click here!!

Friday, August 27, 2010

Kesalafahaman Tentang Ibadat Solat....(Bahagian 7)

.....................Sambungan.

7- Membaca Al Fatihah

Kadang-kadang semasa solat berjemaah, adakalanya Imam membaca Surah Al Fatihah dengan menyambung satu ayat dengan ayat yang lain (bacaan wasal) sehingga bacaan surah tersebut menjadi semacam pendek dan cepat.

Hadis riwayat Imam Ahmad bahawa Ummu Salamah r.a menjelaskan bahawa mafhumnya,

"Rasulullah SAW memutus-mutuskan (mewakaf) bacaannya (Surah al Fatihah) seayat demi seayat"

Dalam tafsir Ibn Kathir di dalam jilid 1 halaman 43 menyatakan bahawa pada setiap bacaan pada ayat di dalam Surah Al Fatihah, bila tiba wakafnya, maka dipuji oleh Allah SWT. Selepas membaca "Alhamdulillahi Rabbil alamin", Allah SWT akan menjawab, "Sesungguhnya hambaKu telah memujiKu". Begitulah ayat demi ayat seterusnya. Tafsir tersebut adalah merujuk kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah ra. Penulis tidak menyertakannya di sini memandangkan hadis ini terlalu panjang tetapi bolehlah dirujuk pada Sahih Muslim Jilid I,II,III,IV muka surat 196 hadis 349.

Wakaf
di penghujung ayat dikenali sebagai "wakaf tam" iaitu tempat berhenti dengan sempurna maknanya mengikut cara sebagaimana ayat Al Quran disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh Jibril as. Maka apa keperluannya kita mewasalkan bacaan Al Fatihah sedangkan ianya tidak mencontohi sunnah.

Walaubagaimanapun, membaca Al Fatihah secara wasal adalah harus dan sah sekiranya syarat-syarat tertentu dipatuhi,

a- memahami makna wasal.

b- memahami makna wakaf.

c- memelihara hukum tajwid.

d- memelihara baris panjang/pendek.

e- memelihara fasahah, makhraj dan sifat huruf.

Maka apabila bacaan secara wasal, kebarangkalian kesilapan berlaku agak besar kerana memerlukan pengawalan bacaan dalam satu nafas disamping untuk memahami maksud ayat tersebut.

Imam Al Ghazali berkata,

"Ketehuilah bahawa sesungguhnya bacaan secara tartil itu disunatkan bukanlah semata-mata untuk merenung maksud ayatnya sahaja, bahkan orang-orang yang tidak memahami makna ayat Al Quran pun disunatkan supaya membacanya secara tartil dan tenang kerana ini lebih menunjukkkan rasa sopan dan hormat terhadap Al Quran dan akan mendatangkan kesan lebih mendalam di dalam jiwa daripada membacanya secara tergopoh-gapah dan tergesa-gesa".

Oleh sebab itu adalah lebih afdhal membaca Surah Al Fatihah dan surah-surah lain sebagaimana kaedah bacaan Rasulullah SAW supaya solat kita menjadi lebih tenang, teratur disamping memudahkan kita merenung, memahami dan menghayati maksud ayat-ayat tersebut semuga memudahkan hadirnya kekusyhukkan di dalam solat kita.

Apa yang lebih penting, kita mengikut sunnah Rasulullah SAW.

Berikut juga antara bacaan ayat yang biasa disalah sebut oleh segelintir orang bersolat semasa membaca Al Fatihah, di mana ianya telah mencacatkan makna ayat tersebut,

a- dulilah sepatutnya dibaca dulillah

b- hirrobil sepatutnya dibaca hirobbil

c- kiyyau sepatutnya dibaca kiyau

d- kannak sepatutnya dibaca kanak

e- kannas sepatutnya dibaca kanas

f- iya sepatutnya dibaca iyya

g- membaca "sirotollazhina am".....terus hingga "waladdhoollin" secara terus tanpa wakaf, tetapi jika kesuntukkan nafas, bolehlah berhenti pada "an am ta'alahim" dan dibaca pula bermula "ghairilmaghdhu" sehinggalah "waladdhoollin". Walaupun kita wakaf di situ, bacaan ini masih lagi dikira bacaan pada satu ayat. Namun kita tidak boleh wakaf pada "ghairilmaghdhu bialaihim" dan disambung pada "waladdhoollin" kerana ianya telah mengubah maksud ayat ini......wallahua'lam.

8- Mengaminkan bacaan Al Fatihah Imam

Seringkali kita dapati semasa solat berjemaah mutaakhir ini, makmum agak keberatan untuk mengucapkan amin setelah Imam solat berjemaah selesai membaca Surah Al Fatihah. Ada juga hanya sekadar menggerakkan bibir sahaja.

Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim dari Abu Hurairah ra bahawasanya Rasulullah SAW bersabda mafhumnya,

"Apabila Imam membaca Amin, maka ucapkan pulalah Amin!Kerana barangsiapa bersamaan Aminnya dengan Amin malaikat, diampuni segala dosa-dosanya yang telah lalu"

Dan hadis berikut yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Abu Dawud bahawa mafhumnya,

"Apabila Rasulullah SAW selesai membaca Al Fatihah (dalam solat), beliau mengucapkan amin dengan suara yang nyaring (keras) dan panjang"

Hadis riwayat Imam Bukhari, Imam Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, Ahmad dan Siraj bahawa Rasulullah SAW bersabda mafhumnya,

"Tidak ada suatu hal yang sangat terasa hasad (menyakiti hati/dengki)) kaum Yahudi terhadap sekelian selain ucapan salam dan amin di belakang Imam"

Berdasarkan kepada hadis-hadis di atas dan banyak lagi hadis yang berkaitan, ulama dan ahli fekah berpendapat bahawa adalah menjadi syariat bagi Imam membaca amin dengan suara yang nyaring. Ada ahli fekah menyatakan bahawa hukum makmum menjaharkan (mengeraskan) bacaan amin bersama Imam adalah wajib bagi solat berjemaah dan hukumnya hanyalah sunnah apabila bersolat sendirian.Ada juga menyatakan hukum menjaharkan bacaan amin hanyalah sunat.

Namun apa yang jelas, menjaharkan bacaan amin adalah sunnah Rasulullah SAW . Maka apalah sukarnya untuk menghidupkan sunnah Rasulullah SAW yang sebegini sedangkan kita mampu melaksanakannya.



...................................bersambung.




3 comments:

  1. tukar template...susah nk bacer...

    ReplyDelete
  2. Tq.nanti saya usahakan, InsyaAllah.

    ReplyDelete
  3. syukran saya sudah baca meskipun agak terhalangi templatenya :)

    stanza

    ReplyDelete