click here!!

Sunday, June 20, 2010

Azahar Ngah, Sepupu ku....(Bahagian 1)


Setelah melihat foto beliau di dalam laman facebook salah seorang rakan sekolah menengah dan juga rakan se kolej, di universiti dahulu, penulis terpanggil untuk mengimbas kembali kenangan lama dengan beliau.

Azahar bin Ngah (di dalam foto duduk di hadapan sekali, di depan penulis), lahir pada 29hb Januari, 1966 di Kijing, Marang, Terengganu Darul Iman. Beliau merupakan anak bongsu dari tujuh orang adik beradik. Bonda beliau, Hajjah Wook binti Endut berusia 43 tahun ketika melahirkan beliau, juga merupakan kakak kepada ayahanda penulis. Kadang- kadang orang menyangka beliau adalah cucu kepada bondanya memandangkan ramai anak saudara beliau sendiri lebih berusia dari beliau. Bonda beliau meninggal dunia pada tahun lepas, 2009 ketika berusia 86 tahun. Al Fatihah.

Ayahanda beliau, Tuan Haji Ngah masih ada lagi dan sihat walafiat. Beliau, Haji Ngah sekarang berusia sekitar 90 tahun dan tinggal bersendirian berhampiran rumah Azahar.

Keluarga Azahar mula berpindah ke Seberang Pintasan semasa penulis dan beliau berumur sekitar 4 tahun. Mereka menggunakan jalan laut untuk membawa barang- barang dan peralatan dari Marang. Ramai ahli keluarga yang berasal dari Marang berpindah ke Seberang Pintasan bersekali dengan keluarga beliau dan mendiami sebuah kampung berdekatan mengadap Laut China Selatan.

Di situ juga telah ada penduduk yang juga berasal dari Marang, tetapi telah lama tinggal di situ. Oleh kerana terlalu ramai penduduk yang berasal dari sana dan mereka mendominasi tempat tersebut, maka kampung itu di kenali sebagai Kampung Marang.

Walaupun keluarga penulis tinggal berjauhan, berhampiran Sekolah Kebangsaan Seberang Dungun, berkongsi pagar sekolah, tetapi ayahanda adalah tempat rujuk mereka. Sebarang perkara yang melibatkan kemaslahatan hidup, baik besar atau kecil, diajukan kepada ayahanda untuk mendapatkan buah fikiran.

Apabila ekonomi keluarga Azahar bertambah baik, ayahanda telah menyuruh keluarga beliau membeli se bidang tanah bukit yang agak luas. Tanah tersebut sepatutnya menjadi milik ayahanda penulis kerana tuan tanah tersebut ingin melunaskan hutangnya kepada ayahanda tetapi ketika itu ayahanda agak berada dan telah mempunyai banyak tanah, maka disuruhnya keluarga Azahar membeli dengan harga RM900.00 sahaja untuk dijadikan tempat kediaman tetap. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1973/4.Seingat penulis, kediaman mereka sering diganggu oleh kera dan beruk yang datang mencari serta mencuri makanan. Penat juga dibuatnya.

Azahar memulakan alam persekolahan semasa berusia 6 tahun, dengan menumpang kelas murid darjah satu Sekolah Kebangsaan Seberang Dungun memandangkan penulis, teman sepermainannya telah bersekolah di situ secara tidak formal setahun sebelumnya, iaitu pada tahun 1971. Ayahandalah yang bertanggunjawab di dalam perkara ini dengan meminta jasa baik pihak sekolah tersebut terhadap kami berdua. Pada masa itu tidak ada lagi kelas- kelas tadika seperti sekarang.

Pada tahun 1973, Azahar kembali ke darjah satu di sekolah tersebut tetapi secara formal. Walaubagaimanapun penulis bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan Inggeris Dungun pada masa itu, sekarang Sekolah Rendah Sultan Omar, Dungun, Terengganu Darul Iman.

Azahar mewarisi kepandaian seni daripada ayahanda beliau. Kakitangan beliau hidup. Beliau pandai bertukang, melukis dan membuat peralatan permainan. Penulis selalu menumpang tuah dari beliau. Dia pandai buat, penulis pandai merosakkannya. Beliau juga pandai dalam permainan tradisional ketika itu, dikira hebat. Penulis kadang- kadang geram juga dengan beliau, handal sangat. Kami selalu juga bergaduh, kebiasaannya penulis yang memukul beliau.

Pernah sekali kami bermain Bola Selipar, susah untuk mematikan larian beliau sambil itu mengejek- ngejek kepada pasukan kami. Penulis dah naik bengang dan memberi amaran tetapi beliau masih lagi terus mengejek. Penulis tidak dapat menahan sabar terus mengejar beliau dan dengan lafaz Basmallah, membaling bola ke arah beliau dan mengenainya. Beliau meraung sekuat hati hinggakan kedengaran ke rumah beliau walaupun tempat permainan itu jauh. Bonda beliau terus mengagak ini mesti penulis yang melakukannya kerana orang lain tidak berani dengan beliau. Penulis menyuruh beliau memulangkan baju yang beliau pakai ketika itu kerana baju tersebut adalah pemberian ayahanda kepada beliau setelah kembali dari Singapura. Baju tersebut bercorak sama dengan baju penulis cuma warnanya lain sikit. Memang menjadi amalan ayahanda apabila beliau outstation, akan adalah hadiah untuk kami berdua.Walaubagaimanapun, biasanya tidak lama kami bermasam muka.

Pernah juga di musim orang bermain bedil buluh peluru se jenis buah kecil (tak ingat nama buah tu), kami juga membuat bedil tersebut. Setelah bosan menggunakan peluru buah tersebut, penulis mencadangkan membuat bedil berpelurukan buah keluduk. Setelah siap kami mula mencubanya, tapi tidak berapa menjadi. Selepas pembaikkan, penulis mencadangkan beliau menembak penulis, selepas itu beliau pula ditembak. Beliau tidak bersetuju, tetapi penulis memaksanya. Beliau pun menghalakan ke tangan penulis dan menembaknya, tetapi tidak meletup. Tiba giliran penulis, beliau tidak mahu menjadi sasaran dan cuba melarikan diri. Namun penulis sempat juga membedil beliau di muka. Apalagi meraunglah beliau dan terus mengambil kapak berhampiran dan mengejar penulis sambil menangis. Beliau membaling kapak tersebut tetapi tidak mengena. Kejadian ini berlaku di rumah beliau, maka penulis terus balik ke rumah tanpa memberitahu keluarga. Lama juga penulis tidak pergi kerumah beliau selepas kejadian itu. Tetapi, itulah
Carik - carik bulu ayam, akhirnya bercantum juga. Kami sebenarnya lebih daripada sepupu, bahkah seperti adik- beradik.

Sebenarnya keluarga beliau adalah antara tempat penulis bermanja, memandangkan penulis tiada adik beradik tinggal bersama. Penulis merupakan anak tunggal kepada bonda tetapi mempunyai 4 orang lagi adik beradik berlainan ibu yang tinggal di Kuantan. Penulis akan ke Kuantan apabila cuti sekolah yang panjang dan banyak masa penulis di kampung bersama beliau dan keluarga beliau bila ada masa terluang. Keluarga kami ramai di Kuantan, dan bekas isteri ayahanda juga adalah emak saudara pupu kepada kami dan datuk kami juga dilahirkan di sana.

Azahar sering tidur di rumah penulis dan apa yang penulis dapat dia juga akan memperolehinya, baik pakaian, barang permainan dan ilmu pengetahuan yang di ajar oleh ayahanda penulis.

..........bersambung di bahagian 2.

No comments:

Post a Comment