ini, Saidina Umar ra bangun untuk memukul Baduwi tersebut tetapi dihalang oleh Rasulullah SAW dan ditenangkan serta dinasihatinya. Baginda menyuruh salah seorang sahabat membasuh tempat kencing tersebut dan memanggil Baduwi itu untuk mendengar permasaalahannya.

Semasa perbincangan tesebut, Baduwi itu masih bersikap kasar, yang memang sudah menjadi cara hidup mereka yang pagan. Rasulullah SAW sentiasa tersenyum dan menangani dengan berhemah sehingga segala permasaalan Baduwi tersebut selesai.

Melihatkan hemah, sopan santun dan keikhlasan Rasulullah SAW semasa berurusan dan melayan kerenah beliau, dipendekkan cerita Arab Baduwi tersebut terus memeluk Islam.

Berdasarkan Mazhab Syafei, kecuali Tanah Haram dan Masjidil Haram di Makkatul Mukarramah, semua masjid adalah harus untuk dimasukki oleh non muslim.

Majlis Fatwa Kebangsaan juga telah menyatakan bahawa adalah harus kepada non muslim memasuki masjid.

Isu tidak menutup aurat pula tidaklah menjadi sesuatu yang pelik kerana terlebih pelik terhadap orang Islam yang tidak menutup aurat sedangkan menutup aurat itu adalah wajib kepada orang Islam yang mukhalaf padahal tidak wajib menutup aurat kepada non muslim.

Cuba juga kita perhatikan trend umat Islam sekarang apabila melangsungkan acara pernikahan dipilihnya masjid-masjid. Mereka yang hadir ramai yang tidak menutup aurat dan ada juga yang bangga mempamerkan jenis-jenis dandanan dan warna rambut. Ditambah lagi dengan beberapa adat-adat yang memang tidak bersesuaian dengan Islam seperti duduk bercampur lelaki dan wanita yang bukan muhrim, acara membatalkan air sembahyang, bersanding dan sebagainya dilakukan di dalam masjid. Kenapa tidak kita tegaskan dan memperbetulkan supaya kedudukan masjid selayaknya berfungsi kepada umat Islam khasnya dan masyarakat umum amnya.

Berbalik kepada isu non muslim di masjid tersebut, penulis difahamkan bahawa ceramah yang didakwa itu adalah merupakan sedikit ucapan tentang sumbangan beliau terhadap masjid, pun memakan masa tidak sampai 10 minit.

Sepatutnya kita kena berlapang dada dalam perkara ini dan seharusnya kita bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana memberi hidayat kepada non muslim tersebut untuk mendekati muslim dan Islam menerusi masjid. Rasa malu juga sepatutnya ada pada kita kerana orang Islam sendiri ada yang sukar untuk ke masjid dan juga yang fobia dengan masjid, apatah lagi hendak memberi sumbangan kepada masjid.

Sepatutnya menjadi tanggungjawab kita untuk menjelaskan apa yang sebenarnya mengenai Islam yang syumul ini kepada sesiapa sahaja lebih-lebih lagi non muslim dan sepatutnya juga dengan adanya begitu banyak masjid yang indah-indah di negara kita ini, dijadikan tarikan untuk dilawati oleh semua,baik muslim atau non muslim dan yang lebih penting adalah menjadikan tanggungjawab kita, sebagai muslim untuk mengimarahkan masjid.

..................bersambung.






No comments:

Post a Comment