click here!!

Wednesday, May 19, 2010

Keluarga Sesusuan

Hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud,"Sesungguhnya Allah mengharamkan oleh sebab menyusu, seperti apa yang diharamkan oleh sebab hubungan nasab". ( Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi).

Dimaksudkan dengan saudara sesusuan apabila seseorang yang pernah menyusu dengan perempuan yang sama tetapi pada asalnya bukan dari kalangan adik beradik senasab.Penyusuan yang berlaku adalah oleh kanak-kanak yang berumur di bawah dua tahun, dengan minima lima kali penyusuan yang mengenyangkan.Maka haram perkahwinan antara keluarga sesusuan tersebut kerana mereka adalah mahram.

Menghormati keluarga sesusuan sama dituntut sebagaimana keluarga senasab.Rasululullah S.A.W. sendiri telah meninggalkan kita contoh terbaik untuk diikuti.

Peperangan Hunain juga disebut peperangan Hawazin telah berlaku semasa Rasulullah S.A.W. berusia kira-kira 61 tahun.Tentera Islam dalam peperangan kali ini agak ramai, berjumlah kira-kira 12,000 orang. Dengan jumlah tersebut timbul rasa over confident yang mereka tidak mampu ditewaskan.

Apa yang berlaku pasukan tentera Islam hampir mengalami kekalahan seperti peperangan Uhud dahulu.Keadaan ini menyebabkan tentera Islam kembali bermuhasabah dan insaf.Akhirnya dengan izin Allah S.W.T. tentera muslim memperolehi kemenangan dan menawan sejumlah tawanan serta rampasan perang.

Di saat tentera Islam berehat dan bergembira dengan kejayaan tersebut, seorang wanita tawanan bernama Syaima' telah berkata di depan para sahabat yang mengejutkan mereka semua.

"Aku ini saudara perempuan teman kamu itu" katanya yang dimaksudkan Rasulullah S.A.W.

Para sahabat terperanjat kerana mereka semua tahu Nabi Muhammad S.A.W. hanyalah sedirian, tidak mempunyai kakak atau adik. Maka Syaima' segera dibawa ke depan Rasulullah S.A.W., malah ramai orang yang berkumpul kerana ingin mengetahui siapakah sebenarnya wanita tersebut.

"Wahai Muhammad, aku ini saudara engkau!" katanya kepada Rasulullah S.A.W.

Mendengar itu Nabi segera menghormatinya kerana baginda sudah mengingati nama Syaima'.Baginda hamparkan kain untuk beliau duduk dan duduklah beliau dengan penuh gembira.Seketika itu air mata Nabi S.A.W. berlinangan.Syaima' ini adalah puteri kepada Halimah Sa'diyyah yang pernah menyusukan Nabi S.A.W. sewaktu baginda masih bayi.Maka Syaima' adalah saudara sepersusuan dengan baginda.Malah Syaima' sendiri turut membantu ibunya mengasuh baginda dengan penuh kasih sayang. Tidaklah beliau mengetahui bahawa bayi yang diasuhnya akan menjadi seorang yang mulia, Rasul Allah.Kini bertemulah kembali beliau dengan Rasulullah S.A.W. setelah sekian lama terpisah.

"Wahai Muhammad" adalah kata-kata Syaima' sejak dari mula berjumpa Rasulullah S.A.W. dan kata-kata inilah yang diucapkan dahulu sewaktu membantu mengasuh Nabi semasa dalam jagaan ibunya Halimah. Tidak ada orang lain yang menyebut Nabi sedemikian kerana semua orang mengenali Nabi dengan panggilan 'Rasulullah'.Walaubagaimanapun, Nabi merasa amat gembira bertemu orang yang pernah mengasuh baginda, juga kakak sesusuan.

"Jika engkau suka, marilah tinggal bersama aku" kata Nabi dengan penuh kasih sayang dan hormat.

"Tetapi jika engkau ingin kembali kepada kaummu, akan aku lepaskan engkau dengan baik" demikian lagi kata Nabi S.A.W. kepada Syaima' dengan penuh keharuan.

"Aku ingin kembali kepada kaumku" Syaima menjawab pelawaan Nabi kepadanya.

Bagaimanapun Syaima' memeluk Islam.Sewaktu akan berpisah, Nabi S.A.W telah membekalkan dia dengan beberapa orang hamba lelaki, budak perempuan, unta dan kambing sebagai pemberian.

Selepas itu, masih dalam suasana peperangan ini jugalah Rasulullah S.A.W. telah bertemu semula dengan Halimah Sa'diyyah iaitu ibu Syima'.Keadaan ketika itu bagaikan ibu bertemukan kembali dengan anaknya yang telah lama terpisah, apalagi anak itu telah menjadi orang yang terhormat.

Nabi S.A.W. menyambut ibu Halimah dengan merasakan sendiri bagaimana kasih sayang seorang ibu yang pernah menyusukannya dahulu.Halimah Sa'diyyah sendiri yang berusaha datang menemui baginda setelah diketahui akan kedudukan baginda walaupun kaumnya kalah berperang dengan pihak Islam.

Melihat Halimah yang sudah sangat tua itu,Rasulullah S.A.W. segera berdiri dan menyonsong ibu Halimah ke dalam khemah. Baginda telah membuka pakaian rida'nya dan dihamparkan agar Halimah Sa'diyyah dapat duduk di atasnya sebagai tanda penghormatan.

Pertemuan itu amat mengharukan Rasulullah S.A.W., begitu juga dengan Halimah Sa'diyyah dan para sahabat yang menyaksikannya.Rasulullah S.A.W. menyediakan segala penghormatan dan ingin membahagiakan ibu susuannya itu di samping melepaskan kerinduaan batin terhadap ibu yang bersejarah itu.

Penulis terpanggil untuk memaparkan sirah ini setelah menonton drama di sebuah televisyen swasta, TV3 pada malam Sabtu lepas berjudul "Sebelum Akhirat" bahawa menghormati keluarga susuan pun amat dituntut oleh Islam, apalagi keluarga kandung sendiri seperti ibu dan bapa.

No comments:

Post a Comment