click here!!

Tuesday, October 26, 2010

Amalan Rasulullah SAW Yang Mudah Diamalkan

Sebagai umatnya yang menyatakan rasa kasih dan sayangnya terhadap Rasulullah SAW, maka adalah sepatutnya kita melahirkan perasaan tersebut dengan cuba menjaga dan mengamalkan sunnah baginda. Berikut adalah antara sunnah Rasulullah SAW yang mudah kita praktikkan setiap hari agar kita semua dikurniakan Allah SWT iman sebagaimana Nabi SAW. InsyaAllah.

1- Solat Witir

Dilakukan selepas solat Isyak hingga solat Subuh. Sebaik-baiknya tidur kita adalah setelah kita menunaikan solat sunat Witir. Jika kita bermusafir dan melakukan solat Jamak Taqdim, maka bermula selesai solat Jamak tersebut telah boleh untuk kita melaksanakan solat Witir ini.

2- Solat Tahajjud

Afdhal dilakukan setelah sepertiga malam selepas tidur. Kepada mereka yang bekerja malam atau tidak boleh tidur, solat sunat ini boleh juga dilakukan kerana tidur itu adalah perkara sunat sahaja. Kemuliaan seorang mukmim terletak pada tahajjudnya.

3- Membaca Al Quran sebelum terbit matahari serta memahami maksudnya.

Memulakan kehidupan kita dan urusan dunia dengan panduan dan kalimah Allah SWT agar kita tidak tergelincir dari matlamat asal kejadian kita.

4- Berjemaah di masjid terutama waktu solat Subuh

Langkah pertama kita dalam memulakan urusan sebaiknya langkahan ke rumah Allah SWT. Masjid adalah pusat dan penuh keberkahan. Juga sebagai tanda kita mensyukuri nikmat Allah SWT kerana diberi peluang untuk bernafas lagi.

5- Solat Dhuha

Solat sunat Dhuha boleh dilakukan 15 minit setelah waktu syuruk sehingga solat Zuhur. Adalah afdhal lebihkurang pukul 8.45 am hingga 11.30am. Kunci rezeki terletak pada solat Dhuha.

6- Sedekah

Allah SWT amat menyukai orang yang bersedekah dan malaikatNya sentiasa mendoakan kebaikan terhadap orang yang bersedekah setiap hari.

7- Wudhuk

Allah SWT menyayangi orang yang berwudhuk. Saidina Ali karamallahuwajhah telah berkata, "Orang yang selalu berwudhuk sentiasa ia akan meresa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia Ya Allah."

8- Amalkan Istighfar dan zikir


Amalan Istighfar semuga kita sentiasa diampuni segala dosa yang telah dilakukan dan dijauhkan dari melakukan dosa-dosa baru. Zikir pula adalah tanda kita bersyukur kepada Allah SWT dan merupakan antara makanan rohani yang amat berkesan untuk pemantapan roh dan sahsiah diri. Amalannya dapat menghindarkan sesuatu kebatilan dan kejahatan dari merosakkan diri kita baik zahir mahupun batin.

Walau apa pun faedah dan kesan kebaikan terhadap amalan-amalan tersebut, yang paling penting adalah niat kita untuk menuruti dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW adalah kerana sayang dan kasihnya kita kepada baginda SAW.

Semuga kita dan penulis terutamanya, beramal dan mengekalkan amalan-amalan ini dalam kehidupan kita....wallahua'lam

No comments:

Post a Comment