click here!!

Saturday, November 20, 2010

Watak Kehidupan Manusia Mewarnai Kehidupan

Secara sedar atau tidak dunia ini sebenarnya diwarnai manusia dengan mempunyai bebarapa sikap, tingkahlaku dan perangai yang berbeza-beza tetapi berkongsi watak dengan haiwan, iblis dan malaikat. Sebab itu Imam Al Ghazali dan Ibnu Qayyim pernah menggariskan bebarapa watak tesebut seperti berikut;

1) Watak ganas dan suka bergaduh seperti harimau dan singa.

Sebab itulah dunia ini tidak pernah sunyi daripada keganasan dan pergaduhan kerana adanya manusia-manusia yang berperwatakan sebegini. Ego, sombong dan bongkak dengan kekuatan, kehebatan dan kelebihan yang dirasakan ada pada diri. Maka manusia jenis ini akan melakukan apa sahaja untuk menunjukkan keupayaan dan kehebatan mereka dan bertindak sesuka hati bila rasa tercabar.

2) Watak yang beremosi seperti ayam jantan, lembu jantan dan binatang berkaki empat.

Manusia jenis ini bertindak, mencari peluang dan mempertahankan diri dan orang lain berdasarkan emosinya. Mereka-mereka ini akan bertindak mempertahankan diri sendiri atau orang lain dengan hanya berdasarkan emosi semata-mata. Tidak langsung memikirkan kewajarannya. Kadang-kadang tindakan mereka itu hanyalah kerana mendengar cerita tanpa usul periksa dan seterusnya mengambil tindakan pula kerana merasakan merekalah orang yang berhak serta patut membuat keputusan.

3) Watak suka menyalak seperti anjing sama ada di dalam keadaan aman ataupun terdesak.

Manusia berwatak anjing ini menyalak sesuka hatinya. Keadaan pencuri disalaknya dan kepada tuannya sendiri yang banyak berjasa pun disalaknya juga. Mereka-mereka ini tidak kira pada apa-apa keadaan pun akan sentiasa tidak berpuas hati terhadap orang lain. Mereka tidak peduli sesiapa pun samada musuh mereka atau orang yang banyak membantu mereka.

4) Watak menggoda seperti iblis.

Manusia berjiwa iblis menggoda manusia lain supaya mengikut kehendaknya. Iblis apabila mengetahui dirinya dilaknat dan direjam oleh Allah SWT, lalu menggoda bagi merosakkan manusia supaya binasa sepertinya juga.

Mereka-mereka ini akan bertindak mempengaruhi sesiapa sahaja yang dekat dan selalu behubungan dengan mereka atau kepada sesiapa sahaja yang berkesempatan. Manusia begini akan cuba membentuk suatu keadaan yang berlawanan dengan sesuatu yang bercanggah dengan pendapat mereka walaupun pendapat dan keadaan yang dicanggahi itu betul dan baik serta bertepatan dengan kehendak agama.

Manusia berjiwa ini sukar untuk bermuhasabah diri sendiri dan asyik memandang akan kesalahan orang lain serta sentiasa tidak berpuas hati dengan orang lain terutama yang tidak sependapat dengan mereka.

Berbagai cara dan kaedah dilakukan untuk menarik orang ramai mengikut dan bersetuju dengan mereka hatta dengan cara mengadu domba, fitnah, mencipta cerita karut dan berbagai-bagai. Yang penting demi kepuasan dan dendam kesumat, mereka-mereka ini mahu dipercayai, diikuti, disanjungi dan bersama-sama mereka menentang serta menyanggahi musuh dan orang-orang yang tidak disukai mereka walaupun mereka akan menemui kehinaan dan kegagalan akhirnya.

5) Watak yang sukakan kebaikan dan iman seperti malaikat.

Manusia seperti ini berusaha menyelamatkan manusia lain walaupun manusia itu sedang berada di jurang api neraka. Segala usaha dibuat supaya manusia itu kembali kepada jalan yang telah diberi petunjuk agar selamat dunia dan akhirat.

Sebenarnya watak-watak tersebut bukannya dilahirkan semulajadi menjadi tabiat kita, tetapi ianya diasuh, ditiru dan dipelajari baik secara sedar ataupun tidak sedar. Persekitaran, keluarga, rakan-rakan, media dan ilmu adalah antara penyumbang besar sehingga menjadikan watak-watak tesebut diasuh dan dibiasakan....wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment