click here!!

Monday, December 20, 2010

Menyalahkan Orang Lain Kerana Kekalahan

Sekali lagi penulis membicarakan perihal kehidupan. Kali ini cuba renungi kisah dan tabiat yang agak biasa berlaku kepada kita termasuklah diri penulis sendiri.

Kita berhasrat menggantungkan gambar berbentuk tulisan khat di dinding rumah. Ketika itu suasana di luar rumah begitu bising dengan suara kanak-kanak yang sedang bermain. Namun kita tidak begitu kisah dengan suasana tersebut kerana ianya tidak mengganggu kerja yang akan kita lakukan.

Setelah melihat-lihat dan menilik pada dinding rumah, kita pun menandalah tempat untuk diletakkan gambar tersebut. Dengan tangan kiri diletakkan hujung paku ke dinding dan mula menghentak kepala paku itu dengan penukul yang di tangan kanan kita.

Entah bagaimana, penukul yang dihentak itu meleset dari sasarannya dan tepat menuju ke ibu jari tangan kiri kita. Serentak dengan rasa sakit yang amat sangat itu, dengan suara yang bagaikan petir menyambar, kita menjerit dan mengherdik ke arah kanak-kanak yang bermain di luar rumah.

Dengan maki dan sumpah seranah, "Hai budak celaka! Jangan bising!!!"

Suasana tiba-tiba senyap.

Realitinya, yang memegang paku adalah tangan kiri kita sendiri dan yang memegang penukul pula adalah tangan kanan kita sendiri juga. Yang mengatur hentakan pada adatnya adalah diri kita sendiri. Kerja tersebut tidak ada hubungannya dengan suara bising, kerana kita bukannya membuat kerja-kerja merakam suara.

Jadi, mengapa kita menyalahi kanak-kanak pula? Atau kita kita marah kepada siapa? Kalau kita marah pada diri sendiri, kenapa kita hamburkan kemarahan dan caci nista kepada orang lain, atau apa yang paling ditakuti kita marah kepada Allah SWT kerana kejadian ini.

Adalah juga antara kita mula mereka-reka cerita tentang kegagalan pekerjaan kononnya terdapat faktor-faktor yang mengganggu-gugat sehingga kita menemui kegagalan. Cuba menafikan kelemahan dan kesilapan diri sendiri padahal perkara tersebut tidak akan membantu kegagalan tadi beroleh kejayaan, tetapi akan lebih memudharatkan lagi keadaan.

Maka apa yang nyata adalah kita hendaklah bertanggungjawab di atas apa-apa yang berlaku hasil tindakan kita tanpa menyalahkan orang lain dan bertawwakallah kepada Allah SWT kerana Dialah yang Maha Hebat Kuasa dan AturanNya.

Friday, December 17, 2010

Membaiki Kesalahan Dengan Kesalahan

Kali ini penulis ingin mengajak rakan-rakan pembaca melihat ke dalam diri kita sendiri. Tentang drama kehidupan kita sehari-harian.

Seekor ayam telah masuk ke dalam rumah. Berkeliaran dengan selesanya. Melepaskan najis pula di atas lantai rumah. Melihat perilaku ayam tersebut yang masuk ke rumah tanpa izin, membuang najis pula dan sebagaimana sedia maklum bahawa ayam memang tak layak berada di dalam rumah, maka timbul kemarahan kita.

Untuk memperbetulkan keadaan dan mebaiki kesalahan yang dilakukan oleh ayam tersebut, tindakan yang harus diambil ialah dengan menghalaunya. Kita pun mula bertindak, tetapi ayam itu tidak menuju ke arah pintu keluar. Kita mengejar lagi dan ayam itu menjadi bertambah liar. Masuk ke dalam bilik tidur pula. Kita menjadi bertambah marah kerana tidak dapat mengawal ayam tersebut. Dengan penuh geram, kita mengejar lagi.

Ayam itu kini tidak berlari lagi tapi mula mengembangkan sayapnya dan terbang pula. Ia melompat ke atas meja. Sebuah pasu bunga kecil jatuh ke lantai dan pecah berderai.

Kemarahan kita makin membuak-buak dan tidak dapat mengawal diri lagi. Kita mengejar dengan lebih agresif dan menggila. Ayam itu terbang makin laju dan lebih melulu. Gambar di dinding pula jatuh ke lantai. Alas meja, langsir, kusyen dan lantai kotor oleh tahi ayam tersebut dan tiga buah gelas bertaburan. Pasu Sarawak juga turut tumbang berkecai.

Melihat suasana ini, dalam keadaan putus harapan, darah yang mendidih dan termengah-mengah, badan pula telah lesu keletihan. Kita terduduk.

Keadaan tenang kembali. Ayam itu dengan tenang melenggang menuju ke pintu keluar.

Persoalannya dari kisah kita dan ayam tadi;

1- mengapa terjadi sedemikian?

2- mengapa kita harus mengalami kerugian besar hanya disebabkan seekor ayam masuk ke rumah kita?

Jawabannya kerana kita bertindak terburu-buru tanpa berfikir panjang terlebih dahulu. Kita sepatutnya bertenang dan mengatur strategi untuk bertindak agar tiada kejadian tidak diingini berlaku. Kita bertindak membaiki kesalahan ayam dengan menggunakan kaedah yang salah.

Perlu mengenali sifat ayam tersebut dan kemungkinan perilakunya ketika aman dan terdesak. Paling penting bertindak dengan berhemah dan menunjuk arah agar ayam tersebut menyedari kehadirannya tidak diperlukan, serta jalan keluar ada di hadapannya.

Bertenang, berfikir, mengkaji, mengatur strategi dan mula bertindak dengan berhemah akan menghasilkan apa yang kita kehendaki. InsyaAllah.

Thursday, December 9, 2010

Sikap Yang Tidak Kena Pada Tempatnya





Apabila berada di Kuantan, dan ada kelapangan adalah menjadi rutin serta kebiasaan bagi penulis mengunjungi tempat riadah dan rekreasi. Tempat yang menjadi kebiasaan dikunjungi oleh penulis seisi keluarga adalah Taman Bandar Indera Mahkota dan Pantai Batu Hitam di Beserah.

Memandangkan Taman Bandar Indera Mahkota terletak berhampiran dengan kediaman penulis, maka ianya agak kerap dikunjungi penulis berbanding dengan Pantai Batu Hitam. Kadang-kadang waktu pagi selepas rancangan Tanyalah Ustaz di TV9 ( Tanyalah Ustaz bersiaran jam 7.00am hingga 8.00am) atau kadang-kadang waktu petang selepas solat Asar.

Pengunjung ke taman ini juga agak ramai dan majoritinya datang bersama ahli keluarga, lebih-lebih lagi pada waktu petang hari Sabtu dan Ahad. Berbagai-bagai aktiviti dilakukan di sini.

Walaubagaimanapun, dengan kemudahan yang terdapat di sini, tujuan utama kebanyakkan pengunjung ke sini adalah untuk berjogging dan melakukan senaman. Juga tempat ini sesuai untuk kanak-kanak bermain kerana kemudahan tempat dan peralatan permainan kanak-kanak juga agak lengkap dan banyak.

Alhamdulillah, warga Kuantan nampaknya amat perihatin dan bertanggung jawab terhadap kesihatan fizikal dan mental diri sendiri serta ahli keluarga.

Namun begitu, di dalam keprihatinan terhadap kesihatan, terdapat juga segelintir pengunjung yang tidak peka dengan arahan serta keadaan persekitaran.

Penulis amat terkilan dan kecewa dengan sikap pengunjung yang meletakkan kenderaan mereka sesuka hati sedangkan tempat parkir telah dan banyak disediakan. Papan-papan tanda "Tidak Dibenarkan Meletakkan Kenderaan" jelas terpampang, namun masih ramai pengunjung yang mengambil sikap berlawanan dengan arahan badan berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Kuantan ( MPK ). Rujuk gambar 2, 3 dan 4.

Adalah sekali dua, bahagian penguatkuasa MPK membuat pemantauan dan pemeriksaan mengejut. Apabila saman dikeluarkan ada juga antara pengunjung yang tidak berpuashati dan menunjukkan tingkahlaku tidak sopan termasuklah mengeluarkan kata-kata yang kurang enak.

Apa yang penulis nampak di sini, ada antara kita akan marah, menghamburkan kata-kata yang tidak elok dan berkelakuan tidak senonoh apabila dihukum. Pada hal sepatutnya kita bermuhasabah diri sendiri dahulu sebelum bertindak balas terhadap sesuatu hukuman yang diterima.

Pernahkah terfikir oleh pengunjung terbabit betapa sakitnya hati pengunjung lain bila betapa sukarnya mengawal kenderaan apabila melalui jalan yang sempit dan kenderaan diletakkan kiri kanan jalan tersebut.

Terkadang juga, pemilik kenderaan yang terbabit masih berada di dalam kenderaan mereka, memandang ke arah pemandu kenderaan lain yang kesukaran melalui jalan tersebut dengan sinis dan mengomel memperlekehkan kepakaran pemanduan seseorang.

Tidak terfikirkah juga pengunjung terbabit kemungkinan akan berlakunya perkara tidak diingini seperti kereta pengunjung lain hilang kawalan dan merempuh kenderaan mereka sehingga mengakibatkan kerosakan terhadap kenderaan mereka atau lebih malang lagi medatangkan kemudharatan kepada tubuh badan serta nyawa mereka sendiri.

Sebenarnya berdasarkan tinjauan penulis, terdapat banyak kekosongan tempat parkir kenderaan di taman tersebut terutama di kawasan bertingkat. Situasi ini amat memusyhkilkan penulis dan rasanya juga kepada pengunjung-pengunjung lain. Rujuk gambar 1.

Bukankah kedatangan kita ke taman ini untuk beriadah, bersenam dan mengeluarkan peluh. Sepatutnya tempat parkir yang jauh sedikit dan bertingkat itu amatlah sesuai dengan tujuan kedatangan. Apa maknanya datang ke taman ini dan meletakkan kenderaan bersepah-sepah berdekatan tempat permainan tetapi berjogging pula menaiki tingkat parkir dan tangga cerun lain pada hal pada waktu yang sama telah menyakitkan hati pengunjung lain, menyusahkan orang lain dan juga meletakkan kenderaan tersebut dalam keadaan berisiko.

Sebenarnya inilah sikap kebanyakkan dari kita. Mengambil mudah sesuatu perkara. Jarang sekali cuba memikirkan dan menyelami hati dan perasaan orang lain sekiranya kita berada di tempat tersebut.

Apabila sesuatu yang malang berlaku akibat sikap kita tersebut, kita akan menyalahkan kejadian tersebut sehingga kadang-kadang sampai mempertikaikan takdir Allah SWT, tanpa memperhalusi dan mengkaji punca kejadian yang kadang-kadang amat jelas ianya datang dari kecuaian dan sikap bodoh sombong kita sebenarnya.

Begitu jugalah dalam kehidupan semasa kita. Acapkali sesetengah kita membuat bising, melenting, menuduh dan bertindak dengan mengikut emosi apabila dihukum sedangkan puncanya adalah berpunca dari diri kita sendiri.

Mula membuat kenyataan yang berulangkali kononnya dengan tujuan membela diri tanpa mempedulikan kesan terkemudian. Akhirnya, mereka-mereka ini juga yang menerima padah dan terseksa dek perbuatan pendek akal mereka itu sendiri.

Makin banyak kenyataan yang dikeluarkan, semakin banyak pula kita akan melakukan kesilapan yang tidak disedari. Kekadang antara satu-satu versi penceritaan membela diri tersebut bercelaru dan kontra antara satu cerita dengan cerita yang lain.

Kita mungkin tidak menyedarinya tetapi kepada mereka-mereka yang rasional pemikirannya amatlah mudah menentukan kedudukan sebenar sesuatu perkara yang dihebohkan itu.

Kali ini penulis amat bersetuju dengan kenyataan Tan Sri Abdul Gani Patail, Peguam Negara terhadap bekas Menteri Besar Selangor,Datuk Seri Mohamad Khir Toyo ketika diminta mengulas tindakan Tan Sri Khir yang membuat kenyataan membela diri kepada media.

" The more you say, the more you are going to hurt yourself. "





Monday, December 6, 2010

Tekad Maal Hijrah

Sempena Maal Hijrah pada hari ini, dan tahun 1432 H penulis ingin mengimbau kembali kisah penghijrahan Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar As Siddik r.a dari Mekah Al Mukarramah ke Madinah Al Munawarrah.

Penulis tidaklah hendak menyentuh tentang proses penghijrahan yang telah banyak kali diceritakan tetapi ingin membicarakan bagaimana tekad dan azam penduduk Madinah ketika itu apabila menerima kedatangan Rasulullah SAW.

Setelah Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar r.a benar-benar telah tiba di Madinah pada hari Jumaat 16 hb Rabiul Awal bersamaan 20 hb September 622 Masehi, laungan " Muhammad sudah datang, Muhammad sudah datang ", " Rasulullah sudah sampai " dan " Allahu Akbar " telah kedengaran.

Begitulah antara seruan dan laungan suara sambutan kira-kira 500 orang penduduk kota Madinah ketika itu yang menunggu ketibaan Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar r.a. Setiap mereka bergembira dan berpusu-pusu mengerumuni untuk melihat wajah baginda dengan lebih dekat.

Madinah belum pernah mengalami kemeriahan sebegitu rupa. Sambutan juga diiringi dengan syair " Thala'al Badrul " dengan bait-bait senikatanya;

telah terbit bulan purnama


dari celah Bukit Wada'iy

kita wajib bersyukur

selama mengajak kepada Allah

wahai orang yang diutus pada kami


engkau membawa perintah yang ditaati.

Disamping melahirkan kegembiraan, penduduk Madinah iaitu golongan Ansar telah menyatakan tekad dan azam mereka kepada Rasulullah SAW.

" Halumma ya Rasulullah, ilal quwwah, wal mana'ah wal tsarwah " yang bermaksud, " Marilah ya Rasulullah ke arah ( menegakkan ) kekuatan Islam, kebesaran dan kemegahan. "

Ilal Quwwah ( Marilah menegakkan kekuatan Islam )


Dengan kekuatanlah maka suara Islam itu mahu dan mampu didengar orang dan tidak diperlakukan sesuka hati kepada kaum Muslim. Madinah diharapkan menyinarnya kekuatan Islam.

Ilal Mana'ah ( Marilah ke arah kebesaran dan kejayaan )

Dengan adanya kekuatan dapatlah Islam mencapai kebesaran dan kejayaan. Ajaran Islam akan menjadi budaya umat manusia. Menjadi huruf-huruf yang hidup dan amat bermakna untuk kehidupan di dunia ini dan hari kemudian. Muslim akan berjaya dan Islam dimuliakan sebagai agama Allah.

Ilal Tsarwah ( Marilah mencapai kemegahan, kebaikan moral dan material )

Dunia disediakan untuk dinikmati bersama. Islam memupuk kepentingan zahir dan batin, jasmaniah dan rohaniah, dunia dan akhirat. Maka kedua-duanya harus dicapai dan Madinah adalah tempat memulainya.

Itulah tekad penduduk Ansar Madinah yang dinyatakan kepada Rasulullah SAW semasa mereka menyambut kedatangan baginda ke Madinah. Tekad dan keazaman untuk sama-sama memacu Islam ke hadapan.

Begitu juga kepada kita sebagai umat Islam yang sepatutnya mencontohi peristiwa hijrah ini di mana tekad dan keazaman untuk terus menyambung legasi yang telah ada dan terbina agar terus mendepani masa.

Persoalannya sekarang Islam telah berjaya dibina, telah terbukti kekuatannya, kebesarannya dan kemegahannya namun adalah menjadi tugas kita pula untuk memperlihatkan bagaimana Islam itu.

Jangan pula kita pula secara sedar atau tidak sedar menjadi penyebab imej negatif terhadap Islam dan adalah menjadi tanggungjawab kita memperlihatkan bagaimana Islam itu hidup dan subur di dunia ini setelah umat terdahulu telah menbangunkan apa itu Islam.

Sempena kedatangan tahun hijrah ke 1432 ini, penulis mengambil kesempatan mengucapkan Salam Maal Hijrah dan berharap semuga kita, umat Islam terus beroleh kejayaan di dunia dan kebahagian di hari kemudian. Semuga kehadiran kita memberi impak yang positif kepada kehidupan dunia ini, dan Islam menjadi serta merupakan teras kehidupan.

Dan itulah juga tugas kita sebagai Muslim dan sepatutnya ditekadkan.