click here!!

Tuesday, October 26, 2010

Ulangtahun Perkahwinan Yang Ke 19



Hari ini 27 hb Oktober 2010 genaplah 19 tahun usia perkahwinan penulis dengan isteri tercinta, Wan Nor Izzah Wan Ahmad. Perkahwinan kami pada tahun 1991 telah berlangsung di Temerluh, Pahang Darul Makmur di dalam suasana yang amat sederhana.Tiada persandingan, tiada membelah kek, tiada muzik, tiada karaoke, tiada band muzik dan tiada acara silat. Yang ada hanyalah perkara wajib, iaitu majlis akad nikah dan kenduri.

Hal-hal ini telah dipersetujui semasa perbincangan di dalam majlis pertunangan di mana ayahanda penulis telah menasihatkan keluarga mertua supaya dielakkan pembaziran, majlis yang sederhana dan tiada apa-apa acara yang melibatkan muzik.

Alhamdulillah, keluarga mertua penulis amat bertolak ansur. Hajat mereka pada mulanya hendak juga diadakan majlis besar-besaran dan meriah kerana isteri penulis merupakan anak bongsu mereka, juga anak perempuan tunggal mereka.

Pertemuan pertama penulis dengan isteri pada awal tahun 1990 di Unit Jabatan Kerja Raya (JKR) Felda, Temerluh, iaitu tempat isteri penulis bekerja dan penulis pula bertugas sebagai Jurutera Tapak di Triang. Pertemuan tersebut berlaku secara tidak langsung semasa penulis ke sana kerana urusan kerja.

Bermula dari tarikh tersebut, kami mula berkenalan dan beberapa kali juga penulis mengunjungi rumah keluarga beliau. Sesekali adalah juga kami keluar bersama. Alam remaja katakan, mabuk dalam percintaan.

Pada pertengahan 1990, isteri penulis meletakkan jawatan dan menyertai sebuah syarikat pembinaan besar dan terkemuka serta tersenarai di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur. Selang dua minggu sekali, penulis akan mengunjungi beliau di Damansara pada hari minggu.

Begitu juga apabila penulis telah ditugaskan sebagai Jurutera Projek di Bandar Muadzam Shah, Wilayah Pahang Tenggara (DARA), penulis akan ke Damansara melalui Serting dan Kuala Pilah. Pada masa itu perhubungan tidak seperti sakarang, tiada handphone. Walaupun penulis dibekalkan telefon mudah alih ( telefon atur 011) di tapak bina, namun telefon awam merupakan medium perhubungan utama kami.

Begitu juga setelah berkahwin, isteri penulis yang masih berkerja di Damansara, Selangor pula terpaksa pulang setiap minggu ke Kuantan sehinggalah beliau ditempatkan di Kuantan pada pertengahan 1992 kerana syarikat tersebut mendapat projek pembinaan jalan dari Kuantan ke Gambang.

Selepas bersalin anak pertama pada tahun 1993, isteri penulis terus meletakkan jawatan kerana ingin menumpukan kepada keluarga. Terima kasih isteriku, pengorbanan mu akan ku kenang sehingga akhir hayat.

Beberapa peristiwa berkaitan perkahwinan kami masih menjadi kenangan kepada penulis.Kami mengikat tali pertunangan pada cuti Tahun Baru Cina tahun 1991. Penulis masih ingat lagi pesan ayahanda supaya wang hantaran hendaklah tidak lebih RM 3000.00 kerana nilai semasa hantaran di Terengganu sekitar RM 1500- Rm 2500 sahaja, sedangkan di Pahang wang hantaran agak mahal dan mencecah RM4000.00 untuk pengantin perempuan yang berkerja. Alhamdulillah, keluarga isteri bersetuju dengan nilai wang hantaran hanyalah RM 2500.00 sahaja.

Sebelum majlis pernikahan, beberapa majlis terpaksa dilalui seperti majlis merisik dan majlis bertunang. Setiap majlis tersebut hendaklah disertakan dengan sebentuk cincin. Penulis pula merasa jemu juga kerana kerap kali terpaksa membeli cincin, ditambah lagi dengan komen dan kritikan ayahanda. Maklumlah adat setempat tidak sama.

Penulis memberitahu isteri penulis bahawa pada hari perkahwinan, tiada lagi cincin dan tiada upacara membatalkan air sembahyang kerana kita sepatutnya sentiasa berwudhuk. Isteri penulis amat terperanjat tetapi penulis berkeras dengan keputusan tersebut.

Pada hari perkahwinan semasa berada di rumah bapa saudara isteri penulis untuk persiapan berarak ke majlis akad nikah, ibu mertua penulis telah memberi sebentuk cincin untuk disarungkan semasa upacara membatalkan air sembahyang kerana ini merupakan adat setempat.

Sebenarnya penulis telah membeli seutas jam tangan menggantikan cincin. Selepas akad nikah maka penulis pun menyarungkanlah cincin ke jari dan jam ke tangan isteri. Selepas isteri mencium tangan penulis, disuruh pula oleh pihak keluarga isteri penulis mencium dahi isteri, tetapi bonda penulis yang berada berdekatan memarahi penulis. Serba salah juga penulis masa itu tetapi penulis mencium juga dahi isteri.

Pada majlis akad nikah tersebut juga, penulis telah memakai sepasang baju melayu yang berlainan warna dengan persalinan pengantin yang dipakai oleh isteri. Masa tu penulis mana tahu sedondong ke apa ke. Pakai hentam je. Pening juga isteri masa itu.

Itu adalah antara memori indah sejarah perkahwinan penulis. Kini penulis telah mempunyai empat orang cahaya mata, dua perempuan dan dua lelaki. Alhamdulillah.

Penulis juga amat bersyukur kerana isteri amat bertolak ansur dan memahami kerenah penulis sebaik semasa berkasih, bertunang dan alam rumah tangga semuga rumah tangga yang kami bina kekal sehingga ke syurga. Amin Ya Rabbul almin.





No comments:

Post a Comment