click here!!

Monday, August 16, 2010

Kesalahafahaman Tentang Ibadat Solat....(Bahagian 4)

.........................Sambungan.

Kesilapan-kesilapan umum di sekitar ibadah solat.

Berikut adalah beberapa contoh kesilapan yang biasa ditemui, sering berlaku dalam masyarakat kita.

1- Solat tanpa ilmu

Firman Allah SWT di dalam Al Quran, Surah Fathir Ayat 28 yang bermaksud,

"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya, hanyalah ulama (golongan orang-orang yang berilmu)"

Sebarang bentuk ibadah hendaklah dilaksanakan dengan kita mengetahui apa sebenarnya sesuatu ibadah tersebut dan mengetahui duduk perkara yang kita lakukan.Pengetahuan ini akan menerbitkan keikhlasan dan kemanisan di dalam beribadah. Maka kita akan istiqamah, tidak mudah tergugat dengan perubahan tempat dan waktu. Penulis amat bimbang, ditakuti amalan kita adalah sia-sia sahaja apabila kita diperhitungkan di Hari Akirat nanti, walhal kita tiada peluang lagi untuk memperbaiki kesilapan tersebut.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Dawud, Nasa'i dan Ibnu Mubarak, yang bermaksud,

"Sesungguhnya hamba yang melakukan solat yang diwajibkan kepadanya ada yang mendapat ganjaran sepersepuluhnya, ada yang mendapat sepersembilannya, ada yang mendapat seperdelapannya, ada yang mendapat sepertujuhnya, ada yang mendapat seperenamnya, ada yang mendapat seperlimanya, ada yang mendapat seperempatnya, ada yang mendapat sepertiganya, atau ada yang mendapat setengahnya".

Maka bersolatlah kita dengan ilmu, bukannya bersolat sekadar budaya atau bersolat kerana melihat orang lain bersolat.

2- Kesempurnaan Wudhuk

Dari segi bahasa, wudhuk bererti kecantikan,berseri dan keindahan. Sudut syarak pula bermaksud sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu yang disertai dengan niat.

Diriwayatkan oleh Saidina Abdullah bin Amr r.a, bahawa kami telah kembali bersama Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah sehinggalah berjumpa satu tempat yang mempunyai air di tengah jalan, ketika itu ada sekumpulan daripada kami yang bergegas untuk melakukan solat kerana hampir waktu Asar. Mereka lalu berwudhuk dalam keadaan gopoh, apabila kami menghampiri mereka, kelihatan tumit-tumit mereka jelas tidak mengenai air, maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

"Celakalah bagi orang-orang yang tidak menyempurnakan wudhuknya, Ia akan ke neraka. Sempurnakanlah wudhuk!

Di dalam riwayat lain pula, Imam Muslim ada menceritakan bahawa ada seorang lelaki yang berwudhuk dan telah meninggalkan basuhan pada kuku (zahir dan batin) di kakinya. Rasulullah SAW terlihat dan bersabda yang bermaksud,

"Kembalilah dan perelokkanlah wudhuk mu"

Fardhu Wudhuk

a- Niat semasa permulaan membasuh muka seperti berikut,

"Sahaja aku berwudhuk/mengangkat hadas kecil kerana Allah Taala"

b- Membasuh dan meratakan air seluruh muka iaitu dari tempat yang biasa tumbuh rambut sehinggalah ke bawah dagu dan dari anak telinga ke anak telinga yang satu lagi.

c- Membasuh kedua-dua belah tangan hingga ke siku. Ianya bermaksud meratakan air keseluruh kulit dan bulu yang berada pada tangan. Sekiranya terdapat kekotoran di bawah kuku atau sesuatu yang menegah air seperti cincin dan sebagainya, maka wudhuk tersebut tidak sah.

d- Menyapu sebahagian kepala. Berdasarkan Mazhab Imam Syafei yang kita amalkan, sudah memadai dan sah jika mengusap seurat rambut di dalam kawasan kepala. Kebiasaan amalan adalah menyapu air dibahagian hadapan kepala.

Diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud bahawa Saidina Anas bin Malik r.a menceritakan,

"Aku pernah melihat Rasulullah SAW berwudhuk sedang beliau memakai serban dari Qatar. Maka beliau menyelitkan tangannya dari bawah serban untuk menyapu kepala bahagian depan tanpa melepaskan serban itu"

e- Membasuh kedua-dua kaki sehingga ke buku lali. Wajib membasuh, merata dan menyampaikan air ke seluruh kulit dan kuku yang berada pada kaki.

f- Tertib iaitu mendahulukan yang dahulu dan mengemudiankan yang kemudian. Walaubagaimanapun adalah sah wudhuknya apabila seseorang yang menyelam di dalam air (keseluruhan badannya terselam termasuklah kepala) dan berniat berwudhuk.

Syarat sah wudhuk

a- Islam.

b- Mumayiz iaitu tahu membezakan antara yang baik dan tidak.

c- Air mutlak.

d- Suci dari haid dan nifas.

e- Tidak ada anggota wudhuk yang menghalang sampainya air padanya seperti lilin, getah, minyak yang beku, kapur, daki yang berada di bawah kuku dan sebagainya.

f- Tidak ada pada anggota wudhuk sesuatu yang mengubah sifat air sehingga tidak lagi menjadi air mutlak seperti bedak.

g- Mengalirkan air pada anggota wudhuk.

h- Niat berwudhuk kerana Allah Taala.

i- Mengetahui tuntutan wudhuk dan kaifiatnya.

Sunat-sunat wudhuk

a- Membaca Basmallah pada permulaan wudhuk.

b- Membasuh sebanyak tiga kali setiap anggota wudhuk yang fardhu ataupun yang sunat.

c- Bersiwak atau menggosok gigi sebelum berwudhuk.

d- Berkumur dan memasukkan air ke hidung serta menghembuskannya keluar.

e- Menyelak-nyelak janggut yang tebal bermula dari bawah ke arah dagu.

f- Membasuh seluruh kepala sekalipun tiada rambut.

g- Menyapu air luar dan dalam kedua-dua telinga.

h- Mendahulukan anggota kanan untuk tangan dan kaki tetapi sunat dibasuh serentak untuk muka dan telinga.

i- Menggosok-gosok anggota yang dibasuh termasuk menyelak-nyelak celah-celah jari.

j- Muwalat iaitu berturut-turut yang bermaksud tidak berhenti lama antara satu-satu basuhan anggota.

k- Melebihkan basuhan pada hadapan kepala, kedua-dua tangan dan kaki.

l- Tidak membazir air.

m- Mengadap kiblat.

n-Tidak bercakap-cakap kecuali darurat seperti percakapan/pemberitahuan untuk mengelakkan musibah kepada diri dan orang lain ketika itu.

o- Mengucap Dua Kalimah Syahadah setelah selesai berwudhuk.

p- Berwudhuk di rumah kediaman seperti mana hadis riwayat Imam Muslim bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,

"Barangsiapa yang berwudhuk di rumahnya, kemudian berjalan ke masjid untuk melaksanakan kewajiban dari Allah (solat fardhu berjemaah) dan setiap langkahnya menghapuskan dosa dan langkah yang lain mengangkat darjatnya"

Perkara-perkara yang membatalkan wudhuk


a- Keluar sesuatu dari qubul (kemaluan) ataupun dubur samada suci ataupun tidak seperti kencing, najis, darah, angin, wadi, mazi dan sebagainya.

b- Tidur yang tidak tetap papan punggungnya. Iaitu terdapat ruang antara papan punggung dengan lantai. Maka jika tidur berkeadaan berdiri atau mengiring walaupun dirapatkan papan pungggung ke dinding, batallah wudhuk tersebut.

Walau bagaimanapun, mengantuk tidak membatalkan wudhuk. Maka jika seseorang sedang mendengar khutbah Jumaat di dalam keadaan yang sangat mengantuk tetapi masih lagi boleh mendengar perbualan di sekeliling walaupun tidak memahami butir percakapan tersebut, wudhuknya masih sah.

Jika seseorang itu merasa syak adakah tertidur atau mengantuk, maka wudhuknya masih sah. Tetapi jika dia yakin telah tertidur dengan papan punggungnya tidak tetap seperti terbaring atau tersungkur, maka batallah wudhuknya.

c- Hilang akal kerana mabuk, gila, pitam dan sebagainya.

d- Bersentuhan kulit antara lelaki dan wanita yang bukan mahramnya tanpa alas. Walaubagaimanapun tidak batal wudhuk bersentuh kulit dengan kanak-kanak yang belum sampai had keinginan berlawanan jenis.

Jika bersentuh dengan mayat pula, yang telah dimandikan jenazah, batallah wudhuk orang yang hidup sahaja.

Bersentuhan selain kulit seperti kuku, gigi dan rambut tidak membatalkan wudhuk.

e- Menyentuh qubul (kemaluan) dan dubur dengan telapak tangan atau telapak jari namun tidak batal wudhuknya jika di belakang telapak tangan/jari ataupun menggunakan hujung jari sahaja kerana erti telapak tangan dan jari adalah bahagian yang tertutup apabila dirapatkan. Juga tidak batal wudhuknya jika menyentuh qubul atau dubur haiwan.

..............................bersambung.









No comments:

Post a Comment