click here!!

Thursday, August 26, 2010

Kesalahfahaman Tentang Ibadat Solat...(Bahagian 6)

..................................Sambungan.

5- Melafazkan niat

Kita tentu acapkali ketemu dengan ragam lafaz niat ketika hendak memulakan solat. Ramai juga antara umat Islam yang tidak memahami erti niat dan di mana sepatutnya ia diqasadkan. Ada yang melafazkan ucapan "Usolli fardhu..." tersebut dirasanya telah berniat. Sesungguhnya lafaz tersebut hanyalah sebagai macam satu cara untuk menjuruskan kepada niat yang akan diqasadkan nanti semasa takbiratul ihram, iaitu membuang apa-apa perkara yang berlegar-legar di dalam diri kita sebelum mengerjakan solat.

Ada yang menyatakan lafaz tersebut hanyalah sunat. Namun penulis belum menemui apa-apa bukti yang menyokong pandangan tersebut. Tetapi lafaz yang kuat dan berulang-ulang sehingga mengganggu jemaah lain untuk mengerjakan solat amatlah ditegah.

Begitu juga ramai daripada kita yang bertakbiratul ihram terlalu lama. Ini kerana kata mereka, niat belum masuk lagi. Pada hal niat itu hanyalah berupa lintasan hati yang diqasadkan, bukannya membaca di dalam hati bahawa "Sahaja aku solat....".

Ada juga umat Islam yang memulakan solat dengan melakukan takbiratul ihram berkali-kali kerana merasa ragu-ragu akan kesahihan niat pada takbiratul ihram yang pertama. Ahli fekah menyarankan, apabila kita merasa ragu terhadap niat pada takbir yang pertama, supaya bertakbiratul ihram yang kedua untuk bertujuan membatalkan niat yang pertama dan seterusnya lakukan semula takbiratul ihram dengan niat yang baru.

Keadaan ini afdhal dilaksanakan kerana dibimbangi niat pada takbiratul ihram yang pertama adalah sah di sisi Allah SWT sedangkan kita merasa ragu terhadapnya. Sekiranya kita bertakbiratul ihram kali kedua dan tidak sah di sisi Allah SWT sedangkan takbir itu telah membatalkan niat pada takbir sebelumnya maka jika diteruskan juga solat tersebut, ianya tidak sah.

Begitu juga sesetengah dari kita memulakan solat dengan lafaz takbir yang berkali-kali pada satu feil (perbuatan) takbiratul ihram seperti contohnya, "Allah...Allah..Allahu Akbar". Mengapa tidak disempurnakan terlebih dahulu takbiratul ihram tersebut antara lafaz dan perbuatan tersebut satu persatu seperti berikut, "Allahu Akbar". Jika sekiranya diragui, ulang semula proses takbiratul ihram dengan tertib, bukannya ikut sesedap rasa saja.

6- Mata yang melilau ke merata tempat

Perbuatan ini semacam lumrah dan banyak berlaku pada solat umat Islam.

Imam Muslim meriwayatkan dari Jabir bin Samurah r.a bahawa katanya Rasulullah SAW bersabda mafhumnya,

"Hendaklah orang-orang itu berhenti memandang ke langit ketika solat, ataukah mereka akan dibutakan Allah?

Imam Baihaqi pula meriwayatkan dari Saidatina Aisyah r.a mafhumnya,

"Rasulullah SAW tidak mengalihkan pandangannya dari tempat sujud (di dalam solat)"

Begitu juga Imam Tirmidzi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya,

"Jika kalian solat, janganlah menoleh ke kanan atau ke kiri kerana Allah akan sentiasa mengahdapkan wajahNya kepada hamba (hambaNya) yang sedang solat selama ia tidak menoleh ke kanan dan ke kiri".

Maka daripada hadis-hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa,

a- Rasulullah SAW menegah perbuatan mata yang memandang melilau-lilau, baik ke atas, kiri atau kanan.

b- Kedudukan pandangan mata semasa solat hendaklah sentiasa pada tempat sujud dengan menundukkan sedikit kedudukan kepala.

c- Hakikatnya Allah SWT sentiasa menghadapkan wajahNya semasa hamba-hambaNya bersolat. Maka sayugialah solat dilakukan dengan penuh kesempurnaan dan tawadhuk.

Ahli fekah menyatakan bahawa makruh hukumnya seseorang yang bersolat dengan memandang-mandang sekeliling tanpa keperluan atau darurat. Walaubagaimanapun perbuatan memandang-mandang tersebut tidaklah membatalkan solat tetapi boleh menjejaskan solat kerana kemungkinan besarnya solat tersebut hilang kekusyhukkan serta timbul berbagai kata hati menafsirkan pandangan mata tersebut.

Selain dihukumkan makruh, perbuatan memandang-mandang tersebut bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW.

...........................bersambung.


No comments:

Post a Comment