click here!!

Monday, September 6, 2010

Gempar Yang Tak Perlu Digemburkan..(Siri Akhir)

.................Sambungan.

Penulis juga tertarik dengan pengalaman pendakwah/penceramah popular iaitu Ustaz Wan Sohor Bani Leman ketika beliau bertugas di Bonia Herzagovina.

Semasa beliau dan keluarga berjalan-jalan di bandar Sarajevo, mereka telah terserempak dengan seekor anjing yang besar dan comel kepunyaan penduduk di sana. Anjing tersebut bermain-main dengan mereka yang lalu lalang tanpa ada rasa curiga di hati anjing tersebut mahupun orang ramai. Sebenarnya haiwan seperti anjing dan kucing mempunyai naluri yang kuat, dan mampu mengetahui siapakah orang yang mempunyai rasa ihsan terhadap mereka.

Tiba-tiba anjing tersebut berjalan menuju kepada anak Ustaz Wan Sohor. Semakin anak beliau lari, ia makin mendekati tetapi ia hanya memandang dengan penuh manja. Anak Ustaz menangis ketakutan. Mereka tidak biasa bermain-main dengan anjing, begitulah juga dengan kebanyakkan Muslim.

Faktor masa, persekitaran dan pendidikan telah mengubah persepsi anak-anak Ustaz terhadap haiwan tersebut. Syariaat Islam yang syumul sebenarnya penawar dan penghubung rasa ehsan dalam diri manusia lebih-lebih lagi bagi orang -orang yang beriman. Maka hari demi hari anak-anak Ustaz Wan Sohor tidak takut dan curiga dan tahu bagaimana hendak menangani hubungan dengan haiwan tersebut tanpa menggadaikan syariat dan prinsip Islam.

Berdasarkan Mazhab Syafei, anjing juga merupakan makhluk Allah SWT yang patut dimuliakan seperti haiwan-haiwan lain dengan kaedah-kaedah tertentu. Adalah haram menyentuhnya dalam keadaan basah dan cara membersihkannya hendaklah disamak dengan sekali basuhan air tanah (selut) dan enam kali basuhan air mutlak.

Perasaan takut wujud pada anak Ustaz Wan Sohor hadir kerana tidak terbiasa dengan anjing dan perasaan manja ada pada anjing tadi adalah kerana sudah terbiasa dengan persekitaran. Adalah menjadi adat dan kebiasaan kepada sesetengah umat Islam di tanah air kita, mewujudkan persengketaan dengan haiwan tersebut. Kita telah diajar untuk merejam dengan apa-apa sahaja bahan yang tercapai jika terserempak dengan anjing. Kadang-kadang kita juga sengaja mencari permusuhan dengan haiwan tersebut dengan berbagai-bagai cara yang zalim. Maka seakan sudah ada tindakbalas bagi anjing-anjing di tanah air kita, jika berlaku pertemuan dengan orang-orang yang berkulit sawo matang, mereka bertindak agresif dengan kita.

Kerana masing-masing saling tidak mahu kenal-mengenal, maka wujudlah berbagai-bagai persepsi negatif antara kedua-dua belah pihak.

Kita jangan lupa bahawa kisah Asyhabul Kahfi, seekor anjing bernama Qitmir yang setia kepada pemuda-pemuda beriman telah dijanjikan syuga dengan rahmat Allah SWT.

Berbalik kita kepada bicara perihal bacaan khutbah jumaat dan kehadiran non muslim di masjid. Tingkahlaku sebahagian dari kita langsung tidak menggambarkan akan keilmuan dan penghayatan ajaran Islam.

Penulis amat tidak faham, apa keperluan kita mengkhabar dan mensensasikan berita yang tidak bersalahan dengan syarak tetapi diolah untuk dilihat menyalahi Islam.

Penulis tertarik dengan pandangan salah seorang muallaf (Cina Muslim) di dalam radio IKIM apabila ditanya tentang perkara yang menyebabkan beliau memilih Islam. Beliau menjawab nilai-nilai dan keperibadian salah seorang ustaz semasa beliau bersekolah telah membenihkan rasa keindahan Islam.

Walaubagaimanapun kata beliau lagi, persekitaran kita di tanah air yang ditambah dengan sikap media yang diterajui bumiputera Islam tidak membantu malah banyak yang memberikan gambaran yang tidak benar mengenai Islam sehinggakan non muslim tidak nampak apa yang hebatnya tentang Islam.

Kebanyakkan public figure termasuklah pemimpin, artis dan rancangan-rancangan hiburan tidak langsung menggambarkan keislaman dan tiada bedanya dengan non muslim, malah kadang-kadang lebih teruk lagi.

Sebagaimana yang kita tahu tamadun bangsa Cina dan India terlalu jauh mendahului kita, hatta tamadun mereka telah wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Maka apa keperluan mereka untuk bersama kita tanpa adanya sesuatu yang hebat pada kita. Melayu tiada apa-apa yang hebat jika dibandingkan dengan bangsa-bangsa di dunia sehinggakan ramai juga dari penghuni dunia tidak tahu akan kewujudan bangsa Melayu ini. Melayu hanya sedikit cemerlang apabila hadirnya Islam ke nusantara ini.

Cuba kita berfikir secara logik, sudahlah kita ni kerdil tapi apabila ada yang ingin berbaik-baik dan membantu, kita mengherdik dan marah-marah pula. Bukankah bodoh sombong namanya. Tidak bolehkah kita yang mengaku Islam ini mendahului sesuatu perbuatan dengan ilmu Islam.

Maka sepatutnya kita yang dilahirkan sebagai Islam wajib memikul tanggungjawab dan amanah mengamal dan memperlihatkan Islam yang syumul. Sebenarnya kita tiada pilihan sekiranya kita orang yang beriman.

Allah SWT mengetahui dengan ilmuNya apa yang terbaik untuk manusia. Apa yang perlu kita laksanakan hanyalah menurut perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Pepatah cina ada mengatakan, "biar kita bulat dan padu di dalam tetapi isi mengisi di luar ", yang membawa maksud bahawa hendaklah kita teguh dan berperinsip pada jiwa dan diri kita tetapi senang bergaul dan hadir di dalam masyarakat dengan tidak menggadaikan pinsip-prinsip kita. Tidaklah kita menjadi orang yang sebenarnya tiada prinsip tetapi jumuk dan riuh memperkatakan tentang prinsip di luar walhal kehidupannya dan batang tubuhnya langsung tiada prinsip tetapi umpama lalang yang ditiup angin.......wallahua'lam

No comments:

Post a Comment