click here!!

Friday, August 20, 2010

Kesalahfahaman Tentang Ibadat Solat...(Bahagian 5)

.....................Sambungan.

3- Isbal

Iaitu memakai pakaian seperti kain, seluar atau jubah yang labuh melebihi buku lali.

Riwayat dari Imam Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad bahawa sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Keadaan sarung seseorang muslim hingga setengah betis, tidaklah berdosa bila memanjangkannya antara setengah betis hingga di atas buku lali. Dan apa yang turun di bawah buku lali maka bahagiannya di neraka. Barangsiapa yang menarik pakaiannya kerana sombong, maka Allah tidak akan melihatnya".

Amatlah ramai di kalangan kita yang memakai kain atau seluar secara Isbal, padahal ianya adalah perbuatan yang ditegah oleh Rasulullah SAW baik di dalam solat atau di luar solat. Namun ada pandangan yang meringankan tegahan tersebut dengan syarat pemakainya tidak berniat atau bertujuan bermegah-megah atau menampakkkan kesombongan.

Hadis riwayat Jamaah kecuali Imam Muslim,Ibnu Majah dan Tarmidzi tidak menyebutkan penuturan dari Saidina Abu Bakar r.a, dari Ibnu Omar diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,

"Barangsiapa memanjangkan pakaiannya kerana sombong, maka Allah tidak akan melihatnya kelak di hari kiamat".

Kemudian Saidina Abu Bakar r.a bertanya,

"Sesungguhnya sebahagian dari sisi sarungku melebihi buku lali kecuali aku menyinsingkannya"

Rasulullah SAW menjawab,

"Kamu bukan termasuk orang yang melakukan hal itu kerana sombong"

Imam Nawawi berkata bahawa hukum Isbal adalah makruh, sebagaimana pegangan Imam Syafei. Walaubagaimanapun, banyak hadis-hadis lain yang membawa maksud larangan Isbal dan tegahan ke atasnya.

Imam muslim, Imam Abu Daud, Imam Nasa'i dan Darimi meriwayatkan bahawa dari Abu Dzar r.a bahawsanya Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,

"Ada tiga golongan yang tidak akan diajak berbicara pada hari kiamat dan pada mereka azab yang pedih".

Rasulullah menyebutkan tiga golongan tersebut berulang-ulang sebanyak tiga kali, Abu Dzar berkata,

"Merugilah mereka! Siapakah mereka wahai Rasulullah?"

Rasulullah menjawab,

"Orang yang memanjangkan pakaiannya, yang suka mengungkit-ungkit pemberian dan orang yang melariskan dagangannya dengan sumpah palsu"

Maka jelaslah berdasarkan dari hadis-hadis di atas, perbuatan Isbal amatlah ditegah di dalam kehidupan harian, apatah lagi ketika solat. Oleh itu, mengapa kita perlu memilih untuk berisbal sedangkan terlalu banyak tegahan dan larangannya telah disabdakan oleh Rasulullah SAW sedangkan kita tiada kepayahan untuk meninggalkannya.

Utamakan kesempurnaan ibadat dan sunnah.

4- Cara bertakbiratul ihram

Penulis sering menemui berbagai-bagai ragam cara mengangkat tangan semasa melakukan takbiratul ihram, terutamanya semasa solat berjemaah.

Antara gaya-gayanya adalah;

a- Ada yang bertakbir dengan mengangkat tangan melabihi kepala.

b- Ada yang bertakbir semacam kedua-dua tangannya hampir menutup telinga.

c- Ada pula bertakbir dengan tangan hanya pada paras rusuk mereka sahaja.

d- Ada juga bertakbir seperti hendak berdoa dan berbagai-bagai lagi.

Imam Muslim meriwayatkan bahawa dari Salim bin Abdullah bin Umar r.a katanya yang bermaksud,

"Apabila Rasulullah SAW berdiri hendak solat, maka diangkatnya kedua tangannya hingga setentang dengan kedua bahunya sambil membaca takbir. Apabila baginda hendak rukuk, dilakukannya pula seperti itu, begitu pula ketika bangkit dari rukuk. Tetapi baginda tidak melakukannya ketika mengangkat kepala dari sujud"

Imam Muslim juga meriwayatkan bahawa dari Malik bin Huwairits r.a katanya yang bermaksud,

"Bila Rasulullah SAW takbir (untuk solat), baginda mengangkat kedua tangannya hingga setentang dengan kedua telinganya. Dan bila beliau hendak rukuk, diangkatnya pula kedua tangannya setentang dengan kedua telinganya. Dan bila beliau mengangkat kepala dari rukuk, beliau membaca 'Sami'allahu liman hamidah', sambil mengangkat tangan seperti itu pula"

Maka jelaslah dari kedua-dua hadis tersebut dan diperincikan lagi di dalam kitab-kitab ahli fikah bahawa,

a-Disunatkan bertakbir dengan mengangkat kedua-dua tangan sambil mendedahkan telapak tangan mengadap ke arah kiblat dan menjarangkan sedikit jari-jari tangan tersebut.

b- Kedudukan kedua-dua tapak tangan itu hendaklah sejajar dengan bahu dan jari-jari pula sejajar dengan telinga. Secara mudahnya bolehlah kita seakan-akan meletakkan hujung kedua-dua ibu jari berada pada paras bawah kedua-dua cuping telinga tanpa menyentuhnya dan berjarak sedikit.

c- Disunatkan juga menundukkan sedikit kepala sambil memandang ke tempat sujud sebelum dan semasa bertakbir.

d- Walaupun kita hanya disunatkan melakukan takbir seperti di atas, tetapi yang paling penting adalah kita bersolat sebagaimana Rasulullah SAW bersolat dan tidak mengada-adakan sesuatu yang tidak dilakukan oleh baginda, bimbang kita tergolong di kalangan orang-orang yang melakukan bidaah, iaitu bidaah yang melampau dan sesat.

e-Tidak sah bertakbir tanpa mengeluarkan suara yang didengari oleh diri sendiri sekiranya tidak cacat pendengaran. Kedapatan sesetengah dari kita, umat Islam yang mengerjakan solat dan bertakbiratul ihram tanpa bersuara dan ada juga langsung tidak mengerakkan bibir.

f- Sesetengah dari kita juga ada yang bertakbir berkeadaan berdirinya tidak bersedia dan tidak betul- betul bagi yang tidak uzur. Perkara ini sering terjadi semasa solat berjemaah, apabila sesorang makmum yang mengejar untuk mendapatkan rakaat bersama Imam, yang kadang-kadang sambil berjalan lagi sudah bertakbir. Perlakuan sebegini menyebabkan takbiratul ihram tersebut tidak sah kerana antara syarat sahnya adalah berdiri dengan betul bagi mereka yang tidak uzur.

g- Kepada mereka yang uzur, di mana kadang kita sering terjumpa jemaah solat yang membawa kerusi untuk mereka duduk semasa bersolat berjemaah, hendaklah pada permulaan takbiratul ihram tersebut mereka berdiri dan terpulanglah kepada keupayaan mereka selepas takbir tersebut untuk duduk di kerusi jika keadaan memudharatkan sekiranya terus berdiri. Takbiratul ihram mereka tidak sah sekiranya mereka memulakan solat dan bertakbiratul ihram semasa berkeadaan duduk sedangkan mereka berkeupayaan berjalan ke masjid/surau atau tempat solat.

h- Seringkali juga kita dapati semasa solat berjemaah, ada makmum yang bertakbiratul ihram sedangkan Imam belum lagi menyempurnakan takbirnya, dengan kata lain Imam tersebut tidak selesai lagi bertakbiratul ihram, telah diikuti takbir oleh makmum. Maka takbiratul ihram makmum tersebut adalah tidak sah dan sekiranya makmum tersebut meneruskan juga solat tersebut, maka solat tersebut juga tidak sah dan terbatal. Adalah wajib kepada makmum mengakhirkan takbiratul ihramnya sehingga diyakini Imam telah menyempurnakan takbiratul ihram beliau terlebih dahulu.

........................bersambung.









No comments:

Post a Comment