click here!!

Tuesday, October 26, 2010

Ulangtahun Perkahwinan Yang Ke 19



Hari ini 27 hb Oktober 2010 genaplah 19 tahun usia perkahwinan penulis dengan isteri tercinta, Wan Nor Izzah Wan Ahmad. Perkahwinan kami pada tahun 1991 telah berlangsung di Temerluh, Pahang Darul Makmur di dalam suasana yang amat sederhana.Tiada persandingan, tiada membelah kek, tiada muzik, tiada karaoke, tiada band muzik dan tiada acara silat. Yang ada hanyalah perkara wajib, iaitu majlis akad nikah dan kenduri.

Hal-hal ini telah dipersetujui semasa perbincangan di dalam majlis pertunangan di mana ayahanda penulis telah menasihatkan keluarga mertua supaya dielakkan pembaziran, majlis yang sederhana dan tiada apa-apa acara yang melibatkan muzik.

Alhamdulillah, keluarga mertua penulis amat bertolak ansur. Hajat mereka pada mulanya hendak juga diadakan majlis besar-besaran dan meriah kerana isteri penulis merupakan anak bongsu mereka, juga anak perempuan tunggal mereka.

Pertemuan pertama penulis dengan isteri pada awal tahun 1990 di Unit Jabatan Kerja Raya (JKR) Felda, Temerluh, iaitu tempat isteri penulis bekerja dan penulis pula bertugas sebagai Jurutera Tapak di Triang. Pertemuan tersebut berlaku secara tidak langsung semasa penulis ke sana kerana urusan kerja.

Bermula dari tarikh tersebut, kami mula berkenalan dan beberapa kali juga penulis mengunjungi rumah keluarga beliau. Sesekali adalah juga kami keluar bersama. Alam remaja katakan, mabuk dalam percintaan.

Pada pertengahan 1990, isteri penulis meletakkan jawatan dan menyertai sebuah syarikat pembinaan besar dan terkemuka serta tersenarai di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur. Selang dua minggu sekali, penulis akan mengunjungi beliau di Damansara pada hari minggu.

Begitu juga apabila penulis telah ditugaskan sebagai Jurutera Projek di Bandar Muadzam Shah, Wilayah Pahang Tenggara (DARA), penulis akan ke Damansara melalui Serting dan Kuala Pilah. Pada masa itu perhubungan tidak seperti sakarang, tiada handphone. Walaupun penulis dibekalkan telefon mudah alih ( telefon atur 011) di tapak bina, namun telefon awam merupakan medium perhubungan utama kami.

Begitu juga setelah berkahwin, isteri penulis yang masih berkerja di Damansara, Selangor pula terpaksa pulang setiap minggu ke Kuantan sehinggalah beliau ditempatkan di Kuantan pada pertengahan 1992 kerana syarikat tersebut mendapat projek pembinaan jalan dari Kuantan ke Gambang.

Selepas bersalin anak pertama pada tahun 1993, isteri penulis terus meletakkan jawatan kerana ingin menumpukan kepada keluarga. Terima kasih isteriku, pengorbanan mu akan ku kenang sehingga akhir hayat.

Beberapa peristiwa berkaitan perkahwinan kami masih menjadi kenangan kepada penulis.Kami mengikat tali pertunangan pada cuti Tahun Baru Cina tahun 1991. Penulis masih ingat lagi pesan ayahanda supaya wang hantaran hendaklah tidak lebih RM 3000.00 kerana nilai semasa hantaran di Terengganu sekitar RM 1500- Rm 2500 sahaja, sedangkan di Pahang wang hantaran agak mahal dan mencecah RM4000.00 untuk pengantin perempuan yang berkerja. Alhamdulillah, keluarga isteri bersetuju dengan nilai wang hantaran hanyalah RM 2500.00 sahaja.

Sebelum majlis pernikahan, beberapa majlis terpaksa dilalui seperti majlis merisik dan majlis bertunang. Setiap majlis tersebut hendaklah disertakan dengan sebentuk cincin. Penulis pula merasa jemu juga kerana kerap kali terpaksa membeli cincin, ditambah lagi dengan komen dan kritikan ayahanda. Maklumlah adat setempat tidak sama.

Penulis memberitahu isteri penulis bahawa pada hari perkahwinan, tiada lagi cincin dan tiada upacara membatalkan air sembahyang kerana kita sepatutnya sentiasa berwudhuk. Isteri penulis amat terperanjat tetapi penulis berkeras dengan keputusan tersebut.

Pada hari perkahwinan semasa berada di rumah bapa saudara isteri penulis untuk persiapan berarak ke majlis akad nikah, ibu mertua penulis telah memberi sebentuk cincin untuk disarungkan semasa upacara membatalkan air sembahyang kerana ini merupakan adat setempat.

Sebenarnya penulis telah membeli seutas jam tangan menggantikan cincin. Selepas akad nikah maka penulis pun menyarungkanlah cincin ke jari dan jam ke tangan isteri. Selepas isteri mencium tangan penulis, disuruh pula oleh pihak keluarga isteri penulis mencium dahi isteri, tetapi bonda penulis yang berada berdekatan memarahi penulis. Serba salah juga penulis masa itu tetapi penulis mencium juga dahi isteri.

Pada majlis akad nikah tersebut juga, penulis telah memakai sepasang baju melayu yang berlainan warna dengan persalinan pengantin yang dipakai oleh isteri. Masa tu penulis mana tahu sedondong ke apa ke. Pakai hentam je. Pening juga isteri masa itu.

Itu adalah antara memori indah sejarah perkahwinan penulis. Kini penulis telah mempunyai empat orang cahaya mata, dua perempuan dan dua lelaki. Alhamdulillah.

Penulis juga amat bersyukur kerana isteri amat bertolak ansur dan memahami kerenah penulis sebaik semasa berkasih, bertunang dan alam rumah tangga semuga rumah tangga yang kami bina kekal sehingga ke syurga. Amin Ya Rabbul almin.





Amalan Rasulullah SAW Yang Mudah Diamalkan

Sebagai umatnya yang menyatakan rasa kasih dan sayangnya terhadap Rasulullah SAW, maka adalah sepatutnya kita melahirkan perasaan tersebut dengan cuba menjaga dan mengamalkan sunnah baginda. Berikut adalah antara sunnah Rasulullah SAW yang mudah kita praktikkan setiap hari agar kita semua dikurniakan Allah SWT iman sebagaimana Nabi SAW. InsyaAllah.

1- Solat Witir

Dilakukan selepas solat Isyak hingga solat Subuh. Sebaik-baiknya tidur kita adalah setelah kita menunaikan solat sunat Witir. Jika kita bermusafir dan melakukan solat Jamak Taqdim, maka bermula selesai solat Jamak tersebut telah boleh untuk kita melaksanakan solat Witir ini.

2- Solat Tahajjud

Afdhal dilakukan setelah sepertiga malam selepas tidur. Kepada mereka yang bekerja malam atau tidak boleh tidur, solat sunat ini boleh juga dilakukan kerana tidur itu adalah perkara sunat sahaja. Kemuliaan seorang mukmim terletak pada tahajjudnya.

3- Membaca Al Quran sebelum terbit matahari serta memahami maksudnya.

Memulakan kehidupan kita dan urusan dunia dengan panduan dan kalimah Allah SWT agar kita tidak tergelincir dari matlamat asal kejadian kita.

4- Berjemaah di masjid terutama waktu solat Subuh

Langkah pertama kita dalam memulakan urusan sebaiknya langkahan ke rumah Allah SWT. Masjid adalah pusat dan penuh keberkahan. Juga sebagai tanda kita mensyukuri nikmat Allah SWT kerana diberi peluang untuk bernafas lagi.

5- Solat Dhuha

Solat sunat Dhuha boleh dilakukan 15 minit setelah waktu syuruk sehingga solat Zuhur. Adalah afdhal lebihkurang pukul 8.45 am hingga 11.30am. Kunci rezeki terletak pada solat Dhuha.

6- Sedekah

Allah SWT amat menyukai orang yang bersedekah dan malaikatNya sentiasa mendoakan kebaikan terhadap orang yang bersedekah setiap hari.

7- Wudhuk

Allah SWT menyayangi orang yang berwudhuk. Saidina Ali karamallahuwajhah telah berkata, "Orang yang selalu berwudhuk sentiasa ia akan meresa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia Ya Allah."

8- Amalkan Istighfar dan zikir


Amalan Istighfar semuga kita sentiasa diampuni segala dosa yang telah dilakukan dan dijauhkan dari melakukan dosa-dosa baru. Zikir pula adalah tanda kita bersyukur kepada Allah SWT dan merupakan antara makanan rohani yang amat berkesan untuk pemantapan roh dan sahsiah diri. Amalannya dapat menghindarkan sesuatu kebatilan dan kejahatan dari merosakkan diri kita baik zahir mahupun batin.

Walau apa pun faedah dan kesan kebaikan terhadap amalan-amalan tersebut, yang paling penting adalah niat kita untuk menuruti dan mengamalkan sunnah Rasulullah SAW adalah kerana sayang dan kasihnya kita kepada baginda SAW.

Semuga kita dan penulis terutamanya, beramal dan mengekalkan amalan-amalan ini dalam kehidupan kita....wallahua'lam

Sunday, October 3, 2010

Heraclius (Hercules) Dan Kerasulan Nabi Muhammad SAW...(Siri Akhir)

...........................Sambungan.

Kemudian Heraclius meminta surat Rasulullah SAW yang dihantarkan oleh Dihyah kepada pembesar negeri Bushra, yang kemudian diteruskannya kepada Hercalius. Lalu dibacanya surat itu, yang isinya sebagai:

"Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dari Muhammad, Hamba Allah dan RasulNya. Kepada Heraclius, Kaisar Rumawi. Kesejahteraan kiranya untuk orang yang mengikut petunjuk. Kemudian, sesungguhnya saya mengajak anda memenuhi panggilan Islam. Islamlah! Pasti anda selamat. Dan Allah akan memberi pahala kepada anda dua kali ganda. Tetapi jika anda enggan, nescaya anda akan memikul dosa seluruh rakyat. Hai, ahli kitab! Marilah kita bersatu padu dalam satu kalimah yang sama antara kita, iaitu supaya kita tidak menyembah kecuali hanya kepada Allah, dan jangan mempersekutukanNya dengan suatu apa pun. Dan janganlah sebahagian kita menjadikan sebahagian yang lain menjadi Tuhan selain Allah. Apabila anda enggan menuruti ajakan ini, akuilah bahawa kami ini Muslim!"

Kata Abu Sufyan, "Selesai ia mengucapkan perkataannya dan membaca surat itu, ruangan menjadi heboh dan hiruk pikuk; kami pun disuruh keluar. Sampai di luar, aku berkata kepada kawan-kawan, "Sesungguhnya menjadi masaalah besar urusan Anak Abu Kasbsyah. Sehingga raja bangsa kulit kuning itu pun takut kepadanya. Aku yakin, Muhammad pasti menang. Sehingga oleh kerananya Allah memasukkan Islam ke dalam hatiku."

Anak Abu Kabsyah bermaksud nama ejekan yang dipanggilkan orang kafir Mekah kepada Nabi Muhammad kerana waktu kecil nabi dipelihara oleh Halimah Saadiah, yang suaminya bernama Abu Kabsyah.

Ibnu Nathur, pembesar negeri Ilia (Baitul Maqdis), sahabat Heraclius dan pendeta Nasrani di Syam, dia menceritakan, " Ketika Heraclius datang ke Ilia, ternyata fikirannya sedang kacau. Oleh sebab itu banyak di antara para pendeta yang berkata, "Kami sangat hairan melihat sikap anda."

Selanjutnya kata Ibnu Nathur, "Hercalius adalah seorang ahli nujum yang selalu memperhatikan perjalanan bintang-bintang. Dia pernah menjawab pertanyaan pendeta yang bertanya kepadanya: Pada suatu malam ketika saya mengamati perjalanan bintang-bintang, saya melihat Raja khitan (khatan) telah lahir. Siapakah di antara umat ini yang telah dikhitan?"

Jawab para pendeta itu, "Yang berkhitan hanyalah orang Yahudi. Janganlah anda risau kerana orang Yahudi itu. Perintahkan saja ke seluruh negeri dalam kerajaan anda, supaya orang-orang Yahudi di negeri itu dibunuh."

Ketika itu dihadapkan kepada Hercalius seorang utusan Raja Bani Ghassan untuk menceritakan perihal Rasulullah SAW. Setelah orang itu selesai bercerita, lalu Heraclius memerintahkan agar dia diperiksa, apakah dia berkhitan atau tidak. Setelah diperiksa, ternyata memang dia berkhitan. Lalu diberitahukan orang kepada Heraclius.

Heraclius bertanya kepada orang itu tentang orang-orang Arab lainnya, "Dikhitankah mereka atau tidak?"

Jawabnya, "Orang-orang Arab itu dikhitankan semuanya."

Heraclius berkata, "Inilah raja umat. Sesungguhnya dia telah lahir."

Kemudian Heraclius berkirim surat kepada seorang sahabatnya di Roma (Rom), yang ilmunya setaraf dengan Heraclius (menceritakan tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW). Dan sementara itu ia meneruskan perjalanannya ke negeri Hims (sebuah kota di Syam). Tetapi sebelum dia sampai di Hims, balasan surat dari sahabatnya itu telah tiba lebih dahulu. Sahabatnya itu menyetujui pendapat Heraclius bahawa Muhammad telah lahir dan beliau memang seorang nabi.

Roma adalah sebuah kota tertua di Itali, yang sekarang menjadi ibu kota negara ini. Dahulunya adalah ibu kota kerajaan Rumawi Barat. Menurut riwayat kononnya kota itu didirikan oleh Romulus pada tahun 753 sebelum Masehi.

Heraclius mengundang para pembesar Roma supaya datang ke tempatnya di Hims. Setelah semuanya hadir dalam majlisnya, Heraclius memerintahkan supaya mengunci setiap pintu. Kemudian dia berkata, "Wahai, bangsa Rum! Mahukah anda semua beroleh kemenangan dan kemajuan yang gilang-gemilang, sedangkan kerajaan tetap utuh di tangan kita? Kalau mahu, akuilah Muhammad itu sebagai Nabi!"

Mendengar ucapan itu mereka lari bagaikan keldai liar, padahal semua pintu telah terkunci. Melihat keadaan demikian, Heraclius menjadi putus harapan yang mereka akan beriman ( percaya kepada Nabi Muhammad SAW). Lalu diperintahkannya supaya mereka kembali ketempat mereka masing-masing seraya berkata, "Sesungguhnya saya mengucapkan perkataan saya tadi, hanyalah sekadar menguji keteguhan hati anda semua. Kini saya telah melihat keteguhan itu."

Lalu mereka sujud di hadapan Heraclius dan mereka senang kepadanya.

Demikianlah akhir kisah Heraclius.

Kisah ini dipetik dari riwayat Imam Bukhari di dalam Sahih Bukhari, menceritakan tentang kerasulan Nabi Muhammad SAW telah ketahui dan dijangka oleh mereka yang terdahulu dari kelahiran Rasulullah SAW lagi dan sememangnya dinanti-nantikan oleh mereka yang beriman dengan kitab-kitab Allah yang terdahulu. Cuma kadang-kadang keingkaran dan melampaui batas mereka hadir kerana keperluan duniawi dan keangkuhan diri. Begitulah juga keadaan sekarang, sindrom penafian oleh orang-orang Islam sendiri terhadap kepatuhan beragama, telah mewarisi sikap dan kelakuan golongan kuffar terdahulu.


Friday, October 1, 2010

Heraclius (Hercules) Dan Kerasulan Nabi Muhammad SAW...(Siri 2)

........................Sambungan.

Heraclius, "Pernahkah kamu berperang dengannya?"

Jawabku, "Pernah."

Heraclius, "Bagaimana peperangan itu?"

Jawabku, "Kami kalah dan menang silih berganti. Dikalahkannya kami dan kami kalahkan pula dia."

Heraclius, "Apakah yang diperintahkannya kepada kamu sekelian?"

Jawabku, "Dia menyuruh kami menyembah Allah semata-mata, dan jangan mempersekutukan Nya. Tinggalkan apa yang diajarkan nenek moyangmu! Disuruhnya kami menegakkan solat, berlaku jujur, sopan (teguh hati) dan mempererat persaudaraan."

Kata Heraclius kepada jurubahasanya, "Katakan kepadanya (Abu Sufyan), saya tanyakan kepadamu tentang turunannya (Muhammad), kamu jawab dia bangsawan yang tinggi. Begitulah rasul-rasul yang terdahulu, diutus dari kalangan bangsawan tinggi kaumnya."

Saya tanyakan, "Adakah salah seorang di antara kamu yang pernah mengumandangkan ucapan sebagai yang diucapkannya sekarang?"

Jawabmu, "Tidak!"

Kalau ada seseorang yang pernah mengumandangkan ucapan yang diucapkannya sekarang, nescaya aku katakan, "Dia meniru-niru ucapan yang diucapkan orang dahulu itu."

Saya tanyakan, "Adakah di antara nenek moyangnya yang menjadi raja?"

Jawabmu, "Tidak ada!"

Kalau ada di antara nenek moyangnya yang menjadi raja, nescaya ku katakan, "Dia hendak menuntut kembali kerajaan nenek moyangnya."

Saya tanyakan, "Adakah kamu menaruh curiga kepadanya bahawa dia dusta, sebelum ia mengucapkan apa yang diucapkannya sekarang?"

Jawabmu, "Tidak!"

Saya yakin, dia tidak akan berdusta terhadap manusia apalagi kepada Allah.

Saya tanyakan, "Apakah pengikutnya terdiri dari orang-orang mulia ataukah orang-orang biasa?"

Jawabmu, "Orang-orang biasa"

Memang, mereka jualah yang menjadi pengikut rasul-rasul.

Saya tanyakan, "Apakah pengikutnya makin bertambah banyak atau makin kurang?"

Jawabmu, "Mereka bertambah banyak."

Begitulah halnya iman hingga sempurna.

Saya tanyakan, "Adakah di antara mereka yang murtad kerana benci kepada agama yang dipeluknya, setelah mereka masuk ke dalamnya?"

Kamu jawab. "Tidak"

Begitulah iman, apabila ia telah mendarah daging sampai ke jantung hati.

Saya tanyakan, "Adakah ia melanggar janji?"

Kamu jawab, "Tidak."

Begitulah juga segala rasul-rasul yang terdahulu, mereka tidak suka melanggar janji.

Saya tanyakan, "Apakah yang disuruhkannya kepada kamu sekelian?"

Kamu jawab, "Ia menyuruh menyembah Allah semata-mata, dan melarang
mempersekutukanNya. Dilarangnya pula menyembah berhala, disuruhnya menegakkan solat, berlaku jujur dan sopan (teguh hati)."

Jika yang kamu terangkan itu betul semuanya, nescaya dia akan memerintah sampai ke tempat aku berpijak di kedua telapak kakiku ini. Sesungguhnya aku telah tahu bahawa ia akan lahir. Tetapi aku tidak mengira bahawa dia akan lahir di antara kamu sekelian. Sekiranya aku yakin akan dapat bertemu dengannya, walaupun dengan susah payah aku akan berusaha datang menemuinya. Kalau aku telah berada di dekatnya, akan ku cuci kedua telapak kakinya.

...............................bersambung.

Heraclius (Hercules) Dan Kerasulan Nabi Muhammad SAW...(Siri 1)

Riwayat Imam Bukhari dari Ibnu Abbas r.a mengatakan bahawa Abu Sufyan bin Harb bercerita kepadanya, bahawa Heraclius (Hercules), Raja Rumawi Timur yang memerintah dari tahun 610M hingga 630M. Waktu itu Rasulullah SAW sedang dalam perjanjian damai dengan Abu Sufyan dan dengan orang-orang kafir Quraisy, iaitu Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6H.

Mereka datang mengadap Heraclius di Ilia (Baitul Maqdis), terus masuk kedalam majlisnya, dihadapi oleh pembesar-pembesar Rumawi. Kemudian Heraclius memanggil orang-orang Quraisy itu berserta jurubahasanya.

Heraclius berkata,

"Siapa di antara anda yang paling dekat hubungan kekeluargaannya dengan laki-laki yang mengaku dirinya Nabi itu?"

Jawab Abu Sufyan,

"Saya! Saya keluarga terdekatnya."

Berkata Heraclius (kepada jurubahasanya), "Suruh dekat-dekatlah dia kepadaku. Dan suruh pula para sahabatnya duduk di belakangnya"

Kemudian berkata Heraclius kepada jurubahasanya, "Katakan kepada mereka bahawa saya akan bertanya kepada orang ini (Abu Sufyan). Jika dia berdusta, suruhlah mereka mengatakan bahawa dia dusta."

Kata Abu Sufyan, "Demi Allah! Jika tidaklah aku takut akan mendapat malu, kerana aku dikatakan dusta, nescaya mahulah aku berdusta."

Pertanyaannya yang pertama,

"Bagaimanakah turunannya di kalanganmu?"

Aku jawab, "Dia turunan bangsawan di kalangan kami."

Heraclius, "Pernahkah orang lain sebelumnya mengumandangkan apa yang dikumandangkannya?"

Jawabku, "Tidak pernah."

Heraclius, "Adakah di antara nenek moyangnya yang menjadi raja?"

Jawabku, "Tidak!"

Heraclius, "Apakah pengikutnya terdiri dari orang-orang mulia ataukah orang-orang biasa?"

Jawabku, "Hanya terdiri dari orang-orang biasa"

Heraclius, "Apakah pengikutnya semakin bertambah atau berkurang?"

Jawabku, "Bahkan selalu bertambah"

Heraclius, "Adakah di antara mereka yang murtad, kerana mereka benci kepada agama yang dipeluknya itu?"

Jawabku, "Tidak!"

Heraclius, "Apakah kamu menaruh curiga kepadanya dia berdusta sebelum dia mengumandangkan ucapan yang diucapkannya sekarang?"

Jawabku,"Tidak!"

Heraclius, "Pernahkah dia melanggar janji?"

Jawabku, "Tidak! Dan sekarang, kami sedang dalam perjanjian damai dengan dia. Kami tidak tahu apa yang akan diperbuatnya dengan perjanjian itu."

Kata Abu Sufyan menambahkan, "Tidak dapat aku menambahkan kalimat lain agak sedikit pun selain kalimat itu."

.........................bersambung.