click here!!

Tuesday, November 30, 2010

Lima Maksiat Yang Disegerakan Balasannya

Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Ibnu Umar r.a berkata mafhumnya;

Berhadap Rasulullah SAW kepada kami (pada satu hari) kemudian beliau bersabda, " Wahai kaum Muhajirin, lima perkara kalau kamu telah dibalakan dengannya (kalau kamu mengerjakannya) maka tiada kebaikan lagi bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah SWT semuga kamu tidak menemui masa itu.

1- Tiada terzahir perzinaan pada suatu kaum sehingga mereka berani berterus-terang melakukannya kecuali mereka akan ditimpa penyakit tha'un yang cepat merebak di kalangan mereka. Mereka juga akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah ditimpa umat-umat yang lalu.

2- Dan tiada mereka mengurangkan sukatan dan timbangan kecuali mereka akan dibalakan dengan kemarau dan susah mencari rezeki dan kezaliman di kalangan pemimpin mereka.

3- Dan tiada menahan mereka dari zakat harta benda kecuali ditahan dari mereka air hujan dari langit. Jikalau tiada binatang (yang juga hidup di atas muka bumi ini) tentunya mereka tidak akan diberi hujan oleh Allah SWT.


4- Dan tiada mereka mungkir akan janji Allah dan RasulNya kecuali Allah SWT akan menguasakan ke atas mereka musuh mereka, maka musuh itu merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka.


5- Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam Al Quran dan tidak mahu manjadikannya sebagai pilihan, maka ( di saat itu ) Allah SWT akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri. "


Maka marilah kita sama-sama muhasabah diri berdasarkan hadis di atas dan apa yang telah berlaku di dalam kehidupan sekarang. Maka teramat benarlah pengucapan Rasulullah SAW yang memberi peringatan kepada umatnya di dalam menentukan dan mengemudi hala tuju kehidupan.......wallahua'lam


Tuesday, November 23, 2010

Lima Belas Maksiat Yang Menurunkan Bala

Hadis riwayat Imam Tirmidzi daripada Ali bin Abi Thalib karamallahuwajhah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda mafhumnya,

"Apabila umatku membuat lima belas perkara ini maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:

1- Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.

2- Apabila amanah itu dijadikan suatu sumber keuntungan.

3- Zakat dijadikan hutang.

4- Suami memperturutkan kehendak isteri.

5- Anak derhaka terhadap ibunya.

6- Tetapi pada masa yang sama ia berbaik-baik dengan kawannya.

7- Suka menjauhkan diri dari ayahnya.

8- Suara sudah ditinggikan didalam masjid.

9- Yang menjadi ketua suatu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.

10- Seorang yang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.

11- Khamar ( arak) sudah diminum dimerata tempat.

12- Kain sutera banyak dipakai oleh kaum lelaki.

13- Para artis disanjung-sanjung.

14- Muzik banyak dimainkan.

15- Generasi akhir ini melaknat ( menyalahkan ) generasi pertama ( sahabat ).

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau mereka akan diroboh menjadimakhluk lain."

Saturday, November 20, 2010

Watak Kehidupan Manusia Mewarnai Kehidupan

Secara sedar atau tidak dunia ini sebenarnya diwarnai manusia dengan mempunyai bebarapa sikap, tingkahlaku dan perangai yang berbeza-beza tetapi berkongsi watak dengan haiwan, iblis dan malaikat. Sebab itu Imam Al Ghazali dan Ibnu Qayyim pernah menggariskan bebarapa watak tesebut seperti berikut;

1) Watak ganas dan suka bergaduh seperti harimau dan singa.

Sebab itulah dunia ini tidak pernah sunyi daripada keganasan dan pergaduhan kerana adanya manusia-manusia yang berperwatakan sebegini. Ego, sombong dan bongkak dengan kekuatan, kehebatan dan kelebihan yang dirasakan ada pada diri. Maka manusia jenis ini akan melakukan apa sahaja untuk menunjukkan keupayaan dan kehebatan mereka dan bertindak sesuka hati bila rasa tercabar.

2) Watak yang beremosi seperti ayam jantan, lembu jantan dan binatang berkaki empat.

Manusia jenis ini bertindak, mencari peluang dan mempertahankan diri dan orang lain berdasarkan emosinya. Mereka-mereka ini akan bertindak mempertahankan diri sendiri atau orang lain dengan hanya berdasarkan emosi semata-mata. Tidak langsung memikirkan kewajarannya. Kadang-kadang tindakan mereka itu hanyalah kerana mendengar cerita tanpa usul periksa dan seterusnya mengambil tindakan pula kerana merasakan merekalah orang yang berhak serta patut membuat keputusan.

3) Watak suka menyalak seperti anjing sama ada di dalam keadaan aman ataupun terdesak.

Manusia berwatak anjing ini menyalak sesuka hatinya. Keadaan pencuri disalaknya dan kepada tuannya sendiri yang banyak berjasa pun disalaknya juga. Mereka-mereka ini tidak kira pada apa-apa keadaan pun akan sentiasa tidak berpuas hati terhadap orang lain. Mereka tidak peduli sesiapa pun samada musuh mereka atau orang yang banyak membantu mereka.

4) Watak menggoda seperti iblis.

Manusia berjiwa iblis menggoda manusia lain supaya mengikut kehendaknya. Iblis apabila mengetahui dirinya dilaknat dan direjam oleh Allah SWT, lalu menggoda bagi merosakkan manusia supaya binasa sepertinya juga.

Mereka-mereka ini akan bertindak mempengaruhi sesiapa sahaja yang dekat dan selalu behubungan dengan mereka atau kepada sesiapa sahaja yang berkesempatan. Manusia begini akan cuba membentuk suatu keadaan yang berlawanan dengan sesuatu yang bercanggah dengan pendapat mereka walaupun pendapat dan keadaan yang dicanggahi itu betul dan baik serta bertepatan dengan kehendak agama.

Manusia berjiwa ini sukar untuk bermuhasabah diri sendiri dan asyik memandang akan kesalahan orang lain serta sentiasa tidak berpuas hati dengan orang lain terutama yang tidak sependapat dengan mereka.

Berbagai cara dan kaedah dilakukan untuk menarik orang ramai mengikut dan bersetuju dengan mereka hatta dengan cara mengadu domba, fitnah, mencipta cerita karut dan berbagai-bagai. Yang penting demi kepuasan dan dendam kesumat, mereka-mereka ini mahu dipercayai, diikuti, disanjungi dan bersama-sama mereka menentang serta menyanggahi musuh dan orang-orang yang tidak disukai mereka walaupun mereka akan menemui kehinaan dan kegagalan akhirnya.

5) Watak yang sukakan kebaikan dan iman seperti malaikat.

Manusia seperti ini berusaha menyelamatkan manusia lain walaupun manusia itu sedang berada di jurang api neraka. Segala usaha dibuat supaya manusia itu kembali kepada jalan yang telah diberi petunjuk agar selamat dunia dan akhirat.

Sebenarnya watak-watak tersebut bukannya dilahirkan semulajadi menjadi tabiat kita, tetapi ianya diasuh, ditiru dan dipelajari baik secara sedar ataupun tidak sedar. Persekitaran, keluarga, rakan-rakan, media dan ilmu adalah antara penyumbang besar sehingga menjadikan watak-watak tesebut diasuh dan dibiasakan....wallahua'lam.