click here!!

Wednesday, September 1, 2010

Gempar Yang Tidak Perlu Digemburkan..(Siri 2)

....................Sambungan.

Penulis sekali lagi membawa rakan pembaca kepada sirah dan sejarah Rasulullah SAW untuk kita sama-sama renunginya.

Sebagaimana yang kita tahu, pada tahun ketiga sebelum hijrah Rasulullah SAW ke Madinah al Munawarrah, baginda telah kehilangan dua orang yang begitu banyak membantu dalam urusan menegakkan kalimah Allah iaitu isteri tercinta, Saidatina Khadijah binti Khuwalid ra dan bapa saudara baginda, Abu Talib kerana mengadap Illahi. Baginda amat bersedih dan tahun itu juga dikenali sebagai Tahun Berdukacita.

Dalam masa bersedih tersebut, baginda telah dipelawa ke Thaif oleh penduduk di sana untuk menyokong dan melindungi Rasulullah SAW daripada ancaman dan gangguan kaum kafir Quraisy di Mekah. Malangnya apabila Rasulullah SAW ke sana, mereka telah mengkhianati baginda dan lebih menyedihkan Rasulullah telah dihalau, diejek, dimaki dengan kata-kata nista dan juga direjam dengan batu sehingga baginda cedera dengan parahnya.

Malaikat Jibril as telah menawarkan diri untuk membantu menghukum penduduk-penduduk Thaif, namun Rasulullah SAW menolaknya dengan mengatakan bahawa sekiranya baginda berkehendakkan untuk membalas di atas perbuatan penduduk-penduduk Thaif tersebut, maka baginda akan memohon terus kepada Allah SWT.

Baginda berundur dan berehat di dalam satu kebun tanaman. Rasulullah duduk lebih kurang macam bersandar pada salah sebatang pohon sambil membersihkan luka-luka di badan baginda. Sebenarnya kebun tersebut adalah kepunyaan dua orang musyhrikin yang mengenali Rasulullah SAW. Sebenarnya beliau amat menghormati keperibadian Rasulullah SAW tetapi amat keras tentangannya terhadap Islam.

Beliau memerhati keadaan Rasulullah SAW tanpa disedari oleh baginda. Rasa belas terbit di hati musyhrikin tersebut dan mengarahkan seorang hambanya menghantar makanan dan susu kepada Rasulullah SAW.

Apabila hamba tersebut mendatangi Rasulullah SAW dan menerangkan tujuannya, mereka pun mula berbual.

Rasulullah bertanya kepada hamba tersebut,

"Siapakah nama kamu, wahai sahabat?"

Hamba tersebut menjawab dengan hati yang berbunga-bunga kerana dimuliakan,

"Namaku Addas"

Rasulullah SAW bertanya lagi,

"Saudara Addas, kamu berasal dari mana?"

"Aku berasal dari Tikrit (salah sebuah tempat di Mosul,Iraq)"

"Oh, tahukah saudaraku Addas, bahawa ada seorang nabi dan rasul Allah bernama Yunus as berasal dari situ?" tanya Rasulullah kepada hamba tersebut.

Hamba tersebut terperanjat dan bertanya kepada Rasulullah SAW,

"Macam mana tuan hamba tahu perkara ini?"

"Sahabatku Addas, sebenarnya Nabi Yunus as itu saudaraku, seorang utusan Allah SWT, seperti juga aku" Rasulullah menjelaskan. Addas terdiam.

Mereka terdiam seketika, dan Rasulullah SAW memulakan dengan lafaz Basmallah dan terus menyuap makanan ke mulut. Selesai menelannya baginda mengucapkan Alhamdulillah. Addas yang memerhatikan dari mula tingkah laku Rasulullah SAW tersebut dan bertanya,

"Apa yang tuan hamba berkata-kata sebelum dan sesudah makan tadi?"

"Oh, itu. Aku memulakan dengan nama Allah dan menyudahi dengan mensyukuri ke hadrat Allah SWT "

Hamba tersebut, Addas terharu dan terus memeluk, mencium tangan dan dahi Rasulullah SAW serta berkata,

"Memang benarlah kamu adalah seorang nabi dan rasul Allah"

Musyhrikin, tuan kepada hamba tersebut tidak senang dengan perkara tersebut dan memanggil Addas kepada beliau dan memberitahu bahawa tindakan hamba tersebut tidak masuk akal dan salah. Musyhrikin tersebut tidak membenarkan pandangan Addas dan menyatakan agama Nasrani yang dianuti hambanya tersebut adalah lebih baik dan disuruh kekalkan anutan tersebut sedangkan beliau sendiri masih kekal dengan sembahan berhala.

Sebenarnya tujuan musyhrikin tersebut bertindak sedemikian kerana dibimbangi hambanya itu terpengaruh dengan Rasulullah SAW. Walaubagaimanapun telah diriwayatkan bahawa hamba tersebut memeluk Islam selepas pembukaan semula kota Mekah oleh Rasulullah SAW.

Moral dari peristiwa di atas adalah,

1- Sikap sabar, berhemah dan bijaksana Rasulullah SAW di dalam menghadapi sebarang musibah seharusnya dicontohi oleh kita sebagai umatnya. Sekiranya baginda bersifat membalas dendam dan tidak berfikiran jauh, maka binasalah penduduk Thaif tersebut dengan azab Allah SWT sedangkan Thaif itu sendiri akhirnya menjadi wilayah Islam bahkan ramai musyhrikin Thaif yang menzalimi Rasulullah SAW tersebut akhirnya menjadi pejuang Islam di sisi Rasulullah SAW.

2- Rasulullah SAW juga memperlihatkan kekuatan dan kemantapan akidah yang sepatutnya diyakini oleh umat Islam. Kebergantungan hanyalah kepada Allah SWT dan tiada apa yang berbekas tanpa keizinan Allah SWT hatta dari makhluk mulia seperti malaikat sekalipun, inikan pula bergantung kepada makhluk Allah yang hina seperti iblis dan syaitan tetapi ingkar serta memusuhi Allah SWT, contohnya melalui amalan-amalan khurafat.

3- Keperibadian Rasulullah SAW telah menimbulkan rasa kagum dan hormat kepada manusia walaupun sesetengahnya tidak bersetuju dengan kepercayaan dan ajaran agama yang dibawa. Keperibadian yang sebeginilah sepatutnya dipertontonkan oleh kita umat Islam, agar dapat memperlihatkan keindahan Islam. Secara tidak langsung dapat mengelakkan wujudnya persepsi-persepsi negatif terhadap Islam.

4- Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW menggunakan kesempatan yang ada untuk mendekati dan menyatakan perkara yang hak dengan pendekatan yang berhemah tinggi terhadap non muslim melalui kisah baginda dengan hamba tersebut iaitu Addas.

5- Lihatlah juga bagaimana dakwah tidak boleh disalurkan jika non muslim bersikap menjauh diri dari kita. Sikap musyhrikin tersebut iaitu tuan kepada hamba tersebut menjarakkan diri dari Rasulullah nyata sukar untuk sampai kepadanya sesuatu yang hak. Maka non muslim tidak akan dapat mengetahui keindahan dan kebenaran Islam serta akan sentiasa membuat persepsi yang tidak tepat dengan Islam.

Maka apabila kita mempunyai peluang, gunakanlah dengan sebaik mungkin. Adalah menjadi tugas dan tanggungjawab kita membawa manusia kepada jalan Allah SWT kerana dengan petunjukNya sahajalah manusia selamat di dunia dan akhirat.

Kita memang berpeluang mencontohi Rasulullah SAW di adalam masyarakat majmuk sekarang apabila berurusan dengan non muslim tanpa menggadaikan prinsip-prinsip Islam. Contohnya apabila kita bermusafir dengan non muslim,

1- Jika sekiranya perjalanan tersebut pada hari Jumaat, maka beritahulah dengan jelas akan kewajiban kita agar non muslim tersebut memahaminya. Maka kita pun berhenti untuk bersolat Jumaat dan berjanji bertemu semula ditempat dan masa yang dijanjikan.

2- Sekiranya kita tinggal sebilik pula dengan non muslim, laksanakanlah kewajiban kita terhadap Allah SWT dengan sebaiknya mudah-mudahan timbul keinginan mereka untuk mengetetahui amal perbuatan kita itu. Sifat ingin tahu mereka itu adalah satu peluang keemasan dan hendaklah ditangani dengan bijaksana dan berhemah agar mereka mendapat penjelasan yang sebenarnya tentang Islam.

Apa yang banyak berlaku pada masa kini adalah sebaliknya. Apabila kita berkawan dan berurusan dengan non muslim, kita menjadi larut bersama mereka bahkan ada yang lebih teruk daipada mereka yang non muslim.

Sekiranya sukar untuk kita mencipta ruang untuk memperlihatkan Islam yang syumul ini, maka sebarang peluang yang mendatang hendaklah digunakan dengan sebaik mungkin agar mesej Islam yang syumul sampai kepada manusia sejagat.

.........................bersambung.








No comments:

Post a Comment